Bukan mudah hidup sebagai seorang Badwi di tanah Tel Aviv. Pertikaian antara Islam dan Yahudi telah memadamkan persaudaraan antara keduanya. Persekitaran watak dibesarkan membawa konflik sepasang suami isteri secara global. Dr. Amin Jaafari seorang pakar bedah yang sarat dengan populariti dalam kerjaya dan penemuan akademik. Hal ini memaksa golongan Yahudi Israel menerimanya kerana status profesional tersebut(dia diberikan taraf warganegara Israel). Namun, isterinya Sahem telah ditemui mati dalam satu pengeboman berani mati di sebuah restoran makanan segera. Ternyata, Sahem adalah pengebom tersebut. Hal ini telah menjadikan Dr.Amin hidup tidak tentu arah dan berusaha menjejaki bekas perjalanan yang telah dilalui Sahem sebelum mati.
Kebenaran yang dilindungi Sahem selama ini terungkai dalam perjalanan yang panjang. Dr.Amin dipandang serong masyarakat Israel dan dianggap sebagai ‘kacang lupakan kulit’ oleh bangsa (Badwi Arab) dan agamanya, Islam. Padanya, pertikaian yang berlaku antara kaumnya dengan warga Israel tidak menekannya untuk memilih berpihak kepada sesiapa. Telahannya yang isteri tercinta diracuni secara ‘mental’ oleh puak ekstremis Mujahid ternyata silap. Sahem walaupun hidup dilimpahi harta dan status di kalangan masyarakat Yahudi sebenarnya menyimpan kebencian terhadap gaya hidup suaminya selama ini. Sahem merasa berdosa hidup dalam kesenangan sedangkan warga kaum seagamanya menderita ditindas puak Yahudi Israel. Malangnya, Dr.Amin tidak melihat semua ini sebagai alasan untuk seseorang(Sahem) mengorbankan diri sendiri dengan bom malah meragut nyawa lain disekelilingnya.
Yasmina Khadra sebagai penulis, telah berjaya memaparkan isu prinsip dan kemanusiaan dalam watak novelnya ini. Betapa Dr.Amin tidak dapat menerima kenyataan bahawa selama ini dia hanya mementingkan diri dalam perkahwinan sehingga tidak dapat melihat derita yang difikirkan oleh Sahem. Ketelusan hubungan suami isteri dipersoalkan dengan lebih dalam bagi menggarap erti perkongsian sebenar dalam rumahtangga. Perjalanan Dr.Amin menyiasat tentang isterinya penuh dengan suspens dan kejutan yang makin menimbulkan kekeliruan kepada watak. Hal ini mewujudkan tekanan terhadap prinsip Dr.Amin yang mementingkan nyawa berbanding pilihan untuk memihak antara kedua puak tersebut. Gaya hidupnya yang tidak mengikut ajaran Islam dan kaumnya juga menimbulkan kesukaran. Dia tidak dapat memahami erti perjuangan,pengorbanan jauh sekali qada dan qadar(dia asyik mempersoalkan kenapa Sahem membunuh diri sedangkan orang lain terus hidup). Pujian dan sanjungan kaumnya sebagai suami kepada wanita yang berani juga dipandang satu penghinaan. Namun, Dr.Amin tanpa rasa terhina tetap merawat mangsa bom berbangsa Yahudi yang meludahnya malah enggan disentuh memandangkan wajah Arab doctor tersebut.
Pada aku, Khadra bukan bersikap anti Islam atau menyokong Yahudi dalam karya ini. Beliau cuba menceritakan dengan jujur kesan pertelingkahan kedua puak ini terhadap insan biasa yang mahu hidup bebas. Kesan sengketa ini juga memusnahkan sebuah rumahtangga yang bahagia apabila suami dan isteri mempunyai prinsip yang berbeza terhadap hidup dalam kekacauan itu. Jiwa dan fikiran Dr.Amin sebagai suami dan lelaki dipaparkan dengan teliti oleh Khadra.
Semangat setia kawan dan persaudaraan juga menjadi pertikaian. Rakan Israel Dr.Amin mula dingin menjadikannya sangat pasif dan rendah diri buat pertama kali dalam hidupnya di Israel. Namun, rakan seperti Dr.Kim Yehuda, Dr.Ezra dan Navid tetap setia menyokong Dr.Amin malah sedaya upaya memadam api curiga yang mula menyerang persahabatan mereka.Bukan mudah untuk hidup dalam kekacauan. Setiap manusia yang ditindas mempunyai kekuatan dan keberanian daripada perasaan benci untuk mengorbankan diri dalam serangan bom berani mati. Khadra cuba memberi penjelasan tentang manusia dalam situasi sebagai pengebom dan mangsa bom itu sendiri serta kesan perlakuan terbabit terhadap semua pihak.
Gaya penulisannya sangat tenang dan licin membuatkan aku tak dapat berhenti daripada membacanya. Karya ini dialih bahasa daripada Perancis ke Inggeris(oleh John Cullen) dan merupakan International Best Seller. Akhiran novel ini tragik dan menimbulkan persoalan yang panjang kepada aku tentang prinsip Dr.Amin. Adakah dia tetap dengan pilihannya untuk tidak memihak kepada sesiapa atau pilihannya itu tanpa sedar telah membuatnya kembali pada kaum dan agamanya sekaligus menjadikannya telah memihak kepada antara salah satu daripada dua puak yang bersengketa? Ternyata Khadra membiarkan persoalan ini dijawab oleh pembaca sendiri.
No comments:
Post a Comment