Rupanya cerita pendek yang menjadi tajuk karya ini telah pun difilemkan. Aku mengetahuinya sewaktu melihat-lihat DVD di South City. Yiyun Li telah mengumpulkan cerita-ceritanya yang berlatarkan negara dan masyarakat China. Kehidupan mereka yang tertekan dengan pemerintahan komunis bukanlah asing pada aku. Namun, stail penulisan dan gaya bahasanya sangat menyentuh perasaan (bagi orang yang cepat terharu macam aku!).
Setiap kisah ditulis dengan begitu indah, ternyata benar bahawa kita dapat mengucapkan apa yang tak dapat diucapkan bila kita tidak menggunakan bahasa kita sendiri. Sebabnya, bahasa kita tak membolehkan kita meluahkan apa yang kita fikir dan rasa. Beginilah yang ditulis Yiyun Li dalam kisah seorang anak lelaki bermasalah dengan ibunya yang kuat pegangan Kristian (sebelum itu fahaman Komunis). Si anak cuba mengkritik sikap ibunya yang mudah berpegang kepada sesuatu kepercayaan yang diwar-warkan oleh pemerintah secara membabi buta. Namun, ibunya dapat menerima kenyataan bahawa anaknya seorang gay. Hal ini mengejutkan si anak yang menyangka ibunya sangat kolot dan mudah diperkotak-katikkan! Kebanyakan kisahnya memaparkan konflik yang dihadapi golongan terpelajar yang berpendidikan luar negara di tanah sendiri. Mereka menjadi orang asing yang dipulaukan.
Dalam kisah Love In The Marketplace , seorang guru Bahasa Inggeris menjadi umpatan masyarakat apabila tunangnya sejak kecil meninggalkannya. Dia merupakan seorang anak dara tua. Dia terperangkap antara maruah dan desakan masyarakat apabila dipaksa ibunya menerima tunangnya kembali yang telah pun bercerai. Begitu juga dengan kisah yang menjadi tajuk karya ini apabila seorang wanita yang dianggap tidak bahagia setelah diceraikan suami. Ayahnya datang daripada China untuk menemaninya mendesak wanita ini untuk melupakan penderitaannya. Sebenarnya wanita ini mempunyai hubungan dengan seorang lelaki Mexico(punca wanita ini bercerai) dan bahagia dengan hidupnya. Salah faham ini mempersoalkan perbezaan pemikiran antara golongan tua China dengan anaknya yang berpendidikan Barat tentang konsep kebahagiaan tumahtangga.
Dalam Extra dipaparkan bagaimana wanita merupakan kelas kedua dan menjadi mangsa masyarakat apabila dipaksa berkahwin dengan seorang tua lelaki tua. Kematian lelaki itu, menjadikannya tukang cuci di sebuah sekolah. Dia telah menjalin kasih sayang seorang ibu dengan seorang kanak-kanak. Malangnya, kasih sayang seorang wanita melarat sepertinya tidak berharga di sekolah elit tersebut. Sepasang suami isteri dalam After a Life terpaksa menipu untuk seorang rakan yang mempunyai perempuan simpanan. Akibat terhutang budi dengan wang yang dipinjamkan, si isteri terpaksa melayan kerenah isteri rakan suaminya yang cemburu. Dia sendiri sibuk menyembunyikan rahsia besar mereka mempunyai seorang anak gadis 20-an yang cacat. Hal ini dipercayai kerana kutukan keluarga memandangkan mereka sepupu yang berkahwin lari.
Terdapat juga cerita tentang seorang gadis yang cemburu dan benci dengan ibunya yang sakit. Gadis ini tanpa sedar telah menyimpan perasaan terhadap pak cik yang sering melawati rumah mereka untuk menjaga dia dan ibunya. Pak Cik itu sebenarnya bekas kekasih ibunya. Kisah seorang lelaki lembut yang berpaling tadah daripada teman lelakinya seorang pemuda Inggeris (keduanya pasangan gay) menimbulkan persoalan kewujudan dan kemanusiaan yang dalam. Akibat kecewa, lelaki lembut ini telah berhubungan dengan seorang gadis. Gadis ini melanjutkan pelajarat ke Barat dan mencari pemuda Inggeris (bekas kekasih lelaki lembut tersebut) apabila mengetahui dia mengandungkan anak si lelaki lembut tadi. Dia ingin menggugurkan kandungan tersebut tetapi lelaki Inggeris itu ingin memelihara anak bekas kekasihnya itu.
Memang sangat mengesankanlah cerita-cerita dalam karya ini. Pada aku, Yiyun Li sememangnya seorang penulis yang sangat bagus. Aku dapat memahami apa yang dialami oleh setiap watak dalam pelbagai latar yang dipaparkan. Menarik sekali, gaya bahasanya yang mudah tetapi menyentuh hati. Manusia dilihat menjadi mangsa masyarakat sekeliling. Bagi manusia yang tidak berdaya, mereka akan jatuh dan masyarakat tidak mempedulikannya langsung. Persoalannya, manusia hidup untuk dirinya sendiri atau masyarakat? Bolehkah kita hidup tanpa kekangan masyarakat sedangkan kita berada dalam lingkungan itu? Adakah sistem yang menjadi penanda ukuran dalam masyarakat itu benar, dan berperikemanusiaan? Persoalan ini memang menghantui benak aku setelah aku membaca karya ini.
No comments:
Post a Comment