Friday, September 23, 2011

"Penelope" Terima Kekurangan Diri

Aku memang suka gila baca cerita-cerita berbentuk fairytale seperti ini. Walaupun aku dah terlalu tua untuk cerita fantasi, aku tak pernah menolak untuk membaca atau membelinya bila berkesempatan. Sebenarnya novel ini berdasarkan filem Penelope lakonan Christina Ricci(heroin pujaan aku!). Selalu novel ke layar perakkan? Tapi,Marilyn Kaye mengadaptasi filem ke novel dengan pengenalannya oleh Reese Witherspoon. Ceritanya sangat simple lagi sweet. Penelope tak pernah bergaul kerana segala-gala yang ada di luar telah disediakan oleh keluarganya yang kaya-raya. Kewujudannya tidak diketahui umum malah kematiannya telah dipalsukan untuk menutup mata masyarakat.

Semua ini dirancang oleh ibunya dengan bantuan kakitangan professional, status dan kekayaan mereka. Penelope mengharungi hidup selama hampir 25 tahun dengan rutin yang sama dan tertutup di dalam rumah mewah keluarganya. Walaupun memiliki dan mampu mendapatkan apa saja, Penelope mengharapkan dirinya berubah menjadi lebih sempurna kerana itu yang dicanangkan oleh ibunya pada Penelope selama ini. Wajah comelnya berhidung khinzir adalah akibat sumpahan ahli sihir terhadap keturunan mereka(sebelah bapa).



Sebab itu, Penelope tidak dibiarkan menjalani kehidupan normal.Jauh di sudut hatinya, dia ingin menjelajah melihat dunia luar. Namun, dia sentiasa disibukkan dengan aktiviti mencari jodoh. Cara meleraikan sumpahan itu adalah apabila ada di kalangan golongan mereka(berpengaruh dan bangsawan) mengahwini anak perempuan keturunan mereka. Dalam masa yang sama, seorang wartawan cuba membalas dendam kepada ibu Penelope kerana mencacatkan matanya. Hal ini berlaku ketika dia cuba mengambil gambar Penelope sewaktu bayi tetapi dicederakan dengan senduk oleh ibu Penelope hingga buta sebelah mata. Malang sekali apabila lelaki yg diupah wartawan ini untuk mengambil curi gambar Penelope dalam sesi temuduga jodoh, benar-benar jatuh cinta dengan Penelope.

Malangnya,Penelope tak sedar tentang hal ini. Pemuda tersebut enggan mengahwini Penelope kerana sebenarnya dia bukan orang kaya bangsawan yang mampu meleraikan sumpahan Penelope. Dia sedar Penelope begitu bersemangat nak berubah. Jika dia mengucapkan kata cinta nanti, mungkin Penelope terpaksa mengorbankan cita-citanya untuk sempurna. Penelope kecewa kerana menyangka pemuda ini enggan berkahwin kerana hidung khinzirnya.Dia terus meninggalkan rumah. Dia menjelajah dunia luar dan menjadi celebriti setelah penyamarannya terbongkar. Ternyata, masyarakat luar sangat mengkagumi keunikannya. Penelope masih tidak menganggap dirinya ini adalah yang sebenar. Dia masih menyimpan cinta yang mendalam terhadap pemuda yang menghilangkan diri itu.

Akhirnya, Penelope berubah setelah dia bertekak dengan ibunya. Dia mengakui bahawa dia tetap dirinya sendiri walau apa yang berlaku. Maksudnya, sama ada dia berubah atau tidak. Sebenarnya ahli sihir yang menyumpah keturunan mereka itu, mengungkapkan sumpahan dengan tipu muslihat. Bukan Penelope harus berkahwin untuk meleraikan sumpahan tetapi sama ada golongan bangsawan seperti mereka boleh tak, menerima jika ada kekurangan diri. Itu sebenarnya pengajaran yang nak diberikan setelah moyang Penelope menyebabkan anak ahli sihir ini membunuh diri akibat mengandung(gadis ini tukang potong sayur di rumah mewah moyang Penelope). Moyang Penelope langsung tak membela gadis tersebut yang dah pun mengandungkan anaknya apabila keluarga bangsawan tersebut menghina dan menolak gadis itu daripada menjadi menantu keluarga mereka. Walaupun dia menyintai gadis tersebut, dia tidak berani melawan keluarganya.

Cerita yang ringkas ini memang mempunyai nilai moral yang tinggi. Kita tak patut pandang nilai diri seseorang dengan status atau harta benda. Manusia semua sama, ada kekurangan. Kita perlu menerima kekurangan diri kerana kita tak mungkin sempurna. Kasih sayang adalah asas yang penting dalam kehidupan melebihi segala-galanya. Ianya memang menuntut pengorbanan. Memang banyak yang dapat dipelajari dalam cerita begini kerana struktur ceritanya sendiri membangkitkan persoalan yang jelas melalui watak dan peristiwa yang berlaku. Apa yang penting,memang happy ending. Penelope bertemu semula dengan pemuda yang dicintainya itu. Segala salah faham berjaya dileraikan. Penelope sedar betapa pemuda itu begitu menyintainya. Sumpahan yang dialami Penelope telah berjaya mewujudkan sifat bangsawan sejati yang sebenarnya. Berani, Penelope berani menegakkan cintanya walaupun kekasihnya hanya seorang anak tukang paip!

No comments:

Post a Comment