Friday, August 5, 2011

"Vibrator" Getaran yg Mengembalikan Keghairahan

Ayat-ayat dalam karya ini sangat lirikal dan deskriptif. Taklah lirikal macam puisi-puisi Jepun kuno tapi gayanya diwujudkan secara moden oleh penulis baru,Mari Akasaka. Karya ini telah pun difilemkan. Aku dapat bayangkan, pastinya mood sensual dan melankolik kehidupan seorang wanita lebih menyerlah secara visual daripada teksnya! Karya ini juga mendapat pelbagai reaksi dan kecaman oleh masyarakat di Jepun kerana ‘keberanian Akasaka membentuk watak karyanya ini’. Watak Hayakawa Rei merupakan seorang wartawan majalah yang mencari kewujudannya dalam masyarakat. Penggunaan ayat dan sudut pandangan orang pertama memang sangat natural. Aku rasa macam ada dalam fikiran watak sebab teknik naratornya mengalir dengan lancar tanpa tapisan. Tapi skill penulisan Akasaka memang terbaik sebab dia mampu selektif tanpa mencacatkan kesan natural tersebut.

Latar cerita berlaku dalam satu hari di satu masa saja. Semuanya bermula di sebuah kedai sewaktu Hayakawa Rei ingin membeli stock minuman kerasnya(dia penagih alcohol). Hidupnya yang penuh kebosanan dengan rutin kerja, muntah selepas makan(bulimia) dan insomnia memang tidak merangsangkannya. Akasaka dengan teliti memaparkan fikiran dan suara hati watak yang sentiasa tertekan dengan kehidupan, juga pendapat,khayalan dan fantasi wanita. Setelah sekian lama, Hayakawa Rei merasakan perasaannya bergetar apabila melihat Takatoshi Okabe yang berkelakian pada pandangan pertama di sebuah kedai. Dia berperang dengan rasa sensasi dan pasif apabila merasakan semangat untuk melakukan sesuatu dalam hidup, menegur jejaka itu.

Takatoshi Okabe seorang pemandu truck yang telah pun berkahwin. Namun,hidupnya banyak di habiskan di jalanan menghantar muatan di sekitar Jepun. Lelaki ini telah berjaya menghidupkan suis dalam diri Hayakawa Rei. Perkenalan singkat ini tidak menghalang Hayakawa Rei daripada meniduri Takatoshi. Segala fikiran dan perasaan watak dinyatakan secara terus-terang dan detail (begitu juga dengan aksi dan reaksi sewaktu berhubungan seks!). Attitude selamba Hayakawa meniduri lelaki pada pandangan pertama(yg sudah beristeri pula tu!) memang mencabar nilai santun masyarakat matahari terbit. Apatah lagi dengan detail-detail fikiran dan aksi seks tanpa tapisan.

Perbualan kedua watak ini sentiasa dibayangi fikiran dan imbas kembali Hayakawa Rei menyebabkan dia sentiasa tersasar daripada realiti sebenar latar masa. Setiap yang dibualkan mengimbau nostalgia Hayakawa sejak bangku sekolah yang dipaksa keluarganya sendiri untuk mengikut apa yang diamalkan masyarakat. Walaupun dia tidak bersalah kerana dipukul gurunya tanpa sebab, ibunya enggan menukarkannya ke sekolah lain kerana tidak mahu mencabar institusi sekolahnya pada masa itu (dia enggan ke sekolah,hal ini memalukan keluarga dan masyarakat mengumpat mereka). Dia memang merasa dikhianati keluarganya sendiri.



Hayakawa membesar menjadi seorang wanita yang pasif dalam masyarakat. Tidak hairanlah dia mengisi waktu malamnya selepas bekerja keras dengan mabuk seteruk mungkin. Dia juga tertekan dengan penanda masyarakat tentang sikap dan perwatakan seorang wanita. Masyarakat moden Jepun memang terkenal sebagai ikon dunia fesyen. Oleh itu, konsep kecantikan sangat serius di kalangan wanitanya. Usaha untuk mencapai persepsi masyarakat itu menjadikan wanita seperti Hayakawa hilang kewujudan dirinya sendiri. Rasa dalaman diri sentiasa berperang dengan pengaruh masyarakat menjadikan kaum wanita sangat tertekan dalam memainkan peranan sebagai individu sebenar.

Perjalanan Hayakawa mengikuti Takatoshi menghantar muatan di sekitar Jepun berjaya membuka matanya selama ini. Sikap Takatoshi yang bersahaja dan mengambil berat telah menyedarkan Hayakawa tentang makna kewujudan. Takatoshi sendiri melalui hidup yang perit, namun dia memilih untuk bekerja sendiri dan tidak membiarkan kenangan lalu mencacatkan perjalanan hidupnya. Cara Takatoshi menikmati hidup secara sederhana dengan penuh keyakinan memberi satu tamparan hebat kepada Hayakawa.

Karya ini memang sangat dalam maknanya walaupun situasi yang dipaparkan simple. Aku suka bahagian akhir novel ini di mana Takatoshi mempelawa Hayakawa memandu trucknya mendaki jalan berbukit. Hayakawa berjaya mengawal truck dengan baik(sedangkan itu kali pertama). Apa yang penting, dia mula merasai perasaan yang telah hilang selama ini iaitu ‘keghairahan’. Secara simboliknya, dia telah berjaya mengawal kembali kehidupan dan kewujudannya melalui peristiwa memandu truck Takatoshi. Getaran yang diberikan oleh Takatoshi telah mengembalikan keghairahan dalam hidup Hayakawa. Wanita perlukan rangsangan dalam apa jua aspek sekalipun, bukan sekadar seks semata-mata. Wanita juga harus jujur menjadi diri sendiri dan berprinsip dalam menangani tekanan masyarakat. Itulah yang aku pelajari daripada karya Mari Akasaka ini.

No comments:

Post a Comment