Kami dipertemukan di Perpustakaan Negara. Aku mengenali Dorothy Koomson melalui Marshamallow For Breakfast. Aku terus jatuh cinta dengan gaya dan cerita yang dipaparkan. Aku suka Koomson kerana dia menjadikan peristiwa hidup yang biasa menjadi penting. Masalah cinta dan rumah tangga dipaparkan seperti kita yang membacanya sedang mengintip dari celah dinding. Permulaan karya ini dipaparkan di hospital saat seorang ibu, Nova menanti anak lelakinya yang koma. Memang menimbulkan tanda tanya.
Setelah itu, dipaparkan pula pasangan suami isteri, Malvolio dan Stephanie yang tidak mempunyai anak. Pertanyaan rakan-rakan mereka di satu majlis makan malam telah menyebabkan Malvolio marah kerana dia mendakwa dia memang telah mempunyai anak. Hubungan antara ketiga watak ini dikaitkan melalui imbas kembali. Rupanya Malvolio dan wanita di hospital rakan baik sejak kecil. Beberapa tahun lalu, Stephanie telah meminta Nova menjadi ibu tumpang pada mereka berdua. Namun, Stephanie yang mengalami masalah tekanan telah menarik diri di saat akhir. Dia enggan menerima bayi tersebut malah menghalang Malvolio daripada menjalinkan sebarang hubungan dengan si ibu dan anak. Nova terpaksa menempuh hidup sendirian dengan bayi yang sarat dalam kandungannya.
Keretakan antara dua sahabat lama, konflik antara wanita dan konflik antara suami dan isteri dipaparkan dengan telus. Setiap watak mempunyai kehendak masing-masing malah cuba menyembunyikannya hingga membawa kepada salah faham. Hal ini membuatkan novel ini sangat asyik dibaca. Wanita yang tabah dan sanggup berkorban. Setiap wanita ini cuba berkorban dalam masa yang sama tidak mahu orang disekeliling mereka mengesan pengorbanan tersebut. Nova sebenarnya mempunyai cinta tersendiri terhadap Malvolio. Stephanie pula secara diam-diam mengirimkan wang kepada Nova setiap bulan malah turut meletakkan bunga di kubur anak Nova (yang terhasil daripada Malvolio). Anak atau cahaya mata menjadi tema utama yang memberi kebahagiaan.
Menariknya, setiap watak utama berlegar-legar di sekeliling tema ini dengan prinsip dan pandangan masing-masing terhadap kepentingan anak itu sendiri. Bagi Nova anak adalah segalanya, semangat hidup. Antara cinta dan anak, janji lebih penting bagi Malvolio. Stephanie pula wanita yang mendambakan cinta hingga tenggelam dalam kubu cintanya sendiri. Koomson memang handal menghasilkan tragedi hidup seperti ini. Pada akhir novel, aku memang tak mampu nak salahkan sesiapa atas apa yang berlaku. Masing-masing mempunyai alasan tersendiri yang terpaksa aku terima. Mereka tak punya pilihan, keadaan dan takdir yang mendorong pilihan dan tindakan mereka. Aku rasa, manusia memang hidup bersandarkan pada pilihan yang menentukan nasib. Mungkin pendapat aku ini takkan sama dengan orang lain yang membacanya. Mereka pasti nampak dan merasakan sesuatu yang berbeza pula.
No comments:
Post a Comment