Sunday, July 24, 2011

"The Most Beautiful Woman in Town and other stories" dunia absurd dan sarkastik

Charles Bukowski merupakan seorang penulis yang memulakan penulisan pada usia yang lewat (hampir 50 tahun). Aku terpanggil membaca karyanya atas informasi daripada abangku. Sememangnya beliau teruja gila dengan Bukowski setelah membaca memoir penulis ini. Abang telah meminta aku mencari buku-buku tulisan Bukowski dan membelinya (jika teserempak). Banyak tempat yang aku pergi di KL ini, akhirnya aku menemui buku tulisan Bukowski di MPH Times Square pada tahun lepas.

Aku memang terkejut dengan nasib baik aku, malangnya harga buku-bukunya seperti Post Office dan beberapa judul yang lain mencecah harga hampir RM 50-80 sebuah. Terpaksalah aku menguburkan niat nak mengenali penulis ini melalui karyanya. Walau bagaimanapun, terima kasih bebanyak pada Perpustakaan Negara kerana tiba-tiba di suatu petang yang terik aku telah menemui buku ini di rak pinjaman. Tanpa membuang masa, aku dengan penuh kedengkian (bimbang diambil oleh orang lain dulu!) telah mencapai buku ini dan memasukkannya ke dalam beg kitar semula yang aku bawa untuk dipinjam.



Karya ini memang memberi satu tendangan padu dalam pemikiran aku. Ngeri dan hampir gila jika memikirkan falsafahnya yang ada kebenaran (teruk aku bermeditasi untuk mengelakkan diri menjadi songsang!). Gaya bahasa dan jalinan plotnya amat tak menarik. Namun, itulah keindahan karyanya. Bukowski melakarkan pelbagai peristiwa keji yang dilaluinya dalam hidup. Bahasa yang digunakan juga amat natural dan entah apa-apa. Penuh dengan makian yang amat bangsat. Tapi, sebagai pembaca aku tak dapat berhenti untuk terus membaca dari satu page ke satu page. Aturan huruf-huruf juga tidak mengikut konvensi yang biasa. Kadang-kadang ada huruf besar dalam ayat, perkataan yang berhuruf besar. Koma dan noktahnya jangan cakaplah, lagi sesuka hati.

Keindahan karya ini terletak pada cara Bukowski melihat dunia. Hal ini jelas dalam moment-moment yang dicapture dalam setiap cerita pendeknya. Terdapat cerita tentang seorang wanita yang digambarkan cantik (tanpa ayat-ayat yang berbunga kita dapat faham dia cantik!). Sentiasa melukakan diri dan wajahnya untuk melawan pujian orang terhadapnya(pelik!). Namun, membunuh diri setelah diajak menjadi kekasih oleh seorang muda (lazimnya Bukowski menjadikan diri sendiri sebagai protagonist dalam ceritanya). Bagaimana seorang pemuda ditindas secara halus dalam proses bekerja memunggah daging dikaitkan dengan konsep hidup Barat yang menindas manusia lemah(melalui pandangan dan usikan menggunakan kata-kata sumpah makian).

Seorang wanita robot yang dijadikan pelacur oleh penciptanya untuk mengaut untung. Namun, wanita robot ini dimusnahkan apabila dia jatuh cinta dengan salah seorang pelangggannya. Seorang wanita yang mahir memasak menjamu suami yang dinikahinya hingga gemuk. Setelah itu, melalui pelbagai kaedah yang ekstrim dia akan memaksa suaminya menjalani diet hingga si suami akan mengecut dan menjadi kerdil( bayangkan mengecil hingga jadi 4 inci). Masalah ketagihan nikotin dan alcohol, judi kuda, seks bebas, biseksual dan kejalangan menjadi persoalan dalam setiap cerita yang dipaparkan.

Bukowski menggunakan gaya aneh dan kasar untuk menyampaikan pemikirannya tentang hidup masyarakat yang dihuninya. Aku melihat stail ini sendiri sebagai satu sinikal yang mempunyai estetika tersendiri. Sememangnya manusia yang hidup di muka bumi ini, penuh dengan kejahatan dalam hati dan perlakuan mereka yang tidak terpapar dalam akhbar (maksudnya orang tak tahu!). Oleh itu, untuk apa gaya bahasa dan urutan plot yang sistematik kerana secara realitinya manusia tidak hidup seperti yang ditulis dalam cerpen atau novel. Hidup manusia penuh dengan kutukan dan sumpahan terhadap nasib. Kejadian yang berlaku juga tidak dapat dipilih untuk dilalui,kita mesti menjalani hidup walau apapun yang berlaku baik atau buruk. Pada aku, Bukowski cuba berpijak pada bumi yang nyata dan membuka mata pembaca dengan cara yang keras. Tak ada salahnya, kerana masing-masing mempunyai pendekatan tersendiri dalam menguruskan karyanya. Harap-harap, dapat jumpa lagi karya Bukowski yang lain di perpustakaan!

No comments:

Post a Comment