Showing posts with label novel. Show all posts
Showing posts with label novel. Show all posts

Thursday, January 31, 2013

Kasino..Serius!


Persoalan yang agak taboo untuk dipersoalkan dalam naskhah-naskhah terkini. Lazimnya, gerombolan penulis berlumba-lumba menghasilkan novel romantik yang menjamin kesuksesan. Tapi, Saifullizan Tahir dengan yakin tampil memaparkan isu peralihan pemerintahan parti dalam negeri, rasuah, gaya hidup kelas atasan yang korup dan perjudian kelas tinggi. Perkembangan plotnya licin dengan pemaparan konflik yang dihadapi Mohd.Narcissus Yussof yang terpaksa melangsaikan hutangnya dengan kerajaan negeri sebanyak RM 3.8 juta dalam tempoh dua minggu.

Konflik yang di hadapi watak juga dikembangkan dengan teknik imbas kembali untuk mengenalkan biografi watak kepada pembaca. Mohd Narcissus adalah satu paparan kelas kapitalis yang sinonim dengan petualangan perempuan, urusniaga melibatkan berfoya-foya di kelab elit, rasuah dan politik. Pengaruh politik memberi kesan yang besar terhadap golongan korporat dalam menjalankan perniagaan. Ramai pihak yang perlu disenangkan dengan ganjaran dan janji tertentu bagi meluaskan empayar ekonomi.

Sifat tak mudah mengalah, putar belit dan berani menanggung risiko dipaparkan melalui watak Mohd Narcissus yang menjadikannya seorang usahawan Bumiputera yang berjaya. Walaupun mengamalkan gaya hidup bebas, dia tetap menunaikan solat dan menjaga hati isteri dan anak-anaknya. Hal ini memberikan kesan kemanusiaan yang real terhadap watak. Penulis cuba memaparkan satu watak hero yang seimbang dengan sisi putih dan hitamnya seorang manusia. Hanya gaya penulisannya memberikan kesan kaku pada aku. Ayat-ayat yang dibingkiskan tidak memberikan sebarang kesan emosi. Ianya agak mengurangkan sedikit estetika karya ini.

Walau bagaimapun, aku memuji idea Saifullizan yang kreatif dan berani dalam mengetengahkan kritikan terkadap kekotoran politik,kuasa dan materialistik dalam naskhah ini. Mungkin kerana isu dan latar yang dipaparkan bersifat semasa. Oleh itu, ianya meninggalkan kesan yang lebih baik pada aku daripada Patriarch,Sutan Baginda, Tikus Rahmat atau Tembok Tidak Tinggi. Aku tak hairan jika pada berpuluh tahun dari sekarang, naskhah ini juga dijadikan perbandingan yang dipuji, setaraf dengan karya yang aku sebutkan di atas tadi.

Wednesday, September 19, 2012

"Cekik"..satu khayalan dan realiti Ekstrim


Membaca karya ini membuatkan aku rasa ngeri atau mungkin takut. Tapi, ceritanya bukanlah genre seram, hanya satu kisah tentang seorang remaja 16 tahun yang lari dari rumahnya. Aku tak terganggu dengan gaya penulisannya yang vulgar. Persoalan seks tanpa nikah, liwat dan seks pelik yang diutarakan bukanlah bersifat porno. Ianya pada aku adalah satu cara Ridhwan Saidi mengkritik secara tajam yang menimbulkan rasa ngeri tentang masalah jiwa yang kronik kerana kegagalan institusi keluarga. Pendekatan ini membuatkan aku terbayang Shahnon Ahmad, Philip Roth dan Charles Bukowski apabila membaca naskhah ini.

Ridhwan langsung tidak mempedulikan ruang realiti, kesinambungan fikiran dan emosi watak mahupun aturan idea persoalannya. Gayanya bersifat natural. Tidak ada penegasan terhadap subjek atau isu yang membina kerangka naskhah ini. Ianya hanya satu pola realiti yang melompat antara ruang imbas kembali dan imaginasi yang ekstrim. Pelbagai isu yang dikritik dalam kisah Warith yang turut menjelaskan kaitan antara watak ayahnya, Suria dan Anthony. Apa yang jelas, konflik jiwa remaja dipaparkan melalui watak heronya Warith berlatarkan tahun 2020 dan imbas kembali zaman remaja Suria dan Anthony. Oleh itu, aku menyimpulkan yang naskhah ini cuba menggambarkan pergolakan jiwa dan mental remaja yang kompleks dengan persoalan tersendiri.

Warith yang lari dari rumah dipungut oleh Suria, seorang wanita yang berusia. Mereka bersekedudukan. Fikiran Warith sentisa bergolak dengan imej-imej masa lampau tentang obses yang bercampur baur dengan ingin tahu terhadap seks. Dia pernah cuba diliwat ayahnya, seorang Imam kampung juga diperkenalkan dengan onani dan oral seks. Menonton filem lucah dan melakukan hubungan sesama jenis di bilik mandi kolam renang. Semuanya bercampur secara realiti dan khayalan sampai aku sendiri kadang-kadang susah nak faham.

Ada juga kritikan terhadap agama,sikap pelajar yang belajar di institusi pengajian tinggi,penjualan mercun,penculikan,budaya membaca,pengaruh media,budaya,gender,jenayah,pembuangan bayi dan banyak lagi. Persoalan baik dan jahat tidak dinilai dalam naskhah ini. Persoalan nilai satu isu yang tidak dijelaskan dan misteri. Begitu jugalah dengan endingnya. Persoalan Anthony tentang Warith yang membunuh ayahnya sendiri tidak terjawab. Warith mati tercekik chewing gum yang sering dikunyahnya.

Ada form Oedipus Rex dalam naskhah ini apabila Warith dan Suria saling tertarik antara satu sama lain sebenarnya bukan cinta pandang pertama tapi ternyata kerana hubungan ibu dan anak. Suria yang bersekedudukan dan melakukan hubungan seks dengan Warith adalah ibu kandung Warith. Warith yang dijumpai di tangga masjid kampung dipelihara oleh imam yang ternyata adalah ayah kandungnya sendiri. Malang sekali, si ayah sendiri tidak mengetahui anak yang dipungutnya itu adalah anak kandungnya. Suria telah dirogol oleh imam yang pada ketika itu siak di masjid tersebut hingga mengandungkan anak luar nikah(Warith). Suria yang bercuti sekolah selama setahun melahirkan anak di kampung dan meninggalkannya di tangga masjid.

Membaca naskhah ini memang membuatkan aku tercekik dengan kritikan-kritikannya yang keras dan sinikal. Tapi, aku suka juga gaya natural yang memaparkan segala peristiwa sesuka hati. Boleh dikatakan sepanjang pembacaan aku, ada saja moment aku berhenti seketika, menutup buku dan berfikir sebelum menyambung kembali pembacaan aku. Perkara ini berlaku berulang kali hinggalah aku menamatkan pembacaan. Kecelaruan yang dipaparkan menimbulkan kesan yang sukar dilupakan. Rasa geram,kesal,bimbang dan takut sentiasa menyelubungi diri kerana naskhah ini menghadapkan kesan keruntuhan institusi kekeluargaan yang tidak dapat mengembangkan moral dan agama dalam jiwa anak menjadikan mereka menjadi remaja yang bergolak dengan sikap dan pemikiran ekstrim yang tidak terarah.

"Night in Rodanthe" hidup dengan berani


Rasa ingin tahu aku memuncak terhadap penulis ini apabila melihat karyanya The Lucky One yang dijual di kedai buku baru-baru ini. Sebenarnya dah agak lama aku melihat karyanya di rak-rak kedai buku. Kehairanan aku pada naskhah Sparks yang banyak difilemkan buatkan aku akhirnya terpanggil untuk mencuba membaca karyanya. Inilah satu-satu karya Sparks yang aku jumpai di Perpustakaan Nasional, Nights In Rodanthe yang juga difilemkan dengan gandingan Richard Gere dan Diane Lane.

Gaya penulisan Sparks biasa saja. Tapi, kekuatan deskriptif dan naratifnya amat kuat. Setiap ayat-ayatnya mempunyai aturan falsafah yang menimbulkan kesan emosi dan sentimental pada pembaca. Membaca karyanya buatkan aku terkenang Stephen King. Bezanya, Sparks menggunakan subjek tentang watak dalam kehidupan manakala King menjurus kepada genre seram. Sparks berjaya mengupas setiap mental dan emosi wataknya dengan bersahaja. Walaupun, dia menggunakan sudut pandangan orang ketiga sahaja. Itu yang membuatkan aku kagum dengannya.

Naskhah ini membincangkan tentang keberanian dan ketabahan manusia meneruskan hidup. Persoalan ini berjaya dijelaskan melalui watak wanitanya. Tak bermakna wanita lemah dan mudah mengalah kerana fitrahnya yang sarat dengan emosi. Kemurungan Amanda atas kematian suaminya Dan, membimbangkan ibunya Adrienne. Segala nasihat ibunya dipandang kosong dengan anggapan ibunya takkan memahami cinta sejatinya dengan Dan kerana ibunya bercerai disebabkan oleh ayahnya yang curang. Hal ini membuatkan Adrienne terpaksa menceritakan kisah hidupnya yang disembunyikan selama ini. Segalanya bermula di Rodanthe.

Waktu itu Amanda masih di sekolah menengah apabila Adrienne membantu rakannya menjaga sebuah rumah tumpangan di Rodanthe pada musim terburuk. Perceraian membuatkan Adrienne memerlukan wang bagi menyara Amanda dan dua orang abangnya. Ianya menemukan Adrienne dan Paul Flanner. Paul seorang pakar bedah yang berjaya, mempunyai masalah hidup tersendiri. Dia telah bercerai dengan isterinya dan menjual aset yang diperolehinya selama ini. Pertemuan mereka berdua membawa persefahaman dan cinta yang selama ini tidak pernah ditemui dalam tempoh seminggu. Hubungan mereka berterusan lewat kiriman surat kerana Paul ingin bersama anaknya Mark. Namun, setelah bertahun berjauhan Paul telah merancang untuk menemui Adrienne dan mengumumkan hubungan mereka kepada semua.

Malangnya, penantian Adrienne tidak berpenghujung apabila Paul senyap tanpa khabar. Mark datang seminggu daripada tarikh yang dijanjikan dengan membawa segugus surat kiriman Adrienne selama ini. Ternyata Paul telah mati sebelum tarikh yang dijanjikan untuk datang kerana kemalangan. Paul mati kerana ingin menyelamatkan Mark. Mark mengucapkan terima kasih kerana kehadiran Adrienne telah mengubah Paul menjadi seorang ayah yang bertanggungjawab dan manusia yang menikmati hidup. Sebelum ini, Mark tidak berpeluang mengenali ayahnya yang terlalu obses mencipta kejayaan, nama dan mengumpul harta hingga mengabaikan Mark dan ibunya.

Ruang penulisan Spark tidak tercicir walaupun dia menggunakan teknik imbas kembali yang berlapis dalam naskhah ini. Ruang realiti adalah perbualan Adrienne dan Amanda. Namun, imbas kembali berlangsung dalam pemaparan naskhah melalui cerita yang disampaikan Adrienne juga setiap penceritaan itu turut mempunyai imbas kembali dalam fikiran watak ketika itu. Hal ini bukanlah satu teknik yang mudah. Pada akhir cerita, Amanda telah berubah dan mempunyai pandangan yang baru terhadap ibunya. Ternyata, Adrienne mampu menyembunyikan kisah cinta dan kelukaannya daripada pengetahuan anaknya selama ini. Amanda mula merasa hormat dan kagum dengan ketabahan ibunya. Tujuan Adrienne menceritakan kisah itu adalah untuk memberi semangat kepada Amanda untuk terus hidup kerana masih ada anak-anak yang memerlukan sokongan ibu mereka. Seorang ibu harus kuat sebagai pendorong, bahawa segalanya akan tetap berterusan dan kehidupan harus diteruskan seperti sediakala. Amanda menyimpan pesan ibunya, hidup mesti berani bertindak dan jangan hanya berfikir tanpa berbuat apa-apa. Hasil tindakan itu akan terus menjadikan kita berani meneruskan hidup satu hari lagi. Cukup dengan satu hari dan begitulah yang dilakukan Adrienne sehingga setiap satu hari itu menjadi minggu,bulan dan tahun hingga ke usia tuanya.

Monday, October 24, 2011

"The Lovely Bones" Perjalanan Masih Panjang

Bila membaca karya Alice Sebold ini aku memang tak dapak elak daripada bersuara dalam hati, “ Teruskan berjalan!”. Sekali lagi Sebold telah menyihir aku dengan kekuatan cerita dan bahasanya. Pastinya ramai yang kenal akan karya ini kerana telah pun muncul dalam bentuk filem. Aku menonton filemnya sebelum membaca karya ini. Lakonan Saoirse Ronan sentiasa membayangi aku sewaktu membacanya. Aku lebih suka novel daripada filem.

Dalam novel, kekuatan bahasa Sebold berjaya menggambarkan perasaan watak dengan lebih sempurna. Perjalanan dan aturan plot juga lebih baik. Aku rasa filem gagal memaparkan sebab yang kuat untuk Susie Salmon terus ingin melihat perkembangan keluarganya. Susie yang berusia 14 tahun telah dirogol dan dibunuh dengan kejam oleh jirannya,Mr.Harvey. Nasib yang menimpa Susie masih menjadi tanda tanya pada keluarga dan masyarakat kerana mayatnya tidak dijumpai.

Watak Ruth yang mampu menyedari roh disekelilingnya lebih menarik dalam novel. Kebolehannya melihat roh telah menemukannya dengan roh Susie. Hubungan antara Ruth dan Ray Singh berkembang dengan lebih baik dalam karya ini. Ray Singh yang menyintai Susie menjadi dekat dengan Ruth sehingga mereka dewasa. Ray dapat merasai kewujudan Susie apabila berada bersama Ruth. Hubungan intimnya dengan Susie melalui tubuh Ruth merupakan satu unsur keajaiban yang sukar difahami secara rasional. Hal ini menimbulkan semacam satu harapan pada yang masih hidup.
Peristiwa yang menimpa ternyata memberi perubahan besar terhadap masyarakat yang mengelilingi keluarga Salmon.Hubungan kekeluargaan tercabar kerana peristiwa buruk yang menimpa. Abigail meninggalkan keluarga kerana tak tahan dibayangi kenangan terhadap anaknya. Usaha meneruskan hidup menjadi sukar apabila suaminya enggan menghentikan usaha mencari Susie. Daya usaha Detektif Len Fennerman memakan masa yang panjang, mampu mendapat pengiktirafan pembaca dalam novel berbanding filem. Jelas kesungguhan dan tekanan rasa bersalah yang menghantuinya atas kehilangan yang tidak terjawab, sentiasa menjadi beban tak tertanggung di bahu. Tambahan pula, dia telah terlanjur dengan Abigail(ibu Susie). Skandal mereka turut diketahui Lindsey(adik perempuan Susie) yang dirahsiakan demi ayahnya.

Kekeliruan dan kekesalan Susie atas kematiannya lebih mendapat simpati dalam novel. Kita dapat memahami pergolakan jiwa roh yang meninggalkan jasad tanpa rela. Sebold memberi keadilan pada watak Mr.Harvey apabila memaparkan fikiran dan didikan yang didapati daripada ibunya. Ternyata Mr.Harvey adalah mangsa keruntuhan sebuah institusi keluarga. Hal ini berbeza dengan kekuatan Jack(ayah Susie) yang tetap terus menjadi tunjang dalam keluarganya. Anaknya masih mendapat kasih sayang seadanya tanpa kehadiran Abigail.

Semangat Lindsey meneruskan hidup menjadi teladan pada Susie yang melihat perkembangan adik perempuannya ini dari alam yang berbeza. Lindsey telah berjaya membuktikan Mr.Harvey adalah pembunuh kakaknya. Namun, Mr.Harvey yang licik telah berjaya melarikan diri sebelum ditangkap polis. Cinta Ray terhadap Susie sentiasa mengikatnya dengan Ruth. Akhirnya, dia mampu menyintai Ruth seadanya tanpa bayangan Susie. Aku hormati bakat penulisan Sebold kerana dia mampu memaparkan kisah hidup yang realitinya sangat kompleks. Dia juga sangat serba tahu dan mampu memaparkan fikiran mana-mana watak yang diingini dengan begitu berkesan. Akhirnya, aku rasa kematian Susie tidak wajar, tetapi mungkin dengan cara ini saja watak disekelilingnya dapat lebih menikmati dan menghargai kehidupan.

"One Dance in Paris" Buka Mata tentang Diri

Rasa enjoy gila baca karya Julia Holden ini.Aku langsung tak berhenti membacanya hinggalah tiba ke muka surat akhir. Baru rasa puas hati. Karya ini macam perjalanan mencari harta karun. Ketinggian enam kaki cukup membuatkan Linda terasing. Bapanya seorang pemandu komuter langsung tidak mesra dengannya. Linda juga tak pernah berpeluang mengenali ibunya yang meninggal sewaktu dia masih kanak-kanak. Dia tidak pernah merasa dirinya istimewa apa lagi cantik. Namun, kehadiran sebuah kiriman mengandungi sehelai bulu head gear menimbulkan tanda tanya yang merungsingkan Linda. Begitu juga dengan sekeping gambar wanita cantik berpakaian showgirl yang menyerupai dirinya.

Linda akhirnya memberanikan diri menjejaki pengirimnya di Vegas. Pertemuannya dengan Dixie, sahabat lama ibunya memang mengejutkan. Ternyata ibunya seorang showgirl yang terkenal di Vegas malah melanjutkan kariernya di Paris sebagai La Gazelle. Linda mula menyedari anugerah yang diwarisi daripada ibunya. Buat kali pertama di Vegas, dia dilihat sebagai cantik dengan ketinggiannya. Namun, masih banyak persoalan yang menghantui Linda tentang latar belakang ibunya yang sebenar.



Pengembaraan Linda diteruskan hingga ke Paris. Linda benar-benar terkejut dengan kepopularitian ibunya. Dia berpeluang tinggal di kediaman mewah ibunya yang masih dijaga dengan baik oleh Madame Renard. Banyak yang Linda tahu tentang hidup lampau ibunya. Ibunya sangat popular dan terpaksa mengambil hati pelbagai jejaka. Ibunya juga tidak berpeluang menjadi dirinya sendiri. Maggie sentiasa hidup tertekan dihujani dengan perhatian daripada ribuan peminat malah terpaksa menjadi sempurna di mata umum yang sentiasa mengawasi gerak-gerinya. Linda mengenali Eddie, seorang pelukis hebat yang berselindung di sebalik karier sebagai akauntan bank.

Linda menjadi serba salah apabila Folies Bergere(panggung showgirl terkenal) ingin dibuka semula dengan Linda sebagai showgirl utamanya! Ternyata Linda memang mempunyai bakat semula jadi. Namun, pengalaman ibunya membuatkan Linda takut untuk hidup sebagai celebriti. Linda akhirnya meninggalkan Paris setelah kecewa dengan Eddie. Linda akhirnya mampu mencungkil tentang diri ibunya yang sebenar daripada ayahnya.

Ternyata, Maggie diselamatkan oleh ayahnya sewaktu cuba terjun ke landasan komuter. Perkenalan mereka membawa kepada persahabatan dan akhirnya mereka berkahwin. Ayah Linda begitu menghormati ibu Linda, dan tidak pernah bertanya tentang asal-usul Maggie. Tidak hairanlah, dia tidak mengetahui bahawa wanita yang dikahwininya adalah seorang showgirl terkenal yang digilai ramai.

Linda akhirnya memahami bahawa ibunya menyintai ayahnya kerana dia tidak perlu berpura-pura dan menjadi diri sendiri. Atas pengertian ini, Linda kembali ke Paris sebagai bintang baru Folies De’Soles apabila melihat lukisan Eddie di tembok taman Paris yang disiarkan dalam TV. Ternyata Linda salah faham terhadap Eddie. Dia berazam untuk menjadi diri sendiri dengan cinta Eddie juga showgirl terkenal di Paris.

Karya ini membuatkan kita faham betapa pentingnya kita menghargai diri sendiri. Linda walaupun ditekan masyarakat dengan pelbagai persepsi, tetap hidup dengan keadaan dirinya yang sebenar. Hal ini berjaya membuka mata Eddie hingga dia berani memilih untuk menjadi pelukis terang-terangan dan meninggalkan pekerjaan sebagai akauntan. Kekuatan cinta mengatasi segala-galanya, apabila ayah Linda berusaha menggembirakan Maggie malah menerima balasan cinta yang setimpal. Maggie pula mengorbankan karier yang dicintainya untuk mendapat cinta dan dirinya sendiri. Linda berjaya menjadi pujaan ramai tanpa perlu berpura-pura apabila mengumumkan dirinya sebagai bintang baru dan isteri kepada Eddie. Linda ingin membuktikan pada ibunya, wanita dalam bidang ini boleh berjaya dalam cinta dan karier!

Mencari Cinta dlm "Blue Diary"

Cinta pertama membawa ke mati. Begitulah yang boleh dikatakan pada watak Jorie dalam karya Alice Hoffman ini. Pertemuan pertamanya dengan Ethan di sebuah bar membawa kepada perkahwinan yang berlangsung selama 13 tahun. Mereka menjadi perhatian di pekan Monroe,Massachusetts kerana Ethan seorang yang sangat kacak dan kekar. Dia telah banyak berjasa kepada pekan ini sebagai sukarelawan fire department pekan malah punca kepada kejayaan pasukan baseball remaja.

Banyak sudut pandangan yang dipaparkan Hoffman dalam karya ini. Antaranya watak Ethan,Charlotte,Rosarie, Barney, Collie dan Katya. Setiap watak ini berkembang, mempunyai konflik diri dan berubah disekitar kejadian yang menimpa Ethan. Katya, teman Collie anak kepada Ethan telah melaporkan Ethan kepada pihak polis. Rupanya Ethan telah melakukan jenayah rogol dan bunuh yang kejam 13 tahun lalu. Hal ini mempersoalkan kewujudan Ethan dan cinta Jorie terhadapnya. Collie, anak mereka juga telah berubah sikap kerana penangkapan ayahnya itu. Dia merasa tertipu dengan didikan Ethan terhadapnya selama ini. Tidak guna mengamalkan ajaran-ajaran mulia Ethan sedangkan si ayah sendiri seorang penipu dan sadis.

Katya pula sentiasa memaparkan fikiran-fikirannya terhadap semua watak yang terlibat dalam karya ini. Dia begitu bersimpati terhadap temannya Collie dan merasa bersalah kerana menelefon polis setelah melihat paparan penjenayah yang masih belum ditangkap di kaca TV. Dia juga mengalami konflik diri apabila merasa rendah diri di sisi seorang kakak yang cantik,popular malah menjadi pujaan ramai. Dalam diam, Katya mempunyai perasaan istimewa terhadap Collie. Katya turut keliru dengan tindakan ayahnya yang membunuh diri setelah menghidapi kanser.


Kakak Katya Rosalie, begitu megah mempermainkan perasaan jejaka yang meminatinya. Namun, secara sulit Rosalie sering mencederakan diri sendiri apabila mengenangkan ayah mereka yang membunuh diri. Dia tidak dapat menerima tindakan ayah yang amat disayangi dan dikaguminya itu. Takdir memperminkan Rosalie apabila dia jatuh cinta dengan Ethan. Ethan yang diabaikan Jorie memberi perhatian istimewa kepada Rosalie. Rosalie menjadi aktivis yang bergiat cergas dalam usaha pembebasan Ethan. Sedih sekali, apabila dia sentiasa menunggu di luar rumah dengan sebuah beg tanpa mengira hujan dan panas. Katya dengan tipu muslihat telah menggagalkan usaha Rosalie mengikut Ethan ke bandar lain untuk dibicarakan. Rosalie pula menyangka pihak Ethan tidak datang menjemputnya.

Charlottte sahabat baik Jorie telah menemui cinta sejati. Itu pun di saat akhir penyakit kanser payudaranya yang kronik. Siapa sangka sejak di bangku sekolah, Barney menyimpan cinta terhadap Charlotte. Peristiwa yang berlaku di pekan mereka membuatkan Barney tidak mahu kesal selamanya. Dia meluahkan cintanya kepada Charlotte dan menemani Charlotte menempuh hari-hari terakhirnya. Jorie pula mengambil keputusan meninggalkan Ethan. Lelaki seperti Ethan tidak layak menerima cintanya.

Karya ini sangat kuat kerana menimbulkan kesan emosi kepada pembaca tanpa perlu berusaha bersungguh-sungguh. Kita dapat merasai setiap perasaan yang dialami watak melalui narratornya. Aku sendiri tak dapat memberi keputusan pada diri aku. Jorie betul atau Ethan. Ethan sendiri memang kesal dengan tindakannya juga menyintai Jorie sepenuh hati. Jorie pula menyintai Ethan tapi tak dapat menerima kekejaman yang pernah dilakukannya. Anak mereka Collie merasa hidupnya satu penipuan mengenangkan identiti sebenar Ethan. Sebuah karya yang mampu menggerakkan hati setiap pembaca. Persoalannya, benarkah cinta itu buta? Sejauh mana cinta itu menjadi satu dosa? Susah aku nak tentukan.

Friday, September 23, 2011

"Taubah" Satu Teladan

Sewaktu berusia 9 tahun, aku telah membaca buku ini di perpustakaan sekolah. Aku teruja dengan kisah hidup remaja bernama Taubah ini. Imaginasi aku mula menakutkan diri dengan zaman remaja yang penuh godaan. Aku terus dan rajin membaca karya Ariffin Ngah ini hingga aku dewasa. Aku meminjamnya di perpustakaan sekolah menengah,library awam hingga ke perpustakaan di universiti. Sukar aku nak jelaskan kenapa aku suka membaca novel ini berulangkali. Akhirnya, aku dapat memiliki novel ini di jualan Pesta Buku,PWTC April 2011. Mudahlah aku nak membacanya bila teringin.

Narator utama karya ini adalah seorang Penolong Kanan HEP di Sekolah Bukit Tinggi. Aku tak pasti kisah ini catatan sebenar atau sekadar fiksyen. Tapi, karya ini buatkan aku terbuka fikiran tentang sistem pendidikan di negara kita. Kadang kala, sistem tidak memberi faedah dan menjatuhkan terus insan yang lemah atau silap dalam kawasan sekolah. Sekolah ini memang terkenal dengan pelbagai kes juvana asrama (curi,dadah,rokok,hidu gam,lesbian hingga ke seks). Usaha Penolong Kanan ini dibantu dengan pengakuan atau catatan seorang pelajar,Taubah. Pengakuan Taubah telah berjaya menjawab kes 'sleeping' atau seks antara pelajar di asrama tersebut.

Kiranya teknik cerita dalam cerita menjadikan karya ini sedap dibaca. Hampir separuh buku ini diisi dengan pengakuan Taubah. Setelah itu,kembali kepada situasi sebenar dari sudut pandangan watak Penolong Kanan HEP tersebut. Taubah merasakan budaya yang dibawa pelancong menjadi dorongan kuat untuknya terlibat dalam pelbagai gejala sosial. Keseronokan yang dikecapinya adalah rahsia kecermelangan dalam pelajaran dan kokurikulum. Aku akui hal ini benar. Segelintir remaja dapat menumpukan pelajaran dengan lebih cemerlang apabila berhati senang. Namun, kalau keterlaluan bolah juga menjejaskan kejayaan yang dicapai.



Janji Penolong Kanan HEP untuk membantu dan membimbing pelajar ternyata tak semudah ucapan. Tindakan terhadap pelajar bermasalah (yang disebut dalam pengakuan Taubah) perlu dipersetujui oleh ahli jawatankuasa yang bermesyuarat. Macam biasa, ada yang digantung dan dibuang sekolah kerana suara ramai. Malang sekali pelajar lelaki yang dibuang menjadi pengedar dadah dan ditangkap polis kemudiannya. Taubah yang digantung sekolah, terus menghilang. Hanya muncul dalam majalah Asian Week sebagai pelajar terbaik di Al-Azhar Mesir.

Aku suka kisah ini kerana Taubah yang salah langkah mempunyai kekuatan untuk memperbetulkan kembali landasan hidupnya. Bukanlah satu usaha dan tindakan yang mudah. Dia mampu mengubah cap yang telah diberi oleh institusi sekolah apabila digantung daripada persekolahan. Cap rekod disiplin bila berada di alam remaja dikelilingi pelajar lain dan guru yang sentiasa mengingatkan individu bahawa mereka pernah ‘bersalah’(sangat tertekan!).

Pelajar seperti Shukri dan Azman Ali yang dibuang sekolah terus hanyut dalam dunia kesilapan hingga mengedar dadah dan ditangkap. Mereka ini sewaktu bersekolah adalah pelajar yang pintar cuma bermasalah daripada aspek disiplin(mengikut peraturan sekolah). Namun, kejayaan Taubah akhirnya mengangkat kembali kekuatan dan pilihan adalah terletak pada individu bukannya orang lain.Walau bagaimanapun,aku tetap tertanya-tanya juga..betul ke sistem pendidikan yang begini?

"The Boy Who Loved Anne Frank" Konflik jatidiri bangsa


Sebuah karya arkitaip tentang Peter rakan baik Anne Frank sewaktu di Secret Annexe. Menurut sejarah, Peter hilang begitu saja tanpa dikesan. Ellen Feldman dengan imaginasinya cuba mewujudkan Peter yang hilang dalam sejarah. Aku rasa Feldman sangat kreatif dan mempunyai daya imaginasi yang sangat baik. Beliau mampu menghasilkan karya ini tanpa tempelan sejarah. Penulisannya sedaya upaya cuba berpaksikan fakta sejarah tentang watak dan peristiwa yang tertulis dalam diari Anne Frank. Peter juga berjaya diwujudkan dengan amat meyakinkan seolah-olah karya ini adalah kisah sebenar Peter yang telah hilang.

Peter telah menaiki kapal ke Amerika. Dia menukar namanya dan tidak mengakui dirinya seorang Yahudi. Peter telah berjanji pada dirinya, dia tidak mahu lagi dihina dan ditindas kerana menjadi Yahudi. Penyamaran ini berlangsung sehingga dia berkahwin dan mempunyai tiga orang anak. Status bukan Yahudinya ini telah menjadikannya seorang kontraktor yang berjaya. Hidupnya mula tertekan apabila melihat isterinya,Madeleine membaca diari Anne Frank yang telah diterbitkan oleh Otto Frank. Peter mengalami kehilangan suara,halusinasi malah hampir membunuh diri di stesen kereta api. Untungnya, Madeleine sempat menghalang Peter. Lebih bernasib baik lagi, Madeleine tak pernah bertanya tentang masa lalu Peter dan mengambil sikap berdiam diri menangani kerenah Peter.

Peter merasa bersyukur diketemukan dengan Madeleine. Asalnya, Peter jatuh cinta kepada Susannah, kakak Madeleine. Namun, Susannah menolak cinta Peter kerana Peter menyatakan dia bukan seorang Yahudi. Perjalanan hidup sememangnya aneh kerana Peter berkahwin dan menyintai isterinya seorang Yahudi(walaupun dia menafikan keYahudiannya). Madeleine sanggup menerima bekas kekasih kakaknya ini tanpa mengira keturunan atau agama. Mulanya Peter tidak disenangi keluarga mentua tetapi masa yang berlalu telah memperbaiki segalanya. Tekanan Peter bertambah apabila kisah Anne Frank dipentaskan di teater dan layar perak. Dia begitu tertekan dengan lakonan dan olahan yang bertentangan dengan pengalaman sebenar yang dilaluinya di Secret Annexe. Watak ayahnya dipaparkan sebagai pencuri dengan nama yang bermaksud bodoh(hanya gelaran dalam diari Anne Frank bukan nama sebenar ayahnya). Peter merasakan masyarakat mempersendakan sejarah dan keperitan yang pernah dilaluinya serta warga Secret Annexe yang lain.

Setelah melalui pelbagai konflik diri, Peter cuba mengakui tentang identitinya yang sebenar kepada Otto Frank. Malangnya, Otto sendiri mengalami tekanan dengan pelbagai salah faham berkaitan kisah Anne Frank di mahkamah. Otto enggan mempercayai Peter sebagai Peter di Secret Annexe. Peter cuba menghubungi pak ciknya yang telah memberikan wang untuk ke Amerika dulu. Peter yakin pak ciknya dapat meyakinkan Otto tentang dirinya yang masih hidup. Pak cik Peter menyatakan tidak mungkin, kerana anak saudara yang disayangi tak mungkin mengambil wangnya begitu saja dan hilang tanpa berita. Peter semakin tertekan dengan kenyataan ini.

Peter akhirnya memberanikan diri menceritakan perkara sebenar kepada rakan niaganya(juga seorang Yahudi). Madeleine dan keluarga mentuanya menerima kebenaran ini dengan hati terbuka. Susannah sebaliknya menganggap Peter seorang pendusta dan enggan memaafkan Peter kerana penipuannya itu. Peter kesal dengan tindakannya selama ini. Namun, apa yang terjadi tak dapat diperbetulkan lagi. Peter akhirnya sedar dan mula menghargai pengalaman lalunya di bawah kekejaman perang. Peter dapat memahami bahawa menjadi seorang Yahudi bukanlah sesuatu yang salah. Perang telah berlalu dan kezaliman tidak lagi akan menimpa kaum Yahudi.

Karya ini berakhir dengan lawatan Peter ke Amsterdam pada tahun 2003(kisah Peter dalam novel ini bermula dari era selepas perang). Anak-anak Peter telah berkahwin malah mengekalkan nama keluarga mereka. Cucunya turut dinamakan sempena nama moyang mereka dan nama sebenar Peter. Moralnya, kita tak mungkin mengubah keturunan dan bangsa kita kerana hanya itu yang tinggal untuk dipegang dan dibanggakan kalau tak, wujud kita tak memberi sebarang makna.

Bahasa menyatukan Jiwa dlm "The Sound of Language"

Pengalaman Amulya Malladi sewaktu kali pertama tiba di Denmark diolah membentuk karya ini. Menurutnya, kali pertama mendengar bahasa Danish yang dituturkan di Denmark mengingatkannya kepada bunyi dengungan lebah. Dia merasakan dia takkan mampu menguasai bahasa ini. Namun, Raihana yang menjadi watak utama karya ternyata mampu menguasai bahasa tersebut dengan singkat. Pastinya dengan keazaman dan disiplin yang tinggi.

Raihana datang ke Denmark dari kem pelarian perang. Hidup di negara baru dengan ingatan terhadap suami yang tidak diketahui statusnya hidup atau mati. Pengalaman pahit di bawah pemerintahan Taliban menjadikan Raihana cekal. Dia tidak pernah menceritakan atau mempamerkan keperitan yang pernah dilaluinya. Raihana telah mendapat simpati Christine, guru bahasa Danish di sekolah bahasa. Setiap pendatang perlu menguasai bahasa Danish untuk bekerja atau menyambung pengajian di Denmark.

Usaha menguasai bahasa ini memerlukan pelajar menjalani latihan praktikal di tempat umum. Jika pelajar lain menjalaninya di pasar raya, Raihana telah di tempatkan di sebuah tempat pembiakan lebah milik Gunnar,sahabat Christine. Gunnar seorang duda yang baru kematian isteri. Dia tidak dapat meneruskan hidup malah menghabiskan masa untuk mengelamun dan bersedih mengenangkan isterinya(menyebabkan lebah peliharaannya terbiar). Pertemuan dua watak ini melahirkan konflik prejudis yang melatari Denmark. Raihana berjaya membangkitkan kembali semangat Gunnar untuk meneruskan usaha isterinya menternak lebah.


Mereka berdua menjadi perhatian serong jiran tetangga dan menantu Gunnar. Masyarakat sekeliling berfikiran buruk terhadap Raihana apabila mengetahui dia seorang Islam yang datang dari Afganistan. Mereka menganggap pendatang sepertinya menghabiskan duit kerajaan mereka, ingin mengebom tempat tinggal mereka malah mungkin cuba menggoda Gunnar untuk mendapatkan status tetap di Denmark. Raihana menjadi mangsa remaja skinhead yang racist sehingga dicederakan. Rumah saudara yang ditumpanginya juga dibakar oleh puak pelampau ini.

Namun, Gunnar sekeluarga dan rakan-rakan sekeliling telah menunjukkan sifat kemanusiaan yang tinggi apabila membantu membaiki rumah Raihana. Mereka juga menghadiri dan bergembira di majlis perkahwinan Raihana. Akhiran karya ini memaparkan kekuatan kemanusiaan sesama insan yang berlainan bangsa dan budaya. Kepentingan bahasa juga diterapkan dalam proses memahami antara satu sama lain. Pengalaman Raihana sepanjang bekerja bersama Gunnar telah membuka hatinya untuk berkahwin semula.

Karya ini sangat menarik kerana setiap watak mempunyai kegusaran yang sentiasa bermain dalam hati dan fikiran mereka. Namun, keadaan semasa tetap berjalan dalam penceritaan. Amulya juga berjaya meyakinkan pembaca dengan detail-detail yang deskriptif tentang penjagaan lebah. Teknik imbas kembali melalui diari Anna(isteri Gunnar) untuk Raihana memahami dan menguasai penjagaan lebah sangat kreatif. Aku memang enjoy membaca karya ini. Aku asyik terfikir, bunyi bahasa memang berbeza tetapi makna yang ingin dizahirkan daripada hati tetap sama lebih-lebih lagi apabila berkaitan dengan simpati dan kasihan belas sesama insan.

"The Stolen Child" Menyentuh Kemanusiaan

Falsafah kewujudan mempersoalkan setiap tindakan dan kaitannya dengan kemanusiaan. Setiap makhluk mempunyai naluri belas kasihan secara alamiah. Karya ini menceritakan tentang Henry Day dan Aniday. Keith Donohue memaparkan dua sudut pandangan watak yang menuruti setiap bab dalam novel ini. Pada usia tujuh tahun, Henry Day yang merajuk menyembunyikan diri dalam hutan di belakang rumahnya. Peluang ini diambil oleh sekumpulan hobgoblin menculiknya dan menggantikan tempat Henry Day dengan salah seorang daripada mereka. Kawasan ini memang terkenal dengan mitos ‘changelings fairy’. Pari-pari ini akan menukar kanak-kanak manusia dengan ahli mereka setiap seratus tahun. Mereka akan memilih kanak-kanak dengan criteria tertentu. Setiap ahli akan mengumpul informasi berkaitan kanak-kanak yang dipilih(tabiat,kenalan,kebolehan dsbnya).

Henry Day melalui hidup sebagai pari-pari di hutan. Dia telah bersahabat dengan Speck yang masih mencuri-curi membaca di perpustakaan manusia. Mereka yang telah hidup di kalangan pari-pari ini mesti melupakan segala-galanya tentang dunia manusia. Menariknya, Henry Day atau Aniday (nama asalnya digantikan dengan baru oleh kumpulan pari-pari) masih boleh membaca,menulis dan melukis walaupun telah lama hidup di kalangan pari-pari. Hal ini membantu kumpulan pari-pari sewaktu melakukan pecah masuk di dapur manusia atau pasar raya(Aniday boleh membaca label keperluan dapur seperti garam,gula dsbnya untuk diambil). Aniday cuba menyesuaikan diri dengan peraturan dan undang-undang hidup kumpulan pari-pari ini(banyak pantang-larang yang berlainan daripada kehidupan manusia biasa). Aniday juga pernah dihukum kerana mempamerkan dirinya kepada manusia. Secara rahsia, dia cuba menjejaki dirinya yang pernah menjadi manusia.

Pari-pari yang menggantikan Henry Day juga mempunyai konflik tersendiri. Dia sentiasa bimbang penyamarannya diketahui oleh keluarga Henry Day. Ternyata dia sangat berbakat dalam bidang muzik malah mampu mengimitasi personality lain dengan baik. Ayah Henry memang curiga dengan Henry Day yang pulang daripada hutan. Sehingga dewasa, ayahnya tidak pernah menerima Henry Day sepenuhnya. Henry Day melalui kehidupan remaja dengan masalah seksual, pengaruh rakan sebaya dan percubaan menjadi anak yang taat. Keluarganya telah menghabiskan wang yang banyak untuk pendidikan muziknya. Dia seorang pemain piano termuda dengan gaya permainan tersendiri. Tekanan rasa bersalah membuatkan dia pernah beberapa kali menceritakan perihal diri sebenarnya kepada rakan-rakan. Namun, mereka menganggap dia sekadar bergurau.



Setelah berkahwin, Henry Day berjaya menjejaki garis keturunan asalnya. Dia diculik oleh pari-pari beratus tahun yang lalu di German. Kelahiran anaknya telah mewujudkan tekanan dan trauma. Dia bimbang kalau-kalau anaknya turut diculik pari-pari untuk ditukar. Pertemuannya dengan Aniday juga semakin menekan dengan rasa bersalah. Dia sentiasa terkenang kembali ibunya, suasana dia dibesarkan di German dan pelbagai kenangan zaman kanak-kanaknya sebelum diculik dulu. Henry Day nyaris gila dan kesal dengan takdirnya mengambil tempat Aniday.

Siapa yang tak mahu kenal dan menjadi diri sendiri. Inilah persoalan besar yang melatari karya ini. Henry Day dan Aniday secara sengaja atau tidak asyik terserempak dengan situasi-situasi yang mempersoalkan wujud diri mereka. Akhirnya kedua watak ini telah bersemuka. Henry Day yang menyamar telah berusia manakala Aniday masih di usia tujuh tahun menanti gilirannya pula untuk ditukar oleh kumpulan pari-pari menjadi manusia. Aniday tersentuh dengan keadaan Henry Day yang begitu tertekan dengan kekesalan. Aniday sendiri merasakan, Henry Day hanya mangsa keadaan sepertinya.

Peristiwa ini memberi kesan kemanusiaan yang mendalam. Henry Day dapat juga menghilangkan rasa bersalah kerana merampas tempat Aniday selama ini. Aniday pula menerima nasibnya dengan hati terbuka. Dia menganggap segalanya telah ditakdirkan dan tidak menyalahkan Henry Day yang mengambil tempatnya. Aniday mengucapkan selamat tinggal kepada Henry Day dengan memberi ingatan agar Henry Day meneruskan peluang hidup yang diberikan sebaik mungkin. Aniday juga mengambil keputusan berani untuk hidup bersendirian dan meninggalkan kumpulan pari-pari tersebut. Dia tidak ingin lagi mengejar bayang-bayang lalu, kehidupan sebagai manusia kerana dia telah menjadi pari-pari. Dia harus meneruskan hidup seperti yang telah ditakdirkan. Begitu juga Henry Day.

"Hatiku di Harajuku" Hargai Peluang Kedua!


Aku dah lama melihat dan terjumpa karya-karya Ramlee Awang Murshid. Baik di library mahupun di toko-toko buku. Namun, aku langsung tak tertarik atau mempunyai keberanian untuk membacanya. Mungkin cap “penulis thriller” yang diberikan di cover-cover karyanya buat aku tak selesa. Persoalan yang timbul, “iyakah bagus? Sethriller mana sangat? Alah, thriller Melayu…”Setelah sekian lama, hati aku terbuka juga untuk try baca hasil karyanya, Hatiku di Harajuku.

Permulaan novelnya saja menimbulkan suspens ingin tahu pada aku melalui monolog watak Sabrina. Teknik imbas kembali digunakan untuk menaikkan tempo cerita melalui insiden pembunuhan di Jepun. Laju tapi masih teratur urutan dan jalinan ceritanya. Aku enjoylah membaca karya ini. Pengetahuan Ramlee yang mendalam tentang subjeknya menimbulkan rasa hormat aku pada beliau. Teknik dialog Jepun, gambaran latar tempat dan masa, juga info-info berkaitan falsafah dan adat Jepun digarap dengan penuh keserba tahuan. Aku rasa inilah tarikan utama novel ini. Kira logiknya juga aku boleh terima. Siapa sangka seorang pemuda Melayu boleh menjadi seorang yakuza kerana cintanya kepada pemimpin anak yakuza.

Ryu-Watanabe jatuh cinta kepada Noriko anak kepada ketua yakuza Amikie. Ryu sanggup dipukul dan melalui pelbagai rintangan untuk belajar menjadi samurai daripada Nakamura, datuk Noriko. Malangnya cinta mereka tak kesampaian kerana berlainan bangsa, ternyata Ryu-Watanabe adalah seorang pemuda Melayu. Aku tahu pun setelah latar masa kini memaparkan watak Risham yang sering dibuli dan bekerja dengan Sabrina,seorang pengusaha restoran makanan Jepun. Watak Ryu ditampilkan melalui imbas kembali situasi dan juga melalui watak pembunuh yang mengganas membunuh yakuza Jiro di Jepun pada latar semasa.

Sabrina mnegetahui tentang keagungan cinta Ryu-Watanabe dan Noriko melalui cerita sepupunya Murni yang belajar di Jepun. Sabrina memang kagum dan mengimpikan lelaki seperti Ryu(sedangkan Ryu ada di depan mata Sabrina!).Aku hanya tahu Ryu dan Risham adalah orang yang sama melalui penceritaan Sabrina kepada Murni tentang insiden di tempat letak kereta. Sabrina tahu Risham hanya berpura-pura berperawakan lemah. Hal ini kerana, Risham tangkas berlawan sewaktu menyelamatkan Sabrina yang nyaris dicederakan.

Sabrina telah jatuh cinta kepada Risham atau Ryu. Malangnya, masa lalu Risham sebagai yakuza telah mencalarkan kepercayaan Sabrina terhadap jejaka pujaannya. Tuduhan-tuduhan membunuh dilemparkan kepada Risham malah Sabrina enggan mempercayai Risham yang ingin menyelamatkannya sewaktu diculik oleh Noriko. Sebenarnya semua pembunuhan terhadap yakuza Jiro di Jepun dan beberapa siri pembunuhan yang berlaku di Malaysia adalah berpunca daripada Noriko yang salah sangka terhadap Risham. Dia ingin membunuh Risham walaupun, Risham adalah Ryu Watanabe yang dicintainya. Ternyata Noriko yang dianggap mati kerana dibunuh yakuza Jiro sebenarnya masih hidup dan menunggu saat yang sesuai untuk menuntut bela.

Risham akhirnya terpaksa bertarung dengan Noriko. Dia berjaya menikam perut Noriko dan menghilangkan diri bersama Noriko yang parah. Sabrina tidak sempat memohon maaf kepada Risham kerana tuduhan dan sangkaan buruknya selama ini. Karya ini berakhir dengan usaha Sabrina mencari dan menanti kemunculan Risham. Mereka bersua setahun kemudian di ladang strawberi bernama ‘Harajuku’ di Cameron Highlands. Risham adalah pengusaha ladang tersebut. Dia telah pun bersatu dengan cinta yang sentiasa bersemadi di hatinya, Noriko. Noriko telah memeluk Islam dan mengahwini Risham. Mereka menggunakan peluang kedua ini untuk memulakan hidup baru. Sabrina memang kesal kerana dia telah mengabaikan banyak peluang kedua yang diberikan oleh Risham untuk menyintainya.

Secara keseluruhan, karya ini membincangkan tentang peluang. Risham sentiasa dicabar dengan halangan yang menguji pilihannya untuk berubah. Perbuatan Sabrina yang sentiasa sangsi dengan Risham, membuatkan Risham lebih rasional dalam memberikan peluang kedua kepada insan yang pernah mengecewakannya. Sebab itu Risham kembali berjumpa dengan ayahnya. Dia sanggup memaafkan ayahnya yang mengabaikan ibunya. Ibunya dipenjara kerana dadah yang diedar oleh ayahnya ditemui di rumah mereka. Risham sendiri dilahirkan dalam penjara. Dia turut memberi peluang kepada Noriko untuk meneruskan cinta dan impian mereka berdua yang tidak kesampaian sebelum ini. Aku bersimpati dengan watak Sabrina yang belajar tentang nilai peluang itu dengan cara yang amat pahit. Cintanya tak kesampaian, alangkah baiknya jika dia setia mempercayai Risham sewaktu dalam kesusahan dengan pelbagai tuduhan membunuh dulu. Satu kisah cinta tiga segi yang sangat lain daripada lain.

Penghormatan dan Pemahaman Wanita dlm "The Night of The Mi'raj"

Wanita hanya di tapak kaki saja nilainya. Itu yang aku rasa bila membaca karya Zoe Ferraris ini. Kematian Nouf di padang pasir mengundang ingin tahu abangnya Othman. Othman meminta bantuan Nayir, seorang Palestin yang warak untuk menyiasat tentang kematian Nouf. Penyiasatan ini menemukan Nayir dengan tunangan Othman, Katya. Kedudukan Katya yang bekerja di makmal forensic menimbulkan persoalan yang besar kepada Nayir. Katya telah mencabar masyarakat Arab apabila bekerja dan masih belum berkahwin di usia 28 tahun. Dia berani bertentang mata dengan lelaki bukan muhrim, melakukan penyiasatan dengan Nayir tanpa pengawal peribadi malah mempamerkan wajahnya kepada Nayir. Hal ini memang menimbulkan keserbasalahan kepada Nayir yang taat dengan adat dan hukum.

Nayir mula memahami tentang keinginan wanita dan kebebasan hak mereka melalui proses penyiasatan yang dilalui bersama Katya. Nayir sentiasa berperang dengan hukum adat dan undang-undang Islam pemerintah terhadap wanita. Katya telah membuka mata Nayir tentang wanita. Mereka hanya antara manusia yang ingin hidup. Bayangkan Nouf yang ditemui mati, sebenarnya dibunuh bukannya melarikan diri daripada perkahwinan yang diaturkan keluarga. Kematian Nouf juga diklasifikasikan sebagai kemalangan demi menjaga maruah keluarga Badwi terhormat. Sebenarnya Nouf tidak mempunyai sebab untuk lari kerana dia telah membuat perancangan akan menghilangkan diri hanya sewaktu bulan madunya di New York kelak.

Penyiasatan Nayir sememangnya memberi kesan yang besar terhadap pegangan yang dipegangnya selama ini. Hidup Nouf yang terkurung sebagai wanita dikalangan masyarakat Arab telah menutup pintu kebebasan. Hal ini menjadikan Nouf begitu terdesak untuk meninggalkan keluarga mereka. Dia tak sanggup berdepan dengan Othman jika mengahwini lelaki pilihan keluarga,Qazi. Jika dia berkahwin, bayangkan dia mesti berdepan dengan Othman seumur hidupnya. Othman yang dicintainya sepenuh hati tapi tidak dapat dimiliki. Kehidupan Nouf yang penuh dengan rahsia menyukarkan penyiasatan Nayir. Nouf ternyata secara sulit menyamar sebagai lelaki(tanpa pengetahuan keluarganya) menaiki motosikal dan menghabiskan masa di zoo. Di sinilah dia bertemu dengan Othman dan berasmara hingga mengandung.

Tekanan yang dihadapi wanita menjadikan adik Nouf yang seirasnya,Abir membunuh Nouf. Dia cemburu kerana Nouf bakal berkahwin dengan Qazi yang diidamkannya. Abir tidak dapat membiarkan Nouf yang ‘berdosa’ memiliki Qazi. Nayir telah berjaya menyelesaikan rentetan peristiwa sulit yang dilalui Nouf dengan begitu sukar. Hasil yang didapati memang membuka mata Nayir. Wanita perlu diberi hak dan kebebasan, jika tidak wanita yang tertekan akan mengambil tindakan yang di luar kawalan. Abir boleh saja memberitahu Qazi yang tunangnya mempunyai kekasih lain malah telah pun mengandung. Malangnya jalan mudah diambil dengan melenyapkan Nouf dari muka bumi ini. Wanita telah diajar untuk tidak bersuara.

Hubungan kerja yang dilaluinya dengan Katya menjadikan Nayir belajar menghargai kepakaran yang dimiliki wanita. Wanita bukan alat atau punca zina hingga mereka dipaksa memencilkan diri. Nayir mula memahami bahawa lelaki sepatutnya lebih memahami dan menghormati wanita untuk berada di sekeliling mereka tanpa fikiran yang terarah kepada nafsu. Jadi, inilah ketahanan iman yang diagung-angungkan sangat oleh lelaki mereka, mengawal nafsu bahimiyyah bukannya memenjara wanita untuk mengelakkan perlakuan sumbang tersebut!



Zoe Ferraris memang bagus sebagai penulis kerana unsur suspens berjaya diaturkan sepanjang karya hingga mengangkat tema penyiasatan dengan begitu teliti. Aku juga tertipu dengan andaian siapa yang bunuh Nouf?Aku sangkakan Othman kerana dia ada motif yang kuat ,alibinya juga meragukan. Namun, ternyata apabila semua bukti disimpulkan memang jelas Abirlah pembunuh Nouf. Bila direwind semula daripada awal cerita rentetan dan bukti kejadian, sah memang Ferraris penulis penyiasatan yang hebat giler!

"Penelope" Terima Kekurangan Diri

Aku memang suka gila baca cerita-cerita berbentuk fairytale seperti ini. Walaupun aku dah terlalu tua untuk cerita fantasi, aku tak pernah menolak untuk membaca atau membelinya bila berkesempatan. Sebenarnya novel ini berdasarkan filem Penelope lakonan Christina Ricci(heroin pujaan aku!). Selalu novel ke layar perakkan? Tapi,Marilyn Kaye mengadaptasi filem ke novel dengan pengenalannya oleh Reese Witherspoon. Ceritanya sangat simple lagi sweet. Penelope tak pernah bergaul kerana segala-gala yang ada di luar telah disediakan oleh keluarganya yang kaya-raya. Kewujudannya tidak diketahui umum malah kematiannya telah dipalsukan untuk menutup mata masyarakat.

Semua ini dirancang oleh ibunya dengan bantuan kakitangan professional, status dan kekayaan mereka. Penelope mengharungi hidup selama hampir 25 tahun dengan rutin yang sama dan tertutup di dalam rumah mewah keluarganya. Walaupun memiliki dan mampu mendapatkan apa saja, Penelope mengharapkan dirinya berubah menjadi lebih sempurna kerana itu yang dicanangkan oleh ibunya pada Penelope selama ini. Wajah comelnya berhidung khinzir adalah akibat sumpahan ahli sihir terhadap keturunan mereka(sebelah bapa).



Sebab itu, Penelope tidak dibiarkan menjalani kehidupan normal.Jauh di sudut hatinya, dia ingin menjelajah melihat dunia luar. Namun, dia sentiasa disibukkan dengan aktiviti mencari jodoh. Cara meleraikan sumpahan itu adalah apabila ada di kalangan golongan mereka(berpengaruh dan bangsawan) mengahwini anak perempuan keturunan mereka. Dalam masa yang sama, seorang wartawan cuba membalas dendam kepada ibu Penelope kerana mencacatkan matanya. Hal ini berlaku ketika dia cuba mengambil gambar Penelope sewaktu bayi tetapi dicederakan dengan senduk oleh ibu Penelope hingga buta sebelah mata. Malang sekali apabila lelaki yg diupah wartawan ini untuk mengambil curi gambar Penelope dalam sesi temuduga jodoh, benar-benar jatuh cinta dengan Penelope.

Malangnya,Penelope tak sedar tentang hal ini. Pemuda tersebut enggan mengahwini Penelope kerana sebenarnya dia bukan orang kaya bangsawan yang mampu meleraikan sumpahan Penelope. Dia sedar Penelope begitu bersemangat nak berubah. Jika dia mengucapkan kata cinta nanti, mungkin Penelope terpaksa mengorbankan cita-citanya untuk sempurna. Penelope kecewa kerana menyangka pemuda ini enggan berkahwin kerana hidung khinzirnya.Dia terus meninggalkan rumah. Dia menjelajah dunia luar dan menjadi celebriti setelah penyamarannya terbongkar. Ternyata, masyarakat luar sangat mengkagumi keunikannya. Penelope masih tidak menganggap dirinya ini adalah yang sebenar. Dia masih menyimpan cinta yang mendalam terhadap pemuda yang menghilangkan diri itu.

Akhirnya, Penelope berubah setelah dia bertekak dengan ibunya. Dia mengakui bahawa dia tetap dirinya sendiri walau apa yang berlaku. Maksudnya, sama ada dia berubah atau tidak. Sebenarnya ahli sihir yang menyumpah keturunan mereka itu, mengungkapkan sumpahan dengan tipu muslihat. Bukan Penelope harus berkahwin untuk meleraikan sumpahan tetapi sama ada golongan bangsawan seperti mereka boleh tak, menerima jika ada kekurangan diri. Itu sebenarnya pengajaran yang nak diberikan setelah moyang Penelope menyebabkan anak ahli sihir ini membunuh diri akibat mengandung(gadis ini tukang potong sayur di rumah mewah moyang Penelope). Moyang Penelope langsung tak membela gadis tersebut yang dah pun mengandungkan anaknya apabila keluarga bangsawan tersebut menghina dan menolak gadis itu daripada menjadi menantu keluarga mereka. Walaupun dia menyintai gadis tersebut, dia tidak berani melawan keluarganya.

Cerita yang ringkas ini memang mempunyai nilai moral yang tinggi. Kita tak patut pandang nilai diri seseorang dengan status atau harta benda. Manusia semua sama, ada kekurangan. Kita perlu menerima kekurangan diri kerana kita tak mungkin sempurna. Kasih sayang adalah asas yang penting dalam kehidupan melebihi segala-galanya. Ianya memang menuntut pengorbanan. Memang banyak yang dapat dipelajari dalam cerita begini kerana struktur ceritanya sendiri membangkitkan persoalan yang jelas melalui watak dan peristiwa yang berlaku. Apa yang penting,memang happy ending. Penelope bertemu semula dengan pemuda yang dicintainya itu. Segala salah faham berjaya dileraikan. Penelope sedar betapa pemuda itu begitu menyintainya. Sumpahan yang dialami Penelope telah berjaya mewujudkan sifat bangsawan sejati yang sebenarnya. Berani, Penelope berani menegakkan cintanya walaupun kekasihnya hanya seorang anak tukang paip!

Friday, August 5, 2011

"Vibrator" Getaran yg Mengembalikan Keghairahan

Ayat-ayat dalam karya ini sangat lirikal dan deskriptif. Taklah lirikal macam puisi-puisi Jepun kuno tapi gayanya diwujudkan secara moden oleh penulis baru,Mari Akasaka. Karya ini telah pun difilemkan. Aku dapat bayangkan, pastinya mood sensual dan melankolik kehidupan seorang wanita lebih menyerlah secara visual daripada teksnya! Karya ini juga mendapat pelbagai reaksi dan kecaman oleh masyarakat di Jepun kerana ‘keberanian Akasaka membentuk watak karyanya ini’. Watak Hayakawa Rei merupakan seorang wartawan majalah yang mencari kewujudannya dalam masyarakat. Penggunaan ayat dan sudut pandangan orang pertama memang sangat natural. Aku rasa macam ada dalam fikiran watak sebab teknik naratornya mengalir dengan lancar tanpa tapisan. Tapi skill penulisan Akasaka memang terbaik sebab dia mampu selektif tanpa mencacatkan kesan natural tersebut.

Latar cerita berlaku dalam satu hari di satu masa saja. Semuanya bermula di sebuah kedai sewaktu Hayakawa Rei ingin membeli stock minuman kerasnya(dia penagih alcohol). Hidupnya yang penuh kebosanan dengan rutin kerja, muntah selepas makan(bulimia) dan insomnia memang tidak merangsangkannya. Akasaka dengan teliti memaparkan fikiran dan suara hati watak yang sentiasa tertekan dengan kehidupan, juga pendapat,khayalan dan fantasi wanita. Setelah sekian lama, Hayakawa Rei merasakan perasaannya bergetar apabila melihat Takatoshi Okabe yang berkelakian pada pandangan pertama di sebuah kedai. Dia berperang dengan rasa sensasi dan pasif apabila merasakan semangat untuk melakukan sesuatu dalam hidup, menegur jejaka itu.

Takatoshi Okabe seorang pemandu truck yang telah pun berkahwin. Namun,hidupnya banyak di habiskan di jalanan menghantar muatan di sekitar Jepun. Lelaki ini telah berjaya menghidupkan suis dalam diri Hayakawa Rei. Perkenalan singkat ini tidak menghalang Hayakawa Rei daripada meniduri Takatoshi. Segala fikiran dan perasaan watak dinyatakan secara terus-terang dan detail (begitu juga dengan aksi dan reaksi sewaktu berhubungan seks!). Attitude selamba Hayakawa meniduri lelaki pada pandangan pertama(yg sudah beristeri pula tu!) memang mencabar nilai santun masyarakat matahari terbit. Apatah lagi dengan detail-detail fikiran dan aksi seks tanpa tapisan.

Perbualan kedua watak ini sentiasa dibayangi fikiran dan imbas kembali Hayakawa Rei menyebabkan dia sentiasa tersasar daripada realiti sebenar latar masa. Setiap yang dibualkan mengimbau nostalgia Hayakawa sejak bangku sekolah yang dipaksa keluarganya sendiri untuk mengikut apa yang diamalkan masyarakat. Walaupun dia tidak bersalah kerana dipukul gurunya tanpa sebab, ibunya enggan menukarkannya ke sekolah lain kerana tidak mahu mencabar institusi sekolahnya pada masa itu (dia enggan ke sekolah,hal ini memalukan keluarga dan masyarakat mengumpat mereka). Dia memang merasa dikhianati keluarganya sendiri.



Hayakawa membesar menjadi seorang wanita yang pasif dalam masyarakat. Tidak hairanlah dia mengisi waktu malamnya selepas bekerja keras dengan mabuk seteruk mungkin. Dia juga tertekan dengan penanda masyarakat tentang sikap dan perwatakan seorang wanita. Masyarakat moden Jepun memang terkenal sebagai ikon dunia fesyen. Oleh itu, konsep kecantikan sangat serius di kalangan wanitanya. Usaha untuk mencapai persepsi masyarakat itu menjadikan wanita seperti Hayakawa hilang kewujudan dirinya sendiri. Rasa dalaman diri sentiasa berperang dengan pengaruh masyarakat menjadikan kaum wanita sangat tertekan dalam memainkan peranan sebagai individu sebenar.

Perjalanan Hayakawa mengikuti Takatoshi menghantar muatan di sekitar Jepun berjaya membuka matanya selama ini. Sikap Takatoshi yang bersahaja dan mengambil berat telah menyedarkan Hayakawa tentang makna kewujudan. Takatoshi sendiri melalui hidup yang perit, namun dia memilih untuk bekerja sendiri dan tidak membiarkan kenangan lalu mencacatkan perjalanan hidupnya. Cara Takatoshi menikmati hidup secara sederhana dengan penuh keyakinan memberi satu tamparan hebat kepada Hayakawa.

Karya ini memang sangat dalam maknanya walaupun situasi yang dipaparkan simple. Aku suka bahagian akhir novel ini di mana Takatoshi mempelawa Hayakawa memandu trucknya mendaki jalan berbukit. Hayakawa berjaya mengawal truck dengan baik(sedangkan itu kali pertama). Apa yang penting, dia mula merasai perasaan yang telah hilang selama ini iaitu ‘keghairahan’. Secara simboliknya, dia telah berjaya mengawal kembali kehidupan dan kewujudannya melalui peristiwa memandu truck Takatoshi. Getaran yang diberikan oleh Takatoshi telah mengembalikan keghairahan dalam hidup Hayakawa. Wanita perlukan rangsangan dalam apa jua aspek sekalipun, bukan sekadar seks semata-mata. Wanita juga harus jujur menjadi diri sendiri dan berprinsip dalam menangani tekanan masyarakat. Itulah yang aku pelajari daripada karya Mari Akasaka ini.

"Cake"Berkubur dlm Perut

Sandra Newman mempunyai gaya penulisan yang unik. Yalah,setiap paparan ditandai dengan nombor satu,dua dan seterusnya hingga ke akhir cerita. Setiap bahagian nombor ini lazimnya tidak berakhir secara konvensional tapi disambung atau terputus begitu saja. Misalnya sewaktu watak menceritakan sesuatu di bahagian kedua, ayatnya terputus dan terus disambung di bahagian ketiga. Tanpa huruf besar atau tanda baca. Seolah-olah, pembaca sedang berada di tempat kejadian perbualan watak tersebut! Hal ini memang memberi satu tekanan yang merangsang pembaca untuk terus membaca bagi mengetahui kisah yang sedang diceritakan itu.

Karya ini menceritakan tentang Tanya yang mempunyai tekanan seks. Dia memang terkenal sebagai wanita yang meniduri lelaki seramai mungkin. Berusaha keras untuk hidup berdikari dan menyara ayahnya yang kaki pukul serta abangnya Vinnie yang ketagihan dadah. Setelah keduanya meninggal dunia, Tanya telah pun berjaya mempunyai sebuah rumah dan perniagaan sendiri. Hidup Tanya mula dilanda kekalutan dengan kehadiran Eleanor.

Eleanor merupakan seorang wanita yang sangat cantik dan berbakat besar sebagai pelukis. Dia mengalami tekanan jiwa yang sangat kronik. Apabila Eleanor menyewa sebuah bilik dalam rumah besar Tanya, hubungan mereka berkembang menjadi kekasih. Tanya sangat bersimpati dengan nasib Eleanor yang melalui kehidupan jalanan sejak di usia remaja lagi. Tanpa sedar, simpati Tanya terhadap Eleanor telah merubah Tanya menjadi insan yang turut kucar-kacir. Eleanor mempunyai daya tarikan yang kuat serta mampu menjebakkan sesiapa saja yang hampir dengannya ke dalam hidup yang kacau-bilau. Kehidupan terasing,tertekan dan penuh khayalan. Menidakkan realiti sebagai satu cara survival.

Newman memaparkan minat Tanya terhadap kehidupan lalu Eleanor melalui watak Peter Rabbit(saudara angkat Eleanor), pelukis terkenal yang ditiduri Tanya. Peter menceritakan tentang nasib Eleanor yang dijadikan hamba seks lelaki tua sejak kanak-kanak dan pembunuhan keluarga angkat mereka oleh Eleanor. Ternyata Eleanor yang cantik dan lemah-lembut ini mempunyai kuasa dendam dan sifat kejam yang tersembunyi. Tanya berperang dengan simpati dan cintanya terhadap Eleanor. Eleanor pula cuba menjejaki lelaki yang pernah ditiduri Tanya(dia mencuri diari Tanya yang mempunyai senarai nama lelaki yang pernah ditidurinya)serta memporak-perandakan hubungan Tanya dengan sahabatnya sejak kecil. Eleanor juga telah membunuh rakan Tanya.

Sebenarnya,sukar juga untuk aku mengaitkan karya ini dengan tajuknya ‘Cake’.Akhiran kisahnya juga tidak memberikan kesan simpati kepada aku walaupun Tanya telah salah sangka terhadap Eleanor(dia menyangka Eleanor turut membunuh seorang lagi rakannya).Tanya menekupkan plastic ke muka Eleanor yang overdose dadah.Tanya tidak merasa bersalah kerana aku rasa,Tanya menyedari bahawa Eleanor sendiri ingin menamatkan hidupnya. Eleanor mengutuk kehidupan dan benci akan dirinya sendiri tetapi tak mampu nak bunuh diri.

Ternyata, Tanya telah membantu Eleanor kerana kewujudan Eleanor hanya membawa bencana kepada orang sekelilingnya. Persoalannya, patutkah Eleanor yang membahayakan masyarakat disingkirkan untuk keamanan sedangkan ahli masyarakat sendiri yang menjadikan Eleanor seperti itu? Kehidupan Tanya menjadi lebih sempurna selepas kematian Eleanor. Mungkin Eleanor macam sebiji kek yang sangat cantik dan menyelerakan. Namun, setelah dimakan ianya tidak sesedap rupanya ataupun bahagian dalam kek yang dipotong itu tidak secantik hiasan luarannya. Mungkin juga nasib kek yang cantik itu hanya terkubur dalam perut manusia? Tragik tetapi aku tak merasakan simpati itu. Satu sinikal yang tajam daripada Sandra Newman!

Sunday, July 24, 2011

Lelaki sbg Mangsa dlm "Noda"

Walaupun cerita ini satu penceritaan daripada jurnal peribadi, ceritanya tak berjalan secara konvensional sangat. Ada bahagian-bahagian yang menimbulkan rasa ingin tahu pembaca apabila diberikan imbas muka kemudiannya diceritakan dalam bentuk imbas kembali. Jadi, bagi pembaca yang cepat boring, hal ini dapat ‘memaintainkan’ tumpuan diorang terhadap karya Richie Rachman ini. Kisahnya berkisar tentang hidup Rano Inderaputra Collins, seorang jejaka kacukan kacak yang menempuh hidup di Tanah Indonesia.

Pada aku, karya ini unik kerana berkisar tentang seorang watak lelaki yang turut menerima tekanan eksploitasi seksual dalam hidup. Selalunya wanita yang menjadi mangsa dalam persoalan mencari diri. Tapi dalam karya ini, Rano bukan saja menjadi mangsa cemburu lelaki kerana kejayaannya, tarikannya terhadap wanita, tapi juga tarikan seks dan cinta daripada kaumnya sendiri! Sangat kontroversikan? Menariknya, bila membaca karya ini aku tak dapat mengesan elemen murahan yang selalu digunakan untuk menarik pembaca. Tak ada paparan-paparan berbaur seksual yang teliti. Kita dapat mengetahui perlakuan sesama jenis watak hanya melalui penceritaan situasi. Hal ini memberikan kebebasan imaginasi kepada pembaca itu sendiri dalam menanggapi apa yang dilakukan watak-watak yang berhubungan gay itu.

Richie Rachman telah berjaya mengolah satu kisah kehidupan yang menarik untuk dibaca. Aku juga dapat merasakan konflik jiwa dan fikiran yang dihadapi watak walaupun secara majornya karya ini menggunakan sudut pandangan ketiga. Satu kemahiran yang tinggi. Bukan senang nak memaparkan karya secara narrator tanpa membuatkan pembaca bosan. Ada jugalah kata-kata bual antara watak tapi tak sepenuhnya. Penulis memang bijak memilih moment yang penting menggunakan teknik ini.


Penulis masih menyogokkan harapan di akhir karya ini. Manusia mampu memilih untuk hidup bergelumang dosa atau cuba menjadi manusia biasa. Rano bergelumang dengan hubungan sejenis sejak lari dari rumahnya pada usia belasan tahun. Dia menjadi lelaki simpanan Teuku Rahman sewaktu menjadi pemain bola sepak professional di Palembang. Tony Blake,pengurus kelab bola yang ingin menidurinya (tapi tak berjaya) telah berpakat dengan Sandra (isteri Teuku Rahman) meletakkan ganja dalam loker Rano hingga dituduh sebagai pengedar. Sejak itu dia melarikan diri dengan bantuan kekasihnya Teuku Rahman ke Phuket dan akhirnya Malaysia. Rano menjadi penari separuh bogel,pelayan sosial akhirnya model.

Percubaan Rano menjalin cinta dengan wanita seperti Isabelle,Inke dan Hazel menemui jalan perpisahan. Pemaparan sahabat lelaki yang sejati seperti Mansur Syah dan Mian Zahid menunjukkan masih ada harapan bagi Rano untuk mengubah hidupnya. Namun, cintanya dengan Teuku Rahman berbaur dengan budi menjadikan Rano sukar untuk membetulkan landasan cintanya. Cinta dengan Teuku Rahman hanya berakhir apabila Teuku Rahman meninggal dunia kerana sifilis. Karya ini diakhiri dengan surat daripada Teuku Rahman kepada Rano supaya kembali ke pangkal jalan dan memohon maaf kepada Rano kerana perlakuan songsang mereka.

"The Malaysian Way of Life" Membuka Mata

Buku ini mengumpulkan dua puluh satu artikel. Ianya dipecahkan kepada tiga section iaitu politik, budaya dan recollection. Banyak info yang aku dapat daripada buku ini tentang pengalaman yang dilalui manusia-manusia yang hidup di Malaysia. Majoritinya bukan berbangsa Melayu yakni Cina dan Inggeris. Ada yang aku rasa menarik, ada yang tak. Bukan apa, ada juga view-view yang diutarakan tidak aku setujui sepenuhnya(terutama sekali di bahagian politik ada juga budaya!).

Menariknya kajian antropologi dilakukan dalam pelbagai aspek. Misalnya Gordon Gray dalam artikelnya mengkaji audien dan persepsi mereka terhadap filem-filem Melayu bagi melihat kenapa filem Melayu kurang mendapat sambutan. Begitu juga dengan Benjamin Kay yang berkongsi pengalaman mengajar dan menonton filem Melayu di Monash University(Malaysian Campus). Rata-rata rakyat kita memang memandang rendah terhadap industri filem Melayu. Terdapat juga isu azan dalam filem bukan Islam yang dijadikan isu perkauman. Namun sebenarnya, orang bukan Islam tidak merasakan mereka perlu mengedit suara azan tersebut kerana menganggap itu sebahagian daripada hal biasa dalam hidup. Pada aku ini menunjukkan hubungan toleransi telah wujud antara manusia berlainan agama di Malaysia yang tidak perlu diragukan lagi.

Aku juga tertarik dengan artikel yang menerangkan tentang sambutan kaum bukan Melayu terhadap ‘Malaysia Boleh’ dan penggunaannya melalui pengalaman penulis dengan rakan Cinanya yang ingin menonton filem Hindi di pawagam. Yeoh Seng Guan dengan lucu menerangkan uniti antara kaum di Malaysia dalam menggunakan bahagian sulit wanita sebagai mesin melepaskan geram melalui makian dan carut. Penerangannya pada aku memang masuk akal. Julian C.H.Lee pula menerangkan penggunaan Lah dalam bahasa yang tidak difahami maknanya. Apa makna Lah? Susah nak jawabkan? Tapi dia cuba menerangkannya melalui penggunaannya dalam perbualan serta situasi seharian.

Banyaklah lagi yang menarik tentang budaya kita dalam buku ini. Antaranya tentang kesihatan yang ditanggapi masyarakat juga kemodenan yang dilakukan antara Universiti Tunku Abdul Rahman dan Universiti of Delaware. Menariknya, kajian ini melibatkan pertukaran fikiran melalui video secara langsung antara kedua kelompok pelajar universiti ini. Mereka saling berbincang tentang kehidupan sosial dan politik negara masing-masing. Memang mampu menerangkan yang masyarakat kita masih kuat juga nilai moral dan budaya kaumnya. Ukuran moral dan nilai masyarakat Malaysia juga berbeza dengan Barat.

Tak ketinggalan sumbangan makanan yang memaparkan budaya masyarakat. Khoo Gaik Cheng berkongsi pengalamannya dalam menyediakan makanan sendiri sebagai Cina Peranakan sewaktu berada di luar negara. Padanya makanan memaparkan dua pilihan antara kepuasan dan ethic. Hal ini menerangkan pilihan manusia yang memilih untuk menjadi vegetarian. Fenomena besar “Raja Buah Malaysia” durian, juga dikaji dengan panjang oleh Julian C.H Lee dan Roger Just. Bila membincangkan tentang makanan dan pemakanan memang asyik buat perut aku lapar. Apa taknya, penulis artikel semua ini tak lepas juga daripada menyebut secara detail tentang makanan tersebut.

Multiculturalism disebutkan oleh Steve Fenton sebagai pembukaan di bahagian politik. Ianya tentang tolak ansur dan perjanjian sosial antara kaum sebelum merdeka hingga kini. Bagaimana kesamarataan diapply dalam Malaysia dan persoalannya adakah ianya wujud sepenuhnya? Clive Kessler melihat kembali turutan proses pilihanraya sejak 1969 hingga 2008. Hal ini sedikit sebanyak menerangkan kesilapan yang dilakukan parti pembangkang dan pemerintah yang memberi perubahan besar dalam pemilikan negeri-negeri hingga bertukar tangan.



Dalam bahagian recollection aku suka artikel pasal konsep hidup yang diamalkan masyarakat kaum Asli. Kita dilihat hidup terkongkong dengan material. Mereka pula memilih hidup bebas dekat dengan hutan. Tak hairanlah masih ramai Orang Asli yang langsung tak tertarik dengan hidup berasaskan kebendaan. Itulah kebebasan yang abadi tidak terikat dengan harta yang mengongkong hidup manusia ,sebenarnya. Artikel Joel S.Kahn pasal secularism, agama dan mistik dalam dunia Melayu juga amat menarik. Yalah, ada juga aspek positif yang dilihat orang bukan Melayu dalam dunia Melayu. Pada aku, sebagai Melayu ianya boleh memperbaiki lagi kefahaman terhadap amalan masyarakat Melayu yang dikatakan kolot.

Secara keseluruhan aku memang suka dengan kumpulan artikel yang diedit oleh Julian C.H Lee ini. Yalah, banyak hal-hal dalam budaya yang ditulis menarik perhatian. Sebenarnya apa saja yang diamalkan dalam sesebuah masyarakat itu merupakan satu sumber sejarah yang boleh menerangkan budaya. Dalam hal seperti cara maki pun dapat menyumbang untuk menerangkan gaya hidup dan mentaliti masyarakat. Koleksi artikel ini memberi pandangan baru pada orang muda macam aku untuk menghayati keadaan masyarakat Malaysia dengan lebih mendalam secara peka.

Hidup untuk apa? "The Attack"

Bukan mudah hidup sebagai seorang Badwi di tanah Tel Aviv. Pertikaian antara Islam dan Yahudi telah memadamkan persaudaraan antara keduanya. Persekitaran watak dibesarkan membawa konflik sepasang suami isteri secara global. Dr. Amin Jaafari seorang pakar bedah yang sarat dengan populariti dalam kerjaya dan penemuan akademik. Hal ini memaksa golongan Yahudi Israel menerimanya kerana status profesional tersebut(dia diberikan taraf warganegara Israel). Namun, isterinya Sahem telah ditemui mati dalam satu pengeboman berani mati di sebuah restoran makanan segera. Ternyata, Sahem adalah pengebom tersebut. Hal ini telah menjadikan Dr.Amin hidup tidak tentu arah dan berusaha menjejaki bekas perjalanan yang telah dilalui Sahem sebelum mati.

Kebenaran yang dilindungi Sahem selama ini terungkai dalam perjalanan yang panjang. Dr.Amin dipandang serong masyarakat Israel dan dianggap sebagai ‘kacang lupakan kulit’ oleh bangsa (Badwi Arab) dan agamanya, Islam. Padanya, pertikaian yang berlaku antara kaumnya dengan warga Israel tidak menekannya untuk memilih berpihak kepada sesiapa. Telahannya yang isteri tercinta diracuni secara ‘mental’ oleh puak ekstremis Mujahid ternyata silap. Sahem walaupun hidup dilimpahi harta dan status di kalangan masyarakat Yahudi sebenarnya menyimpan kebencian terhadap gaya hidup suaminya selama ini. Sahem merasa berdosa hidup dalam kesenangan sedangkan warga kaum seagamanya menderita ditindas puak Yahudi Israel. Malangnya, Dr.Amin tidak melihat semua ini sebagai alasan untuk seseorang(Sahem) mengorbankan diri sendiri dengan bom malah meragut nyawa lain disekelilingnya.

Yasmina Khadra sebagai penulis, telah berjaya memaparkan isu prinsip dan kemanusiaan dalam watak novelnya ini. Betapa Dr.Amin tidak dapat menerima kenyataan bahawa selama ini dia hanya mementingkan diri dalam perkahwinan sehingga tidak dapat melihat derita yang difikirkan oleh Sahem. Ketelusan hubungan suami isteri dipersoalkan dengan lebih dalam bagi menggarap erti perkongsian sebenar dalam rumahtangga. Perjalanan Dr.Amin menyiasat tentang isterinya penuh dengan suspens dan kejutan yang makin menimbulkan kekeliruan kepada watak. Hal ini mewujudkan tekanan terhadap prinsip Dr.Amin yang mementingkan nyawa berbanding pilihan untuk memihak antara kedua puak tersebut. Gaya hidupnya yang tidak mengikut ajaran Islam dan kaumnya juga menimbulkan kesukaran. Dia tidak dapat memahami erti perjuangan,pengorbanan jauh sekali qada dan qadar(dia asyik mempersoalkan kenapa Sahem membunuh diri sedangkan orang lain terus hidup). Pujian dan sanjungan kaumnya sebagai suami kepada wanita yang berani juga dipandang satu penghinaan. Namun, Dr.Amin tanpa rasa terhina tetap merawat mangsa bom berbangsa Yahudi yang meludahnya malah enggan disentuh memandangkan wajah Arab doctor tersebut.



Pada aku, Khadra bukan bersikap anti Islam atau menyokong Yahudi dalam karya ini. Beliau cuba menceritakan dengan jujur kesan pertelingkahan kedua puak ini terhadap insan biasa yang mahu hidup bebas. Kesan sengketa ini juga memusnahkan sebuah rumahtangga yang bahagia apabila suami dan isteri mempunyai prinsip yang berbeza terhadap hidup dalam kekacauan itu. Jiwa dan fikiran Dr.Amin sebagai suami dan lelaki dipaparkan dengan teliti oleh Khadra.

Semangat setia kawan dan persaudaraan juga menjadi pertikaian. Rakan Israel Dr.Amin mula dingin menjadikannya sangat pasif dan rendah diri buat pertama kali dalam hidupnya di Israel. Namun, rakan seperti Dr.Kim Yehuda, Dr.Ezra dan Navid tetap setia menyokong Dr.Amin malah sedaya upaya memadam api curiga yang mula menyerang persahabatan mereka.Bukan mudah untuk hidup dalam kekacauan. Setiap manusia yang ditindas mempunyai kekuatan dan keberanian daripada perasaan benci untuk mengorbankan diri dalam serangan bom berani mati. Khadra cuba memberi penjelasan tentang manusia dalam situasi sebagai pengebom dan mangsa bom itu sendiri serta kesan perlakuan terbabit terhadap semua pihak.

Gaya penulisannya sangat tenang dan licin membuatkan aku tak dapat berhenti daripada membacanya. Karya ini dialih bahasa daripada Perancis ke Inggeris(oleh John Cullen) dan merupakan International Best Seller. Akhiran novel ini tragik dan menimbulkan persoalan yang panjang kepada aku tentang prinsip Dr.Amin. Adakah dia tetap dengan pilihannya untuk tidak memihak kepada sesiapa atau pilihannya itu tanpa sedar telah membuatnya kembali pada kaum dan agamanya sekaligus menjadikannya telah memihak kepada antara salah satu daripada dua puak yang bersengketa? Ternyata Khadra membiarkan persoalan ini dijawab oleh pembaca sendiri.

"Sucker Punch" Garis Panduan Menjadi Lelaki


Karya Peter Hernandez ini mulanya menimbulkan rasa excited yang melulu dalam hati aku. Aku sangkakan ceritanya sama dengan filem Sucker Punch yang dilatari lima gadis seksi ala manga Jepun. Namun, ianya sekadar satu kebetulan kerana karya ini menggarap persoalan yang lebih besar daripada sekumpulan gadis remaja yang bermain perang-perang dalam fikiran mereka. Persoalan keibubapaan daripada kacamata anak dan kesannya terhadap mereka.

Aku tertarik dengan permulaan novel ini yang memaparkan insiden kematian ayah Oliver, Mr.Thompson yang membunuh diri kerana mempunyai perempuan simpanan. Isu seorang ayah dan tanggungjawabnya dikuatkan lagi dengan masalah yang dihadapi Marcus. Marcus mempunyai bakat melukis yang sangat bagus. Namun, nasib adiknya, Enrique yang mengalami gangguan perasaan kerana didera ayah mereka sentiasa menghantuinya.

Hernandez mendalami jiwa remaja yang mencari aras kelakiannya dalam watak-watak ini. Permasalahan tarikan seks Marcus terhadap Gloria, ibu rakannya Oliver ditandai dengan insiden Marcus mencuri pakaian dalam Gloria. Enrique dipaparkan lebih yakin dengan peranannya sebagai lelaki apabila membawa teman wanitanya ke rumah untuk makan malam. Enrique menjadi mangsa sepak terajang ayahnya kerana keberaniannya melawan dan membalas setiap ketidak adilan ayah mereka.

Watak-watak remaja lelaki ini juga tidak pasti dalam menentukan arah hidup. Hal ini berkaitan dengan harapan dan cita-cita di masa depan. Marcus yang berbakat besar, takut dengan bayang-banyangnya sendiri. Dia sering terkenang insiden ayahnya memukul Enrique sedangkan dia sebagai abang langsung tidak membela adiknya. Rasa bersalah ini sentiasa menjadikannya tidak yakin diri menyebabkan dia tidak mampu meluahkan apa yang difikirkan atau mendapatkan apa yang diingininya. Contohnya teman wanita Enrique telah ditemuinya terlebih dahulu dan dia tertarik padanya. Namun, kerana sifat tidak yakin diri Marcus menyebabkan Enrique telah berjaya memikat gadis tersebut.

Konflik menjadi semakin rumit apabila ayah mereka ingin kembali tinggal bersama mereka. Enrique benar-benar tidak dapat menerima keputusan ibu mereka yang menyetujui permintaan tersebut (ibu mereka mengalami masalah kewangan membesarkan mereka sendirian). Dia telah mengajak Marcus mencari ayah mereka untuk dibunuh. Bermulalah satu perjalanan yang panjang. Marcus sebenarnya mengikut kehendak adiknya kerana rasa bersalah selama ini. Keadaan jadi lebih buruk bila ubat penenang yang perlu diambil oleh Enrique tertinggal di rumah. Apabila bertemu dengan ayah mereka, Enrique telah mengacukan pistol untuk menembak. Namun, Marcus merasakan itu bukanlah penyelesaian yang betul. Ayah mereka telah memohon maaf dan mengakui dirinya bermasalah dan telah pun mendapatkan khidmat terapi bagi mengawal sikap panas barannya. Akhirnya, Marcus telah menemui keberaniannya untuk bersuara dan melakukan tindakan yang betul.

Permasalahan yang dihadapi oleh seorang remaja lelaki dalam masyarakat mendapat penjelasan yang jujur daripada Hernandez. Aku suka dengan sudut pandangannya sebagai Marcus dalam karya. Susah nak menentukan suara yang dipaparkan ini betul atau salah. Aku jadi simpati pada nasib Marcus dan Enrique. Watak Oliver pula agak kool (memandangkan dia kuat menghisap ganja) dalam melalui saat sedih kematian ayahnya. Dia dapat menerima kenyataan ayahnya membunuh diri kerana malu bila masyarakat keliling tahu tentang perempuan simpanannya. Aku rasa Hernandez nak mempersoalkan tentang sikap dan kematangan seorang lelaki dalam menghadapi saat-saat getir ataupun dugaan dalam hidup.

"A Thousand Years of Good Prayers" Aduan terhadap Komunisme

Rupanya cerita pendek yang menjadi tajuk karya ini telah pun difilemkan. Aku mengetahuinya sewaktu melihat-lihat DVD di South City. Yiyun Li telah mengumpulkan cerita-ceritanya yang berlatarkan negara dan masyarakat China. Kehidupan mereka yang tertekan dengan pemerintahan komunis bukanlah asing pada aku. Namun, stail penulisan dan gaya bahasanya sangat menyentuh perasaan (bagi orang yang cepat terharu macam aku!).

Setiap kisah ditulis dengan begitu indah, ternyata benar bahawa kita dapat mengucapkan apa yang tak dapat diucapkan bila kita tidak menggunakan bahasa kita sendiri. Sebabnya, bahasa kita tak membolehkan kita meluahkan apa yang kita fikir dan rasa. Beginilah yang ditulis Yiyun Li dalam kisah seorang anak lelaki bermasalah dengan ibunya yang kuat pegangan Kristian (sebelum itu fahaman Komunis). Si anak cuba mengkritik sikap ibunya yang mudah berpegang kepada sesuatu kepercayaan yang diwar-warkan oleh pemerintah secara membabi buta. Namun, ibunya dapat menerima kenyataan bahawa anaknya seorang gay. Hal ini mengejutkan si anak yang menyangka ibunya sangat kolot dan mudah diperkotak-katikkan! Kebanyakan kisahnya memaparkan konflik yang dihadapi golongan terpelajar yang berpendidikan luar negara di tanah sendiri. Mereka menjadi orang asing yang dipulaukan.

Dalam kisah Love In The Marketplace , seorang guru Bahasa Inggeris menjadi umpatan masyarakat apabila tunangnya sejak kecil meninggalkannya. Dia merupakan seorang anak dara tua. Dia terperangkap antara maruah dan desakan masyarakat apabila dipaksa ibunya menerima tunangnya kembali yang telah pun bercerai. Begitu juga dengan kisah yang menjadi tajuk karya ini apabila seorang wanita yang dianggap tidak bahagia setelah diceraikan suami. Ayahnya datang daripada China untuk menemaninya mendesak wanita ini untuk melupakan penderitaannya. Sebenarnya wanita ini mempunyai hubungan dengan seorang lelaki Mexico(punca wanita ini bercerai) dan bahagia dengan hidupnya. Salah faham ini mempersoalkan perbezaan pemikiran antara golongan tua China dengan anaknya yang berpendidikan Barat tentang konsep kebahagiaan tumahtangga.

Dalam Extra dipaparkan bagaimana wanita merupakan kelas kedua dan menjadi mangsa masyarakat apabila dipaksa berkahwin dengan seorang tua lelaki tua. Kematian lelaki itu, menjadikannya tukang cuci di sebuah sekolah. Dia telah menjalin kasih sayang seorang ibu dengan seorang kanak-kanak. Malangnya, kasih sayang seorang wanita melarat sepertinya tidak berharga di sekolah elit tersebut. Sepasang suami isteri dalam After a Life terpaksa menipu untuk seorang rakan yang mempunyai perempuan simpanan. Akibat terhutang budi dengan wang yang dipinjamkan, si isteri terpaksa melayan kerenah isteri rakan suaminya yang cemburu. Dia sendiri sibuk menyembunyikan rahsia besar mereka mempunyai seorang anak gadis 20-an yang cacat. Hal ini dipercayai kerana kutukan keluarga memandangkan mereka sepupu yang berkahwin lari.


Terdapat juga cerita tentang seorang gadis yang cemburu dan benci dengan ibunya yang sakit. Gadis ini tanpa sedar telah menyimpan perasaan terhadap pak cik yang sering melawati rumah mereka untuk menjaga dia dan ibunya. Pak Cik itu sebenarnya bekas kekasih ibunya. Kisah seorang lelaki lembut yang berpaling tadah daripada teman lelakinya seorang pemuda Inggeris (keduanya pasangan gay) menimbulkan persoalan kewujudan dan kemanusiaan yang dalam. Akibat kecewa, lelaki lembut ini telah berhubungan dengan seorang gadis. Gadis ini melanjutkan pelajarat ke Barat dan mencari pemuda Inggeris (bekas kekasih lelaki lembut tersebut) apabila mengetahui dia mengandungkan anak si lelaki lembut tadi. Dia ingin menggugurkan kandungan tersebut tetapi lelaki Inggeris itu ingin memelihara anak bekas kekasihnya itu.

Memang sangat mengesankanlah cerita-cerita dalam karya ini. Pada aku, Yiyun Li sememangnya seorang penulis yang sangat bagus. Aku dapat memahami apa yang dialami oleh setiap watak dalam pelbagai latar yang dipaparkan. Menarik sekali, gaya bahasanya yang mudah tetapi menyentuh hati. Manusia dilihat menjadi mangsa masyarakat sekeliling. Bagi manusia yang tidak berdaya, mereka akan jatuh dan masyarakat tidak mempedulikannya langsung. Persoalannya, manusia hidup untuk dirinya sendiri atau masyarakat? Bolehkah kita hidup tanpa kekangan masyarakat sedangkan kita berada dalam lingkungan itu? Adakah sistem yang menjadi penanda ukuran dalam masyarakat itu benar, dan berperikemanusiaan? Persoalan ini memang menghantui benak aku setelah aku membaca karya ini.