Falsafah kewujudan mempersoalkan setiap tindakan dan kaitannya dengan kemanusiaan. Setiap makhluk mempunyai naluri belas kasihan secara alamiah. Karya ini menceritakan tentang Henry Day dan Aniday. Keith Donohue memaparkan dua sudut pandangan watak yang menuruti setiap bab dalam novel ini. Pada usia tujuh tahun, Henry Day yang merajuk menyembunyikan diri dalam hutan di belakang rumahnya. Peluang ini diambil oleh sekumpulan hobgoblin menculiknya dan menggantikan tempat Henry Day dengan salah seorang daripada mereka. Kawasan ini memang terkenal dengan mitos ‘changelings fairy’. Pari-pari ini akan menukar kanak-kanak manusia dengan ahli mereka setiap seratus tahun. Mereka akan memilih kanak-kanak dengan criteria tertentu. Setiap ahli akan mengumpul informasi berkaitan kanak-kanak yang dipilih(tabiat,kenalan,kebolehan dsbnya).
Henry Day melalui hidup sebagai pari-pari di hutan. Dia telah bersahabat dengan Speck yang masih mencuri-curi membaca di perpustakaan manusia. Mereka yang telah hidup di kalangan pari-pari ini mesti melupakan segala-galanya tentang dunia manusia. Menariknya, Henry Day atau Aniday (nama asalnya digantikan dengan baru oleh kumpulan pari-pari) masih boleh membaca,menulis dan melukis walaupun telah lama hidup di kalangan pari-pari. Hal ini membantu kumpulan pari-pari sewaktu melakukan pecah masuk di dapur manusia atau pasar raya(Aniday boleh membaca label keperluan dapur seperti garam,gula dsbnya untuk diambil). Aniday cuba menyesuaikan diri dengan peraturan dan undang-undang hidup kumpulan pari-pari ini(banyak pantang-larang yang berlainan daripada kehidupan manusia biasa). Aniday juga pernah dihukum kerana mempamerkan dirinya kepada manusia. Secara rahsia, dia cuba menjejaki dirinya yang pernah menjadi manusia.
Pari-pari yang menggantikan Henry Day juga mempunyai konflik tersendiri. Dia sentiasa bimbang penyamarannya diketahui oleh keluarga Henry Day. Ternyata dia sangat berbakat dalam bidang muzik malah mampu mengimitasi personality lain dengan baik. Ayah Henry memang curiga dengan Henry Day yang pulang daripada hutan. Sehingga dewasa, ayahnya tidak pernah menerima Henry Day sepenuhnya. Henry Day melalui kehidupan remaja dengan masalah seksual, pengaruh rakan sebaya dan percubaan menjadi anak yang taat. Keluarganya telah menghabiskan wang yang banyak untuk pendidikan muziknya. Dia seorang pemain piano termuda dengan gaya permainan tersendiri. Tekanan rasa bersalah membuatkan dia pernah beberapa kali menceritakan perihal diri sebenarnya kepada rakan-rakan. Namun, mereka menganggap dia sekadar bergurau.
Setelah berkahwin, Henry Day berjaya menjejaki garis keturunan asalnya. Dia diculik oleh pari-pari beratus tahun yang lalu di German. Kelahiran anaknya telah mewujudkan tekanan dan trauma. Dia bimbang kalau-kalau anaknya turut diculik pari-pari untuk ditukar. Pertemuannya dengan Aniday juga semakin menekan dengan rasa bersalah. Dia sentiasa terkenang kembali ibunya, suasana dia dibesarkan di German dan pelbagai kenangan zaman kanak-kanaknya sebelum diculik dulu. Henry Day nyaris gila dan kesal dengan takdirnya mengambil tempat Aniday.
Siapa yang tak mahu kenal dan menjadi diri sendiri. Inilah persoalan besar yang melatari karya ini. Henry Day dan Aniday secara sengaja atau tidak asyik terserempak dengan situasi-situasi yang mempersoalkan wujud diri mereka. Akhirnya kedua watak ini telah bersemuka. Henry Day yang menyamar telah berusia manakala Aniday masih di usia tujuh tahun menanti gilirannya pula untuk ditukar oleh kumpulan pari-pari menjadi manusia. Aniday tersentuh dengan keadaan Henry Day yang begitu tertekan dengan kekesalan. Aniday sendiri merasakan, Henry Day hanya mangsa keadaan sepertinya.
Peristiwa ini memberi kesan kemanusiaan yang mendalam. Henry Day dapat juga menghilangkan rasa bersalah kerana merampas tempat Aniday selama ini. Aniday pula menerima nasibnya dengan hati terbuka. Dia menganggap segalanya telah ditakdirkan dan tidak menyalahkan Henry Day yang mengambil tempatnya. Aniday mengucapkan selamat tinggal kepada Henry Day dengan memberi ingatan agar Henry Day meneruskan peluang hidup yang diberikan sebaik mungkin. Aniday juga mengambil keputusan berani untuk hidup bersendirian dan meninggalkan kumpulan pari-pari tersebut. Dia tidak ingin lagi mengejar bayang-bayang lalu, kehidupan sebagai manusia kerana dia telah menjadi pari-pari. Dia harus meneruskan hidup seperti yang telah ditakdirkan. Begitu juga Henry Day.
No comments:
Post a Comment