Friday, September 23, 2011

"Hatiku di Harajuku" Hargai Peluang Kedua!


Aku dah lama melihat dan terjumpa karya-karya Ramlee Awang Murshid. Baik di library mahupun di toko-toko buku. Namun, aku langsung tak tertarik atau mempunyai keberanian untuk membacanya. Mungkin cap “penulis thriller” yang diberikan di cover-cover karyanya buat aku tak selesa. Persoalan yang timbul, “iyakah bagus? Sethriller mana sangat? Alah, thriller Melayu…”Setelah sekian lama, hati aku terbuka juga untuk try baca hasil karyanya, Hatiku di Harajuku.

Permulaan novelnya saja menimbulkan suspens ingin tahu pada aku melalui monolog watak Sabrina. Teknik imbas kembali digunakan untuk menaikkan tempo cerita melalui insiden pembunuhan di Jepun. Laju tapi masih teratur urutan dan jalinan ceritanya. Aku enjoylah membaca karya ini. Pengetahuan Ramlee yang mendalam tentang subjeknya menimbulkan rasa hormat aku pada beliau. Teknik dialog Jepun, gambaran latar tempat dan masa, juga info-info berkaitan falsafah dan adat Jepun digarap dengan penuh keserba tahuan. Aku rasa inilah tarikan utama novel ini. Kira logiknya juga aku boleh terima. Siapa sangka seorang pemuda Melayu boleh menjadi seorang yakuza kerana cintanya kepada pemimpin anak yakuza.

Ryu-Watanabe jatuh cinta kepada Noriko anak kepada ketua yakuza Amikie. Ryu sanggup dipukul dan melalui pelbagai rintangan untuk belajar menjadi samurai daripada Nakamura, datuk Noriko. Malangnya cinta mereka tak kesampaian kerana berlainan bangsa, ternyata Ryu-Watanabe adalah seorang pemuda Melayu. Aku tahu pun setelah latar masa kini memaparkan watak Risham yang sering dibuli dan bekerja dengan Sabrina,seorang pengusaha restoran makanan Jepun. Watak Ryu ditampilkan melalui imbas kembali situasi dan juga melalui watak pembunuh yang mengganas membunuh yakuza Jiro di Jepun pada latar semasa.

Sabrina mnegetahui tentang keagungan cinta Ryu-Watanabe dan Noriko melalui cerita sepupunya Murni yang belajar di Jepun. Sabrina memang kagum dan mengimpikan lelaki seperti Ryu(sedangkan Ryu ada di depan mata Sabrina!).Aku hanya tahu Ryu dan Risham adalah orang yang sama melalui penceritaan Sabrina kepada Murni tentang insiden di tempat letak kereta. Sabrina tahu Risham hanya berpura-pura berperawakan lemah. Hal ini kerana, Risham tangkas berlawan sewaktu menyelamatkan Sabrina yang nyaris dicederakan.

Sabrina telah jatuh cinta kepada Risham atau Ryu. Malangnya, masa lalu Risham sebagai yakuza telah mencalarkan kepercayaan Sabrina terhadap jejaka pujaannya. Tuduhan-tuduhan membunuh dilemparkan kepada Risham malah Sabrina enggan mempercayai Risham yang ingin menyelamatkannya sewaktu diculik oleh Noriko. Sebenarnya semua pembunuhan terhadap yakuza Jiro di Jepun dan beberapa siri pembunuhan yang berlaku di Malaysia adalah berpunca daripada Noriko yang salah sangka terhadap Risham. Dia ingin membunuh Risham walaupun, Risham adalah Ryu Watanabe yang dicintainya. Ternyata Noriko yang dianggap mati kerana dibunuh yakuza Jiro sebenarnya masih hidup dan menunggu saat yang sesuai untuk menuntut bela.

Risham akhirnya terpaksa bertarung dengan Noriko. Dia berjaya menikam perut Noriko dan menghilangkan diri bersama Noriko yang parah. Sabrina tidak sempat memohon maaf kepada Risham kerana tuduhan dan sangkaan buruknya selama ini. Karya ini berakhir dengan usaha Sabrina mencari dan menanti kemunculan Risham. Mereka bersua setahun kemudian di ladang strawberi bernama ‘Harajuku’ di Cameron Highlands. Risham adalah pengusaha ladang tersebut. Dia telah pun bersatu dengan cinta yang sentiasa bersemadi di hatinya, Noriko. Noriko telah memeluk Islam dan mengahwini Risham. Mereka menggunakan peluang kedua ini untuk memulakan hidup baru. Sabrina memang kesal kerana dia telah mengabaikan banyak peluang kedua yang diberikan oleh Risham untuk menyintainya.

Secara keseluruhan, karya ini membincangkan tentang peluang. Risham sentiasa dicabar dengan halangan yang menguji pilihannya untuk berubah. Perbuatan Sabrina yang sentiasa sangsi dengan Risham, membuatkan Risham lebih rasional dalam memberikan peluang kedua kepada insan yang pernah mengecewakannya. Sebab itu Risham kembali berjumpa dengan ayahnya. Dia sanggup memaafkan ayahnya yang mengabaikan ibunya. Ibunya dipenjara kerana dadah yang diedar oleh ayahnya ditemui di rumah mereka. Risham sendiri dilahirkan dalam penjara. Dia turut memberi peluang kepada Noriko untuk meneruskan cinta dan impian mereka berdua yang tidak kesampaian sebelum ini. Aku bersimpati dengan watak Sabrina yang belajar tentang nilai peluang itu dengan cara yang amat pahit. Cintanya tak kesampaian, alangkah baiknya jika dia setia mempercayai Risham sewaktu dalam kesusahan dengan pelbagai tuduhan membunuh dulu. Satu kisah cinta tiga segi yang sangat lain daripada lain.

1 comment:

  1. Ye ,betultu ..sedih tengok watak sabrina .. kalau jadi sabrina nangis air mata darah

    ReplyDelete