Thursday, March 7, 2013

M.A.I.D..Tak Membosankan



Satu penulisan yang bagus dan teliti. Bila baca buku ini aku tak rasa macam fairy tale Cinderella sangat sebab Suri Ryana pandai memblend format itu dengan realiti. Cerita tentang gadis kampung Sg.Petani yang tak belajar tinggi jadi pembantu rumah seorang lelaki jurutera daripada keluarga Tan Sri. Hubungan majikan pembantu rumah ini hanya lewat nota-nota yang ditampal dalam rumah kerana Harris yang cerewet ini tak suka berkomunikasi dengan perempuan setelah patah hati dalam percintaan.

Kesabaran Noorul dengan telatah majikannya ini menimbulkan pelbagai peristiwa yang menarik. Ianya sarat dengan suspens, komedi dan mempunyai falsafah hidup tersendiri yang ingin dipaparkan penulis. Penulis juga fokus dalam kesinambungan cerita dengan konflik dan penyelesaiannya. Menulis dari sudut pandangan orang ketiga yang serba tahu hanya dari sudut pandangan watak Noorul tak mencacatkan langsung kerelevanan dan kefahaman terhadap tindakan watak lain.

Sifat wira watak wanita dipaparkan secara sederhana menimbulkan kesan real. Noorul terpaksa berkahwin dengan Harris kerana gambarnya tersebar di internet sebagai perempuan simpanan Harris. Oleh itu, Puan Sri Kirana terpaksa mengahwinkan anaknya dengan Noorul untuk menjaga nama baik keluarga mereka. Asyraf adik Harris yang menyintai Noorul pasrah apabila Noorul menolak cintanya kerana Noorul menyimpan perasaan terhadap Harris. Selepas berkahwin, Noorul terus merahsiakan perasaannya itu tanpa mengetahui yang Harris juga menyintainya.

Puan Sri Kirana pula sibuk membuka peluang kepada Elisa untuk memiliki Harris. Puan Sri Kirana ingin Harris menceraikan Noorul pada satu masa yang sesuai. Namun, Elisa yang terdesak telah mengupah Faziah untuk memfitnah Noorul. Faziah yang mempunyai hutang dengan lintah darat terpaksa menerima tawaran Elisa. Noorul nyaris diragui suaminya sendiri.Ternyata ketulusan mengatasi kejahatan, Noorul telah membantu Faziah yang cuba dicederakan oleh samseng yang datang memungut hutang. Segalanya terungkai hinggakan Puan Sri Kirana sendiri malu dengan sikap Elisa yang dipujanya itu.

Situasi yang dipaparkan dalam naskhah ini banyak memaparkan kemuliaan sikap watak tanpa terlalu diputih-putihkan. Pembaca dapat mengesannya tanpa perlu dijelaskan secara narator oleh penulis. Pada aku, teknik ini bukanlah satu cara yang mudah. Hal ini kerana penulis perlu benar-benar menguasai tentang perwatakan watak secara emosi,mental dan berkesinambungan dengan sebab dan akibat tindakan watak di setiap bahagian. Penulis juga perlu bijak mencipta moment-moment menarik yang mampu memberi kesan kepada pembaca. Ianya juga perlu relevan dengan aspek yang disebutkan tadi. Ternyat Suri Ryana mampu menggalakkan aku untuk terus membaca novel ini hingga ke akhirnya tanpa rasa bosan.


Yakjuj dan Makjuj Bencana di Sebalik Gunung..Rahsia Terpendam



Aku memang tak sangka adik aku boleh membeli dan membaca buku ini. Sememangnya, minat dalam sejarah adalah ‘virus’ dalam keluarga kami. Bermula daripada Abah hingga ke Abang dan adik-beradik lain, kami memang obsess gila dengan sejarah. Melihatkan tajuknya saja cukup untuk membuatkan aku tertarik. Siapa tak mempunyai rasa ingin tahu terhadap satu tanda kiamat ini? Sekarang aku lihat di kedai-kedai buku, karya-karya seperti ini mula membanjiri pasaran tempatan. Karya yang berkisar tentang keislaman memang mudah terjual dengan larisnya.

Yakjuj dan Makjuj dirungkaikan menggunakan analisis eksplorasi sinkronik-diakronik. Ianya digunakan untuk mengkaji garis keturunan Yakjuj dan Makjuj dalam inskripsi kuno Yahudi, Taurat, Bible dan Al-Quran. Mengikut kajian, Yakjuj dan Makjuj adalah gerombolan tentera kejam dari balik gunung. Sebelum ini berdasarkan direct knowledge daripada buku-buku agama tentang tanda-tanda kiamat, aku memang anggap Yakjuj dan Makjuj adalah serangga yang akan keluar dari balik tembok. Rupanya, salah anggapan aku itu.
Banyak pengetahuan yang aku dapat daripada buku ini. Penulis mampu memberikan timeline dan fakta sejarah tentang kemunculan nabi daripada kaum Bani Israel yang diceritakan dalam Al-Quran. Penulis juga memberikan kenyataan yang jelas berserta dengan bukti arkeologi tentang asal usul keturunan Yakjuj dan Makjuj, lokasi penempatan, ciri-ciri peradaban mereka dan sebagainya.

Barulah aku sedar bahawa bangsa German, Aryan, Huns,Turk,Barbar,Mongol, Scythia,Saxon dan beberapa lagi bangsa gunung yang kejam adalah Yakjuj dan Makjuj. Mereka inilah bangsa yang dinasabkan sebagai Yakjuj dan Makjuj dalam wahyu-wahyu yang diturunkan kepada Nabi Ezekiel,kitab Taurat, Nabi Ezra, Nabi Yunus dan nabi-nabi yang diutuskan. Nabi-nabi ini diwahyukan untuk memberi peringatan kepada kaum Bani Israel agar bertaubat dan berhati-hati dengan serangan bangsa kejam yang memusnahkan segala-gala yang dilalui mereka.

Penulis turut memberi penjelasan tentang kesahihan wujudnya Iskandar Zulkarnain dari Macedonia yang menutup laluan Yakjuj dan Makjuj. Isu plagiat tentang kewujudan Zulkarnaian dan pelbagai kecaman serta tipu-muslihat Yahudi yang dilemparkan kepada Islam dan kitab Al-Quran berkaitan Yakjuj Makjuj dijelaskan dengan bukti-bukti sejarah. Lokasi laluan Yakjuj dan Makjuj terletak di antara Laut Kaspia dan Pergunungan Kaukasus. Bukti-bukti sejarah menerangkan kemusnahan peradaban di China,Timur Tengah dan Asia Minor berpunca daripada serangan Yakjuj dan Makjuj yang digelar dengan pelbagai nama mengikut zaman.

Terma-terma Scythia, Barbar,Tartar,Turk,Saxon yang digunakan kepada Yakjuj dan Makjuj diterjemahkan dalam pelbagai bahasa yang ternyata mewakili kekejaman dan kemusnahan yang dilakukan mereka terhadap bangsa lain. Pendek kata, karya ini adalah satu fakta sejarah yang amat mengujakan. Aku merasa celik dengan penjelasan Muhammad Alexander@Wisnu Sasongko berkaitan peringatan tentang kemusnahan yang dibawa Yakjuj Makjuj sebagai tanda kiamat. Penulis juga membuktikan bahawa Yakjuj Makjuj adalah antara pecahan 10 suku Bani Israel yang hilang daripada sejarah. Ternyata Herodotus ilmuan Yunani banyak menyumbang dalam menjelaskan asal keturunan dan kewujudan bangsa Yakjuj Makjuj ini. Akhirnya, aku tahu juga rahsia peradaban yang musnah di sekitar Timur Tengah, Mesir, Asia Minor dan China adalah sumbangan Yakjuj dan Makjuj.

Friday, March 1, 2013

"Lucky" Pengakuan Berani..

Karya ini merupakan memoir Alice Sebold sendiri yang menceritakan tentang suka duka kehidupannya sewaktu berusia 18 tahun. Beliau telah dirogol,disodomi dan dirompak dengan kejam ketika meninggalkan kawasan kampusnya. Peristiwa ini telah membawa perubahan besar yang membentuk hidup Alice kemudiannya. Ternyata beliau seorang penulis yang sangat bagus. Antara sedar atau tidak, pembaca dapat menelusuri pemikiran dan perasaan watak. Begitu juga dengan teknik penceritaannya sangat jujur dan deskriptif. Hal ini membuatkan aku tak rasa macam sedang membaca sebuah karya biografi tetapi fiksyen.

Alice mampu buatkan pembaca tidak merasakan kelukaan yang dihadapinya. Maksud aku, simpati kita berada di tahap karya fiksyen bukan memoir. Hal ini menjadikan kita tidak membuat penilaian emosi yang real terhadap karya ini. Aku fikir, kalau tak dinyatakan dikulit buku tentang kisah ini kisah benar Alice, pembaca takkan tahu. Alice menulis dengan begitu rasional sekali mengikut perjalanan seorang mangsa yang tercalar mental,emosi dan maruah dirinya. Inilah kekuatan seorang penulis merangkap wanita yang buatkan aku kagum dengan karya ini. Turutan emosi yang melampau atau berlebihan boleh menghilangkan estetika sesebuah karya. Namun, Alice telah menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang penulis dengan jayanya.

Alice sangat kuat menghadapi segala tekanan kerana latar belakang keluarganya. Bayangkan, saudara perempuannya sendiri menangis dan tertekan dengan kejadian yang menimpa Alice. Alice pula bertindak menasihati saudaranya malah mempamerkan wajah yang tabah. Namun, dalam hati kecilnya hanya Tuhan yang lebih tahu. Beliau terpaksa menjadi kuat untuk keluarganya. Ibu yang mengalami depression dan ketagihan alcohol dengan adik yang berpesonaliti lemah menjadikan Alice cekal sejak kanank-kanak lagi. Ayah Alice malah bersyukur kerana antara dua anak perempuannya, kejadian buruk ini berlaku kepada Alice. Alice mampu memberi penjelasan kepada ayahnya tentang kejadian malang tersebut dengan tenang.

Alice juga telah melalui detik perbicaraan yang kejam dengan sempurna. Mangsa rogol lazimnya ditekan dengan pelbagai soalan-soalan yang mencalarkan perasaan oleh peguambela tertuduh. Alice mampu menjawab pelbagai soalan yang menekan dengan begitu tenang dan rasional. Peristiwa ini terus menghantui Alice apabila sahabat baiknya telah dirogol di asrama mereka. Malangnya, rakan Alice mengambil langkah mengalah dan meneruskan hidup tanpa sebarang tuntutan keadilan terhadap perogolnya. Hal ini merupakan tamparan hebat buat Alice. Pelbagai soalan yang timbul dalam dirinya yang mempersoalkan segala tindakan yang dilakukannya selama ini. Rakannya turut memutuskan persahabatan mereka kerana menganggap Alice menggangu hidup baru yang cuba ditempuhinya.

Aku terkesan apabila Alice mengejutkan ramai pelajarnya dengan pengakuan hidupnya di majalah. Rata-rata pelajarnya yang bermasalah menganggap Alice adalah seorang perempuan kulit putih yang tak akan memahami segala penderitaan, kekejaman dan keperitan yang dilalui dalam masyarakat yang sangat menekan. Namun, ternyata Alice adalah seorang wanita yang sangat tabah hingga mampu meneruskan hidup tanpa meninggalkan sebarang kesan luka untuk dilihat oleh orang lain. Kekuatan Alice menerima kenyataan dengan memberi penjelasan kepada setiap orang yang ‘dia dirogol dan bukannya dirompak saja’ memberi kesan yang berbeza kepada setiap individu disekelilingnya. Jika ada yang terluka dalam hidup, karya ini mampu memberi harapan bahawa ‘kehidupan sentiasa ada untuk sesiapa yang ingin meneruskannya dengan cara yang kita tentukan’.