Kebanjiran novel-novel popular di pasaran memberi ruang yang baru kepada
sesiapa saja untuk menulis. Hal ini mengembangkan tahap intelek dan kreativiti
di kalangan mereka. Antaranya, penulis novel ini, Umie Nadzimah yang mempunyai karier dalam
industri makanan. Namun, subjek penulisan, gaya bahasa dan perkembangan plot
dalam naskhah ini memaparkan kreativiti tersendiri yang sangat baik.
Siapa sangka anak yatim piatu seperti Puteri Aina menjadi rebutan di
kalangan sanak saudara demi sebuah wasiat hingga dikahwinkan dengan Iskandar
Hafiz. Menurut wasiat arwah datuknya, setiap lima tahun keluarga yang
memelihara Puteri Aina akan mendapat lima ekar tanah. Perebutan keluarga Pak
Ngah dan Mak Long di menangi oleh Mak Long apabila Puteri Aina rela mengahwini
anak Mak Longnya.
Iskandar cuba sedaya upaya menjaga Puteri dengan baik. Hubungan mereka
berkembang daripada perkahwinan atas dasar kepentingan masing-masing kepada
cinta. Malangnya, salah faham telah membawa kepada perpisahan. Iskandar
meninggalkan Puteri Aina sendirian bersama bayi yang dikandungnya. Khalif
sahabat baik Iskandar telah membantu Puteri Aina. Khalif yang menyimpan cinta
terhadap Puteri Aina sentiasa disisinya kala susah dan senang tanpa
mengharapkan balasan. Cinta
Puteri Aina pada suaminya kian pudar. Penantian yang terlalu lama membawa
kepada penceraian. Keduanya terlalu berkecil hati dan memikirkan kebahgiaan
pihak lain.
Puteri Aina mengambil keputusan memberi peluang kepada Khalif. Mereka membina hidup yang bahagia. Iskandar yang cukup mengenali ketulusan
sahabatnya akur dengan kekalahan itu. Dia redha apabila Puteri Aina memilih
Khalif. Iskandar terus meninggalkan tanah air menetap di Frankfurt. Iskandar dan
Khalif terus berhubung melalui email. Setiap perkembangan anak lelakinya yang
dipelihara dengan baik oleh Khalif diketahui. Namun, setelah dua tahun, Khalif
menyepi. Rupanya Khalif telah meninggal dunia kerana brain tumor. Anak lelaki
Iskandar atas wasiat ayah tirinya cuba menyambung kembali ikatan antara
Iskandar dan Puteri Aina. Akhirnya, mereka berdua kembali bersatu.
Banyak peristiwa yang sentiasa berlaku dalam kehidupan. Setiap individu di
sekeliling kita terus-terusan memainkan peranan masing-masing. Ianya boleh jadi
yang baik atau jahat. Penulis berjaya memaparkan satu ruang realiti yang
membuatkan pembaca percaya tentang kewujudan watak secara emosi dan mental.
Jalinan peristiwa melangkaui masa(tahun) juga lancar tanpa kesan mendadak atau
tersangkut. Persoalan takdir masih happy ending. Namun, perjalanan yang dilalui
watak membuatkan pembaca merasakan ianya relevan dengan akhiran yang begitu. Satu naskhah yang sederhana menjadikan
ceritanya berpijak di bumi yang nyata.
No comments:
Post a Comment