Wanita hanya di tapak kaki saja nilainya. Itu yang aku rasa bila membaca karya Zoe Ferraris ini. Kematian Nouf di padang pasir mengundang ingin tahu abangnya Othman. Othman meminta bantuan Nayir, seorang Palestin yang warak untuk menyiasat tentang kematian Nouf. Penyiasatan ini menemukan Nayir dengan tunangan Othman, Katya. Kedudukan Katya yang bekerja di makmal forensic menimbulkan persoalan yang besar kepada Nayir. Katya telah mencabar masyarakat Arab apabila bekerja dan masih belum berkahwin di usia 28 tahun. Dia berani bertentang mata dengan lelaki bukan muhrim, melakukan penyiasatan dengan Nayir tanpa pengawal peribadi malah mempamerkan wajahnya kepada Nayir. Hal ini memang menimbulkan keserbasalahan kepada Nayir yang taat dengan adat dan hukum.
Nayir mula memahami tentang keinginan wanita dan kebebasan hak mereka melalui proses penyiasatan yang dilalui bersama Katya. Nayir sentiasa berperang dengan hukum adat dan undang-undang Islam pemerintah terhadap wanita. Katya telah membuka mata Nayir tentang wanita. Mereka hanya antara manusia yang ingin hidup. Bayangkan Nouf yang ditemui mati, sebenarnya dibunuh bukannya melarikan diri daripada perkahwinan yang diaturkan keluarga. Kematian Nouf juga diklasifikasikan sebagai kemalangan demi menjaga maruah keluarga Badwi terhormat. Sebenarnya Nouf tidak mempunyai sebab untuk lari kerana dia telah membuat perancangan akan menghilangkan diri hanya sewaktu bulan madunya di New York kelak.
Penyiasatan Nayir sememangnya memberi kesan yang besar terhadap pegangan yang dipegangnya selama ini. Hidup Nouf yang terkurung sebagai wanita dikalangan masyarakat Arab telah menutup pintu kebebasan. Hal ini menjadikan Nouf begitu terdesak untuk meninggalkan keluarga mereka. Dia tak sanggup berdepan dengan Othman jika mengahwini lelaki pilihan keluarga,Qazi. Jika dia berkahwin, bayangkan dia mesti berdepan dengan Othman seumur hidupnya. Othman yang dicintainya sepenuh hati tapi tidak dapat dimiliki. Kehidupan Nouf yang penuh dengan rahsia menyukarkan penyiasatan Nayir. Nouf ternyata secara sulit menyamar sebagai lelaki(tanpa pengetahuan keluarganya) menaiki motosikal dan menghabiskan masa di zoo. Di sinilah dia bertemu dengan Othman dan berasmara hingga mengandung.
Tekanan yang dihadapi wanita menjadikan adik Nouf yang seirasnya,Abir membunuh Nouf. Dia cemburu kerana Nouf bakal berkahwin dengan Qazi yang diidamkannya. Abir tidak dapat membiarkan Nouf yang ‘berdosa’ memiliki Qazi. Nayir telah berjaya menyelesaikan rentetan peristiwa sulit yang dilalui Nouf dengan begitu sukar. Hasil yang didapati memang membuka mata Nayir. Wanita perlu diberi hak dan kebebasan, jika tidak wanita yang tertekan akan mengambil tindakan yang di luar kawalan. Abir boleh saja memberitahu Qazi yang tunangnya mempunyai kekasih lain malah telah pun mengandung. Malangnya jalan mudah diambil dengan melenyapkan Nouf dari muka bumi ini. Wanita telah diajar untuk tidak bersuara.
Hubungan kerja yang dilaluinya dengan Katya menjadikan Nayir belajar menghargai kepakaran yang dimiliki wanita. Wanita bukan alat atau punca zina hingga mereka dipaksa memencilkan diri. Nayir mula memahami bahawa lelaki sepatutnya lebih memahami dan menghormati wanita untuk berada di sekeliling mereka tanpa fikiran yang terarah kepada nafsu. Jadi, inilah ketahanan iman yang diagung-angungkan sangat oleh lelaki mereka, mengawal nafsu bahimiyyah bukannya memenjara wanita untuk mengelakkan perlakuan sumbang tersebut!
Zoe Ferraris memang bagus sebagai penulis kerana unsur suspens berjaya diaturkan sepanjang karya hingga mengangkat tema penyiasatan dengan begitu teliti. Aku juga tertipu dengan andaian siapa yang bunuh Nouf?Aku sangkakan Othman kerana dia ada motif yang kuat ,alibinya juga meragukan. Namun, ternyata apabila semua bukti disimpulkan memang jelas Abirlah pembunuh Nouf. Bila direwind semula daripada awal cerita rentetan dan bukti kejadian, sah memang Ferraris penulis penyiasatan yang hebat giler!
No comments:
Post a Comment