Sunday, July 24, 2011

"The Malaysian Way of Life" Membuka Mata

Buku ini mengumpulkan dua puluh satu artikel. Ianya dipecahkan kepada tiga section iaitu politik, budaya dan recollection. Banyak info yang aku dapat daripada buku ini tentang pengalaman yang dilalui manusia-manusia yang hidup di Malaysia. Majoritinya bukan berbangsa Melayu yakni Cina dan Inggeris. Ada yang aku rasa menarik, ada yang tak. Bukan apa, ada juga view-view yang diutarakan tidak aku setujui sepenuhnya(terutama sekali di bahagian politik ada juga budaya!).

Menariknya kajian antropologi dilakukan dalam pelbagai aspek. Misalnya Gordon Gray dalam artikelnya mengkaji audien dan persepsi mereka terhadap filem-filem Melayu bagi melihat kenapa filem Melayu kurang mendapat sambutan. Begitu juga dengan Benjamin Kay yang berkongsi pengalaman mengajar dan menonton filem Melayu di Monash University(Malaysian Campus). Rata-rata rakyat kita memang memandang rendah terhadap industri filem Melayu. Terdapat juga isu azan dalam filem bukan Islam yang dijadikan isu perkauman. Namun sebenarnya, orang bukan Islam tidak merasakan mereka perlu mengedit suara azan tersebut kerana menganggap itu sebahagian daripada hal biasa dalam hidup. Pada aku ini menunjukkan hubungan toleransi telah wujud antara manusia berlainan agama di Malaysia yang tidak perlu diragukan lagi.

Aku juga tertarik dengan artikel yang menerangkan tentang sambutan kaum bukan Melayu terhadap ‘Malaysia Boleh’ dan penggunaannya melalui pengalaman penulis dengan rakan Cinanya yang ingin menonton filem Hindi di pawagam. Yeoh Seng Guan dengan lucu menerangkan uniti antara kaum di Malaysia dalam menggunakan bahagian sulit wanita sebagai mesin melepaskan geram melalui makian dan carut. Penerangannya pada aku memang masuk akal. Julian C.H.Lee pula menerangkan penggunaan Lah dalam bahasa yang tidak difahami maknanya. Apa makna Lah? Susah nak jawabkan? Tapi dia cuba menerangkannya melalui penggunaannya dalam perbualan serta situasi seharian.

Banyaklah lagi yang menarik tentang budaya kita dalam buku ini. Antaranya tentang kesihatan yang ditanggapi masyarakat juga kemodenan yang dilakukan antara Universiti Tunku Abdul Rahman dan Universiti of Delaware. Menariknya, kajian ini melibatkan pertukaran fikiran melalui video secara langsung antara kedua kelompok pelajar universiti ini. Mereka saling berbincang tentang kehidupan sosial dan politik negara masing-masing. Memang mampu menerangkan yang masyarakat kita masih kuat juga nilai moral dan budaya kaumnya. Ukuran moral dan nilai masyarakat Malaysia juga berbeza dengan Barat.

Tak ketinggalan sumbangan makanan yang memaparkan budaya masyarakat. Khoo Gaik Cheng berkongsi pengalamannya dalam menyediakan makanan sendiri sebagai Cina Peranakan sewaktu berada di luar negara. Padanya makanan memaparkan dua pilihan antara kepuasan dan ethic. Hal ini menerangkan pilihan manusia yang memilih untuk menjadi vegetarian. Fenomena besar “Raja Buah Malaysia” durian, juga dikaji dengan panjang oleh Julian C.H Lee dan Roger Just. Bila membincangkan tentang makanan dan pemakanan memang asyik buat perut aku lapar. Apa taknya, penulis artikel semua ini tak lepas juga daripada menyebut secara detail tentang makanan tersebut.

Multiculturalism disebutkan oleh Steve Fenton sebagai pembukaan di bahagian politik. Ianya tentang tolak ansur dan perjanjian sosial antara kaum sebelum merdeka hingga kini. Bagaimana kesamarataan diapply dalam Malaysia dan persoalannya adakah ianya wujud sepenuhnya? Clive Kessler melihat kembali turutan proses pilihanraya sejak 1969 hingga 2008. Hal ini sedikit sebanyak menerangkan kesilapan yang dilakukan parti pembangkang dan pemerintah yang memberi perubahan besar dalam pemilikan negeri-negeri hingga bertukar tangan.



Dalam bahagian recollection aku suka artikel pasal konsep hidup yang diamalkan masyarakat kaum Asli. Kita dilihat hidup terkongkong dengan material. Mereka pula memilih hidup bebas dekat dengan hutan. Tak hairanlah masih ramai Orang Asli yang langsung tak tertarik dengan hidup berasaskan kebendaan. Itulah kebebasan yang abadi tidak terikat dengan harta yang mengongkong hidup manusia ,sebenarnya. Artikel Joel S.Kahn pasal secularism, agama dan mistik dalam dunia Melayu juga amat menarik. Yalah, ada juga aspek positif yang dilihat orang bukan Melayu dalam dunia Melayu. Pada aku, sebagai Melayu ianya boleh memperbaiki lagi kefahaman terhadap amalan masyarakat Melayu yang dikatakan kolot.

Secara keseluruhan aku memang suka dengan kumpulan artikel yang diedit oleh Julian C.H Lee ini. Yalah, banyak hal-hal dalam budaya yang ditulis menarik perhatian. Sebenarnya apa saja yang diamalkan dalam sesebuah masyarakat itu merupakan satu sumber sejarah yang boleh menerangkan budaya. Dalam hal seperti cara maki pun dapat menyumbang untuk menerangkan gaya hidup dan mentaliti masyarakat. Koleksi artikel ini memberi pandangan baru pada orang muda macam aku untuk menghayati keadaan masyarakat Malaysia dengan lebih mendalam secara peka.

No comments:

Post a Comment