Sebelum ini, aku hanya memandang sebelah mata pada novel Manikam Kalbu ini. Kulit bukunya yang comel membuatkan persepsi aku terhadap isinya adalah mungkin cerita sepertik Detektif Indigo. Setelah mendapat informasi tentang buku ini oleh Pensyarah aku di Pusat Kebudayaan(Universiti Malaya) aku tertarik ingin membacanya. Ternyata anggapan aku itu salah. Novel ini bukan sekadar kisah seorang remaja yang berjuang di Sekolah Teknik dalam jurusan Ekonomi Rumahtangga tetapi lebih daripada itu.
Novel ini memberi gambaran dua latar yang berbeza. Latar moden dengan cerita, dugaan dan kehidupan yang dilalui Ziryab serta latar sejarah Kesultanan yang penuh dengan sinikal. Kehebatan Ziryab dalam menjahit dan merekabentuk busana dikaitkan dengan sejarah busana Melayu di zaman Kesultanan lampau. Setiap peristiwa yang berlaku kepada Ziryab, dikaitkan pula dengan cekap oleh Penulis pada sejarah lampau melalui penceritaan seekor kucing, Manikam Kalbu yang hidup di istana sebagai kucing peliharaan. Sikap buruk golongan wanita dan bangsawan dipaparkan secara sinis begitu juga budaya 'politik' Melayu zaman kesultanan. Pembaca mendapat dua realiti yang berbeza tetapi masih berpaksikan pada tema yang sama. Kepakaran Faisal Tehrani dalam teknik sebegini memang tidak dapat dipertikaikan.
Aku tertarik dengan peristiwa Sultan mendapat mimpi tentang keadaan masyarakat Melayu yang akan berpakaian tidak cukup kain malah direka jahit oleh golongan darai di masa depan nanti. Oleh itu, baginda tidak mahu disalahkan dan berdosa terhadap umat Melayu di masa depan. Hal ini membawa kepada peristiwa menarik yang telah diolah daripada Sejarah Melayu. Peristiwa Sultan ingin berjumpa dengan guru agama yang 'menolak' kedatangan Sultan secara halus dengan pelbagai alasan gara-gara Sultan datang ke rumahnya dengan segala macam kelengkapan berserta pengiring. Setelah Sultan menyedari 'kesilapannya' barulah baginda ditemui apabila baginda datang sebagai rakyat biasa secara bersendirian. Baginda diberi ajaran dan nasihat agama bagi mencari pereka busana Melayu yang belum ada pada masa itu.
Pedih dan menyengat tapi itulah kenyataannya. Penulis telah menyindir situasi fesyen semasa yang semakin hilang ciri-ciri kesopanan dan tatasusila Melayu. Masyarakat Melayu (wanita terutamanya!) tidak segan apa lagi malu berpakaian dengan mendedahkan aurat yang wajib ditutup. Pereka fesyen zaman ini juga gemar mencampuradukkan busana Melayu sesuka hati dengan unsur Barat dan sebagainya (kononnya kreativiti kontemporari!) Tanpa sedar, kita telah merendahkan martabat dan keupayaan bangsa Melayu melalui 'kemodenan' dalam rekaan busana Melayu malah merosakkan sejarah bangsa yang dititip oleh cendekiawan mahir zaman lalu.
Perletakan watak Ziryab sebagai lelaki sejati yang bijak mengekalkan identiti dan simbol dalam busana Melayu amatlah ideal. Dalam mengkritik, Penulis telah memberikan 'harapan' terhadap budaya pakaian di kalangan masyarakat Melayu melalui golongan muda seperti Ziryab. Kemahiran dan bakat Ziryab telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila terpilih untuk menimba pengetahuan di Paris selama sembilan bulan. Ziryab juga digambarkan sebagai generasi muda yang menyayangi warga tua apabila gigih memelihara neneknya yang nyanyuk(sehingga neneknya meninggal dunia). Ziryab dipaparkan sebagai pemuda yang masih kuat pegangan Islam dan adab Melayunya. Dia tidak mudah bersikap 'lepas laku' terhadap perempuan malah menghormatinya. Hal ini amat menarik kerana jarang remaja dipaparkan sebegini ideal dalam karya terkini.
Selain itu, kekuatan novel ini adalah perlukisannya yang deskriptif. Penulis menggambarkan dengan teliti setiap proses menjahit dan melakar. Begitu juga dengan jenis kain, corak dan rekabentuk Melayu. Keadaan ini memberikan kesan kebolehpercayaan yang sangat tinggi pada pembaca seperti aku. Penulis ternyata serba tahu dan mahir daripada kacamata watak dalam novel ini. Aku sangat teruja kerana mendapat pengetahuan baru tentang sejarah busana Melayu malah jenis kain, aksesori dan motif pada busana. Setiap rekaan pakaian ini membawa identiti Melayu yang tersirat dan simbol yang dipengaruhi oleh agama Islam serta tatasusila adat Melayu. Novel ini mungkin khusus untuk remaja, tapi pada aku...setiap warga yang mencintai pengetahuan patut membaca novel ini...
No comments:
Post a Comment