Sandra Newman mempunyai gaya penulisan yang unik. Yalah,setiap paparan ditandai dengan nombor satu,dua dan seterusnya hingga ke akhir cerita. Setiap bahagian nombor ini lazimnya tidak berakhir secara konvensional tapi disambung atau terputus begitu saja. Misalnya sewaktu watak menceritakan sesuatu di bahagian kedua, ayatnya terputus dan terus disambung di bahagian ketiga. Tanpa huruf besar atau tanda baca. Seolah-olah, pembaca sedang berada di tempat kejadian perbualan watak tersebut! Hal ini memang memberi satu tekanan yang merangsang pembaca untuk terus membaca bagi mengetahui kisah yang sedang diceritakan itu.
Karya ini menceritakan tentang Tanya yang mempunyai tekanan seks. Dia memang terkenal sebagai wanita yang meniduri lelaki seramai mungkin. Berusaha keras untuk hidup berdikari dan menyara ayahnya yang kaki pukul serta abangnya Vinnie yang ketagihan dadah. Setelah keduanya meninggal dunia, Tanya telah pun berjaya mempunyai sebuah rumah dan perniagaan sendiri. Hidup Tanya mula dilanda kekalutan dengan kehadiran Eleanor.
Eleanor merupakan seorang wanita yang sangat cantik dan berbakat besar sebagai pelukis. Dia mengalami tekanan jiwa yang sangat kronik. Apabila Eleanor menyewa sebuah bilik dalam rumah besar Tanya, hubungan mereka berkembang menjadi kekasih. Tanya sangat bersimpati dengan nasib Eleanor yang melalui kehidupan jalanan sejak di usia remaja lagi. Tanpa sedar, simpati Tanya terhadap Eleanor telah merubah Tanya menjadi insan yang turut kucar-kacir. Eleanor mempunyai daya tarikan yang kuat serta mampu menjebakkan sesiapa saja yang hampir dengannya ke dalam hidup yang kacau-bilau. Kehidupan terasing,tertekan dan penuh khayalan. Menidakkan realiti sebagai satu cara survival.
Newman memaparkan minat Tanya terhadap kehidupan lalu Eleanor melalui watak Peter Rabbit(saudara angkat Eleanor), pelukis terkenal yang ditiduri Tanya. Peter menceritakan tentang nasib Eleanor yang dijadikan hamba seks lelaki tua sejak kanak-kanak dan pembunuhan keluarga angkat mereka oleh Eleanor. Ternyata Eleanor yang cantik dan lemah-lembut ini mempunyai kuasa dendam dan sifat kejam yang tersembunyi. Tanya berperang dengan simpati dan cintanya terhadap Eleanor. Eleanor pula cuba menjejaki lelaki yang pernah ditiduri Tanya(dia mencuri diari Tanya yang mempunyai senarai nama lelaki yang pernah ditidurinya)serta memporak-perandakan hubungan Tanya dengan sahabatnya sejak kecil. Eleanor juga telah membunuh rakan Tanya.
Sebenarnya,sukar juga untuk aku mengaitkan karya ini dengan tajuknya ‘Cake’.Akhiran kisahnya juga tidak memberikan kesan simpati kepada aku walaupun Tanya telah salah sangka terhadap Eleanor(dia menyangka Eleanor turut membunuh seorang lagi rakannya).Tanya menekupkan plastic ke muka Eleanor yang overdose dadah.Tanya tidak merasa bersalah kerana aku rasa,Tanya menyedari bahawa Eleanor sendiri ingin menamatkan hidupnya. Eleanor mengutuk kehidupan dan benci akan dirinya sendiri tetapi tak mampu nak bunuh diri.
Ternyata, Tanya telah membantu Eleanor kerana kewujudan Eleanor hanya membawa bencana kepada orang sekelilingnya. Persoalannya, patutkah Eleanor yang membahayakan masyarakat disingkirkan untuk keamanan sedangkan ahli masyarakat sendiri yang menjadikan Eleanor seperti itu? Kehidupan Tanya menjadi lebih sempurna selepas kematian Eleanor. Mungkin Eleanor macam sebiji kek yang sangat cantik dan menyelerakan. Namun, setelah dimakan ianya tidak sesedap rupanya ataupun bahagian dalam kek yang dipotong itu tidak secantik hiasan luarannya. Mungkin juga nasib kek yang cantik itu hanya terkubur dalam perut manusia? Tragik tetapi aku tak merasakan simpati itu. Satu sinikal yang tajam daripada Sandra Newman!
No comments:
Post a Comment