Sunday, July 24, 2011
"Sucker Punch" Garis Panduan Menjadi Lelaki
Karya Peter Hernandez ini mulanya menimbulkan rasa excited yang melulu dalam hati aku. Aku sangkakan ceritanya sama dengan filem Sucker Punch yang dilatari lima gadis seksi ala manga Jepun. Namun, ianya sekadar satu kebetulan kerana karya ini menggarap persoalan yang lebih besar daripada sekumpulan gadis remaja yang bermain perang-perang dalam fikiran mereka. Persoalan keibubapaan daripada kacamata anak dan kesannya terhadap mereka.
Aku tertarik dengan permulaan novel ini yang memaparkan insiden kematian ayah Oliver, Mr.Thompson yang membunuh diri kerana mempunyai perempuan simpanan. Isu seorang ayah dan tanggungjawabnya dikuatkan lagi dengan masalah yang dihadapi Marcus. Marcus mempunyai bakat melukis yang sangat bagus. Namun, nasib adiknya, Enrique yang mengalami gangguan perasaan kerana didera ayah mereka sentiasa menghantuinya.
Hernandez mendalami jiwa remaja yang mencari aras kelakiannya dalam watak-watak ini. Permasalahan tarikan seks Marcus terhadap Gloria, ibu rakannya Oliver ditandai dengan insiden Marcus mencuri pakaian dalam Gloria. Enrique dipaparkan lebih yakin dengan peranannya sebagai lelaki apabila membawa teman wanitanya ke rumah untuk makan malam. Enrique menjadi mangsa sepak terajang ayahnya kerana keberaniannya melawan dan membalas setiap ketidak adilan ayah mereka.
Watak-watak remaja lelaki ini juga tidak pasti dalam menentukan arah hidup. Hal ini berkaitan dengan harapan dan cita-cita di masa depan. Marcus yang berbakat besar, takut dengan bayang-banyangnya sendiri. Dia sering terkenang insiden ayahnya memukul Enrique sedangkan dia sebagai abang langsung tidak membela adiknya. Rasa bersalah ini sentiasa menjadikannya tidak yakin diri menyebabkan dia tidak mampu meluahkan apa yang difikirkan atau mendapatkan apa yang diingininya. Contohnya teman wanita Enrique telah ditemuinya terlebih dahulu dan dia tertarik padanya. Namun, kerana sifat tidak yakin diri Marcus menyebabkan Enrique telah berjaya memikat gadis tersebut.
Konflik menjadi semakin rumit apabila ayah mereka ingin kembali tinggal bersama mereka. Enrique benar-benar tidak dapat menerima keputusan ibu mereka yang menyetujui permintaan tersebut (ibu mereka mengalami masalah kewangan membesarkan mereka sendirian). Dia telah mengajak Marcus mencari ayah mereka untuk dibunuh. Bermulalah satu perjalanan yang panjang. Marcus sebenarnya mengikut kehendak adiknya kerana rasa bersalah selama ini. Keadaan jadi lebih buruk bila ubat penenang yang perlu diambil oleh Enrique tertinggal di rumah. Apabila bertemu dengan ayah mereka, Enrique telah mengacukan pistol untuk menembak. Namun, Marcus merasakan itu bukanlah penyelesaian yang betul. Ayah mereka telah memohon maaf dan mengakui dirinya bermasalah dan telah pun mendapatkan khidmat terapi bagi mengawal sikap panas barannya. Akhirnya, Marcus telah menemui keberaniannya untuk bersuara dan melakukan tindakan yang betul.
Permasalahan yang dihadapi oleh seorang remaja lelaki dalam masyarakat mendapat penjelasan yang jujur daripada Hernandez. Aku suka dengan sudut pandangannya sebagai Marcus dalam karya. Susah nak menentukan suara yang dipaparkan ini betul atau salah. Aku jadi simpati pada nasib Marcus dan Enrique. Watak Oliver pula agak kool (memandangkan dia kuat menghisap ganja) dalam melalui saat sedih kematian ayahnya. Dia dapat menerima kenyataan ayahnya membunuh diri kerana malu bila masyarakat keliling tahu tentang perempuan simpanannya. Aku rasa Hernandez nak mempersoalkan tentang sikap dan kematangan seorang lelaki dalam menghadapi saat-saat getir ataupun dugaan dalam hidup.
Labels:
novel
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment