Thursday, March 7, 2013

M.A.I.D..Tak Membosankan



Satu penulisan yang bagus dan teliti. Bila baca buku ini aku tak rasa macam fairy tale Cinderella sangat sebab Suri Ryana pandai memblend format itu dengan realiti. Cerita tentang gadis kampung Sg.Petani yang tak belajar tinggi jadi pembantu rumah seorang lelaki jurutera daripada keluarga Tan Sri. Hubungan majikan pembantu rumah ini hanya lewat nota-nota yang ditampal dalam rumah kerana Harris yang cerewet ini tak suka berkomunikasi dengan perempuan setelah patah hati dalam percintaan.

Kesabaran Noorul dengan telatah majikannya ini menimbulkan pelbagai peristiwa yang menarik. Ianya sarat dengan suspens, komedi dan mempunyai falsafah hidup tersendiri yang ingin dipaparkan penulis. Penulis juga fokus dalam kesinambungan cerita dengan konflik dan penyelesaiannya. Menulis dari sudut pandangan orang ketiga yang serba tahu hanya dari sudut pandangan watak Noorul tak mencacatkan langsung kerelevanan dan kefahaman terhadap tindakan watak lain.

Sifat wira watak wanita dipaparkan secara sederhana menimbulkan kesan real. Noorul terpaksa berkahwin dengan Harris kerana gambarnya tersebar di internet sebagai perempuan simpanan Harris. Oleh itu, Puan Sri Kirana terpaksa mengahwinkan anaknya dengan Noorul untuk menjaga nama baik keluarga mereka. Asyraf adik Harris yang menyintai Noorul pasrah apabila Noorul menolak cintanya kerana Noorul menyimpan perasaan terhadap Harris. Selepas berkahwin, Noorul terus merahsiakan perasaannya itu tanpa mengetahui yang Harris juga menyintainya.

Puan Sri Kirana pula sibuk membuka peluang kepada Elisa untuk memiliki Harris. Puan Sri Kirana ingin Harris menceraikan Noorul pada satu masa yang sesuai. Namun, Elisa yang terdesak telah mengupah Faziah untuk memfitnah Noorul. Faziah yang mempunyai hutang dengan lintah darat terpaksa menerima tawaran Elisa. Noorul nyaris diragui suaminya sendiri.Ternyata ketulusan mengatasi kejahatan, Noorul telah membantu Faziah yang cuba dicederakan oleh samseng yang datang memungut hutang. Segalanya terungkai hinggakan Puan Sri Kirana sendiri malu dengan sikap Elisa yang dipujanya itu.

Situasi yang dipaparkan dalam naskhah ini banyak memaparkan kemuliaan sikap watak tanpa terlalu diputih-putihkan. Pembaca dapat mengesannya tanpa perlu dijelaskan secara narator oleh penulis. Pada aku, teknik ini bukanlah satu cara yang mudah. Hal ini kerana penulis perlu benar-benar menguasai tentang perwatakan watak secara emosi,mental dan berkesinambungan dengan sebab dan akibat tindakan watak di setiap bahagian. Penulis juga perlu bijak mencipta moment-moment menarik yang mampu memberi kesan kepada pembaca. Ianya juga perlu relevan dengan aspek yang disebutkan tadi. Ternyat Suri Ryana mampu menggalakkan aku untuk terus membaca novel ini hingga ke akhirnya tanpa rasa bosan.


No comments:

Post a Comment