Thursday, April 14, 2011

'Manikam Kalbu' Harapan dalam Busana Melayu

Sebelum ini, aku hanya memandang sebelah mata pada novel Manikam Kalbu ini. Kulit bukunya yang comel membuatkan persepsi aku terhadap isinya adalah mungkin cerita sepertik Detektif Indigo. Setelah mendapat informasi tentang buku ini oleh Pensyarah aku di Pusat Kebudayaan(Universiti Malaya) aku tertarik ingin membacanya. Ternyata anggapan aku itu salah. Novel ini bukan sekadar kisah seorang remaja yang berjuang di Sekolah Teknik dalam jurusan Ekonomi Rumahtangga tetapi lebih daripada itu.

Novel ini memberi gambaran dua latar yang berbeza. Latar moden dengan cerita, dugaan dan kehidupan yang dilalui Ziryab serta latar sejarah Kesultanan yang penuh dengan sinikal. Kehebatan Ziryab dalam menjahit dan merekabentuk busana dikaitkan dengan sejarah busana Melayu di zaman Kesultanan lampau. Setiap peristiwa yang berlaku kepada Ziryab, dikaitkan pula dengan cekap oleh Penulis pada sejarah lampau melalui penceritaan seekor kucing, Manikam Kalbu yang hidup di istana sebagai kucing peliharaan. Sikap buruk golongan wanita dan bangsawan dipaparkan secara sinis begitu juga budaya 'politik' Melayu zaman kesultanan. Pembaca mendapat dua realiti yang berbeza tetapi masih berpaksikan pada tema yang sama. Kepakaran Faisal Tehrani dalam teknik sebegini memang tidak dapat dipertikaikan.

Aku tertarik dengan peristiwa Sultan mendapat mimpi tentang keadaan masyarakat Melayu yang akan berpakaian tidak cukup kain malah direka jahit oleh golongan darai di masa depan nanti. Oleh itu, baginda tidak mahu disalahkan dan berdosa terhadap umat Melayu di masa depan. Hal ini membawa kepada peristiwa menarik yang telah diolah daripada Sejarah Melayu. Peristiwa Sultan ingin berjumpa dengan guru agama yang 'menolak' kedatangan Sultan secara halus dengan pelbagai alasan gara-gara Sultan datang ke rumahnya dengan segala macam kelengkapan berserta pengiring. Setelah Sultan menyedari 'kesilapannya' barulah baginda ditemui apabila baginda datang sebagai rakyat biasa secara bersendirian. Baginda diberi ajaran dan nasihat agama bagi mencari pereka busana Melayu yang belum ada pada masa itu.

Pedih dan menyengat tapi itulah kenyataannya. Penulis telah menyindir situasi fesyen semasa yang semakin hilang ciri-ciri kesopanan dan tatasusila Melayu. Masyarakat Melayu (wanita terutamanya!) tidak segan apa lagi malu berpakaian dengan mendedahkan aurat yang wajib ditutup. Pereka fesyen zaman ini juga gemar mencampuradukkan busana Melayu sesuka hati dengan unsur Barat dan sebagainya (kononnya kreativiti kontemporari!) Tanpa sedar, kita telah merendahkan martabat dan keupayaan bangsa Melayu melalui 'kemodenan' dalam rekaan busana Melayu malah merosakkan sejarah bangsa yang dititip oleh cendekiawan mahir zaman lalu.

Perletakan watak Ziryab sebagai lelaki sejati yang bijak mengekalkan identiti dan simbol dalam busana Melayu amatlah ideal. Dalam mengkritik, Penulis telah memberikan 'harapan' terhadap budaya pakaian di kalangan masyarakat Melayu melalui golongan muda seperti Ziryab. Kemahiran dan bakat Ziryab telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila terpilih untuk menimba pengetahuan di Paris selama sembilan bulan. Ziryab juga digambarkan sebagai generasi muda yang menyayangi warga tua apabila gigih memelihara neneknya yang nyanyuk(sehingga neneknya meninggal dunia). Ziryab dipaparkan sebagai pemuda yang masih kuat pegangan Islam dan adab Melayunya. Dia tidak mudah bersikap 'lepas laku' terhadap perempuan malah menghormatinya. Hal ini amat menarik kerana jarang remaja dipaparkan sebegini ideal dalam karya terkini.

Selain itu, kekuatan novel ini adalah perlukisannya yang deskriptif. Penulis menggambarkan dengan teliti setiap proses menjahit dan melakar. Begitu juga dengan jenis kain, corak dan rekabentuk Melayu. Keadaan ini memberikan kesan kebolehpercayaan yang sangat tinggi pada pembaca seperti aku. Penulis ternyata serba tahu dan mahir daripada kacamata watak dalam novel ini. Aku sangat teruja kerana mendapat pengetahuan baru tentang sejarah busana Melayu malah jenis kain, aksesori dan motif pada busana. Setiap rekaan pakaian ini membawa identiti Melayu yang tersirat dan simbol yang dipengaruhi oleh agama Islam serta tatasusila adat Melayu. Novel ini mungkin khusus untuk remaja, tapi pada aku...setiap warga yang mencintai pengetahuan patut membaca novel ini...

Asia dari Kacamata Barat dlm 'Fried Eggs with Chopsticks'

Merupakan catatan pengalaman Penulis iaitu Polly Evans, menjelajahi China. Beliau sebelum ini telah menghasilkan dua buah buku yang berbentuk perjalanan seperti ini. Kalau tak silap perjalanannya di New Zealand dan Spain. Gaya tulisannya memang memaparkan mentaliti Barat yang penuh dengan 'gurauan' dan kritikan terhadap budaya setempat yang dijelajahinya.Tapi, aku suka penceritaannya tentang sejarah China dalam rentetan perjalanan yang dilaluinya (itu sajalah yang best pun untuk dibaca!).

Beliau menceritakan tentang keadaan China yang sesak dan tercemar dengan keringat dan asap kenderaan penduduknya yang ramai. Terdapat banyak 'salah faham' budaya yang berlaku. Misalnya, apabila ditanyakan tentang sesuatu, rakyat tempatan akan memberi jawapan 'tiada' atau 'tidak tahu'. Hal ini amat menyakitkan hati Penulis. Namun, mereka ini sebenarnya tidak mahu menyusahkan seorang 'pelancong asing' sepertinya. Hal ini diakui sendiri oleh Penulis malah beliau memandang sikap ini sebagai satu diskrimasi terhadap orang asing sepertinya.

Penulis juga menceritakan tentang sejarah China berkenaan daerah yang dilawati dan tempat-tempat menarik serta yang bersejarah. Secara sepintas lalu, kita dapat mengetahui sejarah kegemilangan dinasti dan revolusi di China. Secara umum, buku ini amatlah menarik untuk dibaca kerana kita dapat melihat pemikiran dan persepsi seorang Barat terhadap negara dan budaya Asia. Penulis mengkritik masyarakat tempatan sebagai pengotor malah fobia dengan segala-galanya di China. Tandas, katil hotel, tempat duduk dalam keretapi, bangku bas dan gerai-gerai makanan menjadi mangsa fobia penulis.

Walau bagaimanapun, Penulis masih mempunyai penilaian kemanusiaan dengan ukuran yang bersifat universal. Hal ini jelas melalui simpatinya terhadap kesusahan, keperitan dan kemelaratan masyarakat China di luar bandar serta pergunungannya. Penulis juga agak tersentuh dengan sikap orang gunung di China yang memandang rendah kepada rakan lelakinya (yg turut dlm pendakian) apabila membiarkan Penulis sebagai seorang wanita membawa begnya sendiri. Bagi seorang Barat sepertinya yang menuntut kesamaan antara lelaki dan wanita, hal tersebut juga merupakan satu penghinaan terhadap seorang wanita.

Beliau juga melalui pengalaman yang meletihkan dalam bas selama 13 jam sewaktu ingin mendapatkan set teko(kalau tak silap aku,tak pun pasu..) yang rupanya turut dijual di kedai-kedai berhampiran tempatnya menginap. Selain itu, beliau menjelajahi hutan dengan ditemani seorang gadis yang boleh berbahasa Inggeris. Keadaan hutan yang merimaskan memberi pengalaman baru tambahan pula apabila dihidangkan dengan teh yang penuh dengan habuk-habuk kotor. Masalah bahasa amat serius di China terutamanya sewaktu ingin mengisi perut. Penulis terpaksa membawa pelayan gerai atau restoran mengelilingi meja sambil menunjuk ke arah makanan yang dimakan oleh pelanggan lain. Hal ini amat melecehkan juga lucu pada Penulis apabila pelanggan yang menyedari tujuan Penulis beriya-iya mempromosikan makanan yang mereka makan untuk dipesan.

Penulis secara jujur menyatakan pendapatnya tentang sikap, persekitaran dan keadaan di China. Boleh dikatakan kebanyakan pendapat beliau bersifat 'bias' kerana melihat budaya asing melalui kayu ukuran Barat. Penulis tidak menyenangi perjalanannya di China kerana tekanan cuaca, masalah bahasa dan kebersihan. Beliau malah menyatakan kelegaan yang teramat sangat apabila menamatkan perjalanannya ini. Pada aku, adalah sukar untuk kita menilai masyarakat asing daripada kita dengan tujuan untuk menjustifikasi.

Melalui kenyataannya dalam buku ini, boleh dilihat bahawa beliau tidak mempunyai rasa kecintaan untuk memahami budaya dan mentaliti masyarakat yang dikunjunginya. Tebal benar ego dan konsep ketamadunan Barat dalam fikirannya menyebabkan buku ini hanya menceritakan tentang keadaan tempat dan bukannya masyarakat China secara lebih 'luhur'. Sesuailah tajuk buku ini 'Fried Eggs With Chopsticks' dengannya, memang susah nak makan telur dengan chopstick bagi orang bukan China. Makanya, belajar untuk mencuba atau tetap guna sudu garfu! (kekal dgn kebiasaan kita di negara sendiri) Persoalannya, untuk apa membuang duit ringgit, masa dan menyeksa badan jika menjelajah hanya untuk menilai sejauh mana kita bagus daripada orang lainkan?

Saturday, April 9, 2011

'Tersungkur Di Pintu Syurga'...hancurnya sebuah harapan

Aku mula mengetahui tentang kewujudan kumpulan Al-Arqam sejak berjalan jatuh lagi. Abah aku sering membawa aku ke Pasar Tani dan Pasar Malam. Di sinilah aku mengenali mereka kerana wanitanya yg berpurdah dan lelakinya berserban besar benar!(mereka berjualan macam-macam di sini) Bila aku tanyakan pada Abah, siapa mereka ini yg berpakaian aneh (pd seorang kanak-kanak di usia 4 thn ketika itu!) Abah menyatakan,'Inilah orang Al-Arqam'. Aku dgn sendirinya telah dpt membuat kesimpulan bahawa mereka ini orang 'alim dan warak'. Aku juga mengaitkan aktiviti berniaga dgn pengikut-pengikut Al-Arqam ini. Aku memang kagum dgn rangkaian Al-Arqam dlm pelbagai bidang perniagaan. Namun, aku sangat terkejut apabila kumpulan ini diharamkan kerana 'sesat'. Satu label besar dlm Islam utk diberikan kpd penganut Islam yg lain aku kira. Tapi, itulah kenyataannya...

Buku ini disebut-sebut oleh Abang aku membuatkan aku bersemangat mencarinya. Ya, ajaran sesat mengaitkan peristiwa di Batu Pahat, Al-Arqam, Memali dan Bkt.Jenalek sering menjadi bahan diskusi kami sekeluarga. Aku menemui buku ini di MPH Alamanda,Putrajaya. Hasil tulisan saudara Zabidi Mohamed, bekas anggota dan Penasihat Undang-Undang Al-Arqam. Aku sangat menghormatinya kerana 'kejujurannya' bercerita dalam buku ini. Pada aku, beliau masih mempunyai sifat-sifat mulia yg dipupuk oleh Al-Arqam dikalangan anggotanya (walaupun tidak pd pemimpinnya sendiri!). Beliau sebagai seorang Islam, tidak segan mengakui kesilapannya malah menjadikan buku ini sebagai medium utk memohon maaf di atas kesilapannya terhadap Allah, agama dan masyarakat. Sifat terpuji yg dituntut Islam di kalangan umatnya...

Aku memang agak emosional apabila membaca catatan sebenar seperti ini. Sangat memilukan kerana ahli-ahli kumpulan ini ternyata secara perlahan-lahan tidak menyedari 'penyimpangan' mereka dr jalan yg benar. Mereka semua tertipu dgn kelembutan dan kebijaksanaan Hj. Ashaari dlm menyemai pendekatan berkasih-sayang dlm peluasan empayarnya. Dalam kelompok seperti ini, aku juga merasakan tidak mustahil pula pada aku utk turut percaya kepada bekas pemimpin Al-Arqam yg dikatakan 'pemuda Bani Tamim' yg dijanjikan di akhir zaman ini. Hj. Ashaari juga dipercayai mampu 'berhubungan' dan mendapat pesanan-pesanan drpd Rasullullah SAW. Ketika itu, beliau dijangka akn diangkat oleh masyarakat negara ini menggantikan Perdana Menteri yg memerintah pada masa itu. Semua pengikutnya begitu yakin dgn kenyataan ini yg kononnya diberitahu sendiri secara empat mata kpd Hj.Ashaari oleh Rasullullah SAW.

Penulis secara telus telah menceritakan segala kepincangan yg hanya disedarinya pada penangkapan Hj.Ashaari buat kali yg kedua. Hal ini berlaku setelah rata-rata orang kuat Al-Arqam ini membaca pengakuan bertulis Hj. Ashaari bahawa selama ini beliau mendapat pesanan Rasullullah SAW melalui seorang wanita. Persolan yg timbul dikalangan mereka ialah, jika benar seperti yg didakwa selama ini bahawa Hj.Ashaari adalah 'terpilih', mengapa perlu Rasullullah menggunakan orang lain sebagai pengantara dan tidak secara direct dgn beliau sendiri? Keraguan ini akhirnya telah membawa kepada dialog bersemuka antara orang kuat Al-Arqam dgn Hj.Ashaari sendiri. Ternyata, mereka benar-benar kecewa kerana Hj.Ashaari mengambil langkah menjawab 'Tidak tahu' malah cuba berdolak-dalik seolah-olah beliau tidak bersalah. Penulis sendiri melahirkan rasa syukurnya kerana akhirnya mereka dapat melihat kebenaran sebenar...

Buku ini juga menceritakan kewibawaan Hj.Ashaari dlm membuat hubungan perniagaan dan persahabatan dgn negara-negara luar. Hal ini merupakan satu aspek positif yg mengkagumkan kerana bukanlah mudah utk kita berbuat demikian. Kejayaan kepimpinan Hj.Ashaari adalah kerana kebijaksanaannya dlm memanipulasikan pendekatan psikologi dan Islam itu sendiri. Hal ini dgn sentiasa memberi nasihat dan pelajaran kepada ahli jemaahnya apabila berhadapan dlm sebarang situasi. Penulis menceritakan juga pengalamannya ditangkap dan melalui hari-hari di bawah tahanan ISA sehingga kepada pengakuan taubat di Masjid Negara.

Selama ini, aku hanya mengagak dgn pelbagai andaian punca sebenar yg menjadi sebab Al-Arqam tersesat hingga diharamkan pemerintah. Namun, buku ini telah memberi jawapan yg aku cari-cari selama ini. Aku dapat melihat puncanya melibatkan semua aspek terutamanya kemanusiaan. Kita sbg manusia memang secara fitrah, lemah dan tunduk kepada kasih-sayang. Ianya yg kita rasa dan lihat sendiri membuatkan kita berfikir, 'kasih-sayang yg diberi bknlah pura-pura'. Kita sanggup berkorban apa saja demi budi yg diterima. Tambahan pula mereka ini berkongsi ajaran yg sama menyebabkan mereka percaya dan bergantung kepada kepercayaan itu..Abbuya, adalah pemimpin terpilih yg dijanjikan.Harapan ribuan jemaah Al-Arqam..!

Namun, Allah SWT itu Maha Penyayang, dia tidak akn membiarkan hambanya yg ikhlas teraniaya...itulah punca kejatuhan Al-Arqam...Mereka telah mengadakan solat berjemaah beramai-ramai dgn niat memohon supaya Allah menunjukkan siapa yg benar (masa ini mereka sudah menerima pelbagai kecaman drpd Pusat Islam) dan menjatuhkan dgn sekelip mata siapa yg salah (Perdana Menteri ketika itu supaya Hj.Ashaari dpt memerintah). Allah mengabulkan doa dan harapan mereka apabila beberapa bulan selepas itu, Hj.Ashaari ditangkap di Thailand...Hanya orang terpilih saja mendapat hidayah sebesar ini drpd Allah SWT...Ya,telah dibukakan mata pengikut-pengikut Al-Arqam yg teraniaya!

Friday, April 8, 2011

'Perangkap Hitam@Kelawar Pulau Pinang' Inilah Wanita...

Aku mula jatuh cinta dgn karya-karya sastera lama bila aku mulakan pelajaran menengah aku di SMK Abdullah Munshi. Buku ini antara yg aku temui di perpustakaan sekolah tersebut. Merupakan karya Ahmad Rashid Talu yg sangat aku hormati. Gaya penulisan dan bahasanya lama (latar zaman tahun1919 di Pulau Pinang). Setelah itu, aku mula mencari naskhah ini dan hanya menemuinya pada tahun 2008 di Kedai Buku DBP di Bandar Perda, Pulau Pinang. Tiba-tiba teringat ingin membacanya kembali, aku telah meminjamnya di Perpustakaan Universiti Malaya baru-baru ini (salinan milik aku ada di kampung). Ternyata, aku mula melihat isinya secara berbeza drpd sebelum ini.

Apa yg menariknya, buku ini memaparkan seorang wanita, Cik Sofiah sebagai watak utamanya. Dia telah menuntut cerai kerana tidak tahan hidup susah bersama suaminya. Dalam perjalanan hendak pulang ke Kuala Muda,Kedah (kampung asalnya) Cik Sofiah telah bertemu dgn Mak Su. Mak Su sememangnya terkenal di Pulau Pinang sbg wanita yg memelihara janda utk digunakan mencari harta kekayaan. Kerja mereka hanya mengikis siapa-siapa pemuda mentah yg kaya atau baru memperolehi harta pusaka hingga licin. Kecantikan Cik Sofiah merupakan aset utama bg Mak Su utk memulakan projek baru kerana dua lagi wanita yg dipeliharanya, telah pun dikenali ramai. Bermulalah kehidupan Cik Sofiah sbg pesona kepada kaum lelaki...

Banyak lelaki yg muflis, dibuang kerja dan bergaduh dgn kaum keluarga kerana Cik Sofiah. Walaupun, rata-ratanya telah maklum dgn reputasi buruk geng Kelawar Pulau Pinang ini tetapi kaum lelaki masih tetap tertipu kerana tak tahan dgn godaan dan pesona Cik Sofiah ini. Aku memang simpati dgn Cik Sofiah yg mudah terpedaya dgn nafsunya terhadap harta dan kesenangan mudah. Tak hairanlah, dia dgn mudah diperalatkan oleh Mak Su utk kesenangannya. Kita dpt lihat bagaimana wanita sendiri menggunakan kaumnya demi kepentingan sendiri.Cerita lama ini memang masih dan sangat-sangatlah relevan lagi pada zaman ini bagi aku.

Memang wanita mudah diperdaya kerana menurut hawa nafsunya (jikalah..bkn semua wanita). Obsesi wanita terhadap harta benda jelas apabila Mak Su dan Cik Sofiah akhirnya gila (tak dapat menerima kenyataan..) kerana semua harta milik mereka telah ditipu oleh Encik Said yg menyamar sbg keturunan Raja. Hal ini bg memberi pengajaran kepada dua wanita ini kerana tidak mahu ramai lagi lelaki yg menjadi mangsa mereka. Secara halus, aku rasa..macam biasa, lelakilah yg memperbetulkan segala kesilapan dan kelemahan wanita itu..tetapi itulah tanggungjawab lelaki di muka bumi ini. Peranan dan tanggungjawab lelaki dan wanita itu, telah ditetapkan dan tak akan boleh sama. Aku juga tersentuh dgn sikap penting diri wanita yg sanggup meruntuhkan rumah tangga wanita lain.

Ya, Cik Sofiah sanggup menjadi isteri kedua (kononnya!) kepada pemuda bujang dan suami orang dgn alasan dia tak mahu maruah lelaki-lelaki ini jatuh jika menjadikannya isteri pertama. Kononnya, dia sedar diri jugalakan....memang menarik sekali cara dan taktik geng Kelawar Pulau Pinang ni. Cukup waktu.. mencari mangsa baru dgn menyidaikan muka mereka di panggung-panggung wayang. Masa ni, wanita tak keluar dgn bebas, kalau keluar pun mesti berselendang. Tapi diorang ni memang tayang muka dan bodylah yg dihias dgn barang perhiasan dan baju kain jenis mahal. Bagi yg tak tahu, mesti ingat mereka ni drpd kelas atasan (biasalah,kelas atasan jantina apapun dr dulu sampai sekarang buat camana pun tak apa!). Apapun yg sangat buat aku terkagum-kagum sampai saat ini adalah sifat kaum aku yg mempunyai kecenderungan utk bersikap kejam terhadap kaum sejenisnya...janji..dia dapat apa yg dia nak...

'Misery' : Bukan Sekadar Kerja...

Ini merupakan novel ke-3 Stephen King yg aku baca setelah The Shining dan Carrie. Ceritanya berkisar tentang Paul Sheldon yg kemalangan dlm perjalanan nk menghantar manuskrip terbaru bukunya. Dia diselamatkan oleh seorang wanita, Annie Walkins bekas jururawat. Selama ini Paul terkenal kerana novel bersirinya 'Misery' yg ditulis ats dasar kerja sahaja. Namun, pertemuannya dgn Annie ini telah membuka mata Paul bahawa seorang karyawan seni bertanggungjawab terhadap karyanya dan masyarakat. Annie telah mengugut Paul supaya menulis kembali kisah Misery kerana dia adalah diehard fan novel ini!! Dia langsung tak berpuashati dgn tindakan Paul menamatkan siri ini dgn 'mematikan' watak Misery dlm novel. Bermulalah hidup Paul ibarat telur di hujung tanduk...

Annie sebenarnya seorang bekas jururawat yg sangat cemerlang dan berpengalaman. Ternyata dia mengalami gangguan jiwa menyebabkan pelbagai kematian tragik yang aneh. Kesemua mangsanya mati seperti kemalangan menyebabkan pihak berwajib tidak dpt membuktikan perbuatan jenayahnya. Paul telah mengetahui hal ini apabila menjumpai koleksi keratan akhbar dan catatan peribadi Annie. Hal ini menyebabkan Paul juga terpaksa bermain dgn psikologi utk mempertahankannya nyawanya. Dia menyedari yg Annie akn menamatkan riwayatnya sebaik saja Misery Return siap. Konfilk mangsa dan pemangsa dalam satu ruang bilik tidur tamu...

Walau bagaimanapun, sudut pandangan dlm novel ini lebih menjurus kepada watak Paul. Segala luaran dan dalaman serta tahap metal dan emosi Paul dapat dikuasai sebagai pembaca. Watak Annie ni, agak kabur dan kita yg membacanya ni..boleh main agak-agak saja tindak-tanduknya. Itu pun berdasarkan apa yg berlaku atau difikirkan oleh Paul berkaitan Annie.Akhir cerita ini juga, kita dpt lihat perubahan besar terhadap sikap Paul kesan pengalaman yg dilaluinya bersama Annie. Lelaki ego dan perasan bagus ni telah menjadi lebih sensitiflah dgn apa-apa saja yg ditulisnya utk karya. Yalah, menulis bukan sekadar kerja..kerana karya itu sendiri menjadi tatapan masyarakat. Penulis kenalah sensitif dgn masyarakat kerana memang di mana pun dalam dunia ni, ada pembaca yg fanatik macam Annie. Bagi mengelakkan anda sebagai penulis dipaksarela...beringatlah..karya anda adalah inspirasi..positif atau negatif..hanya pembaca yg tahu...