Thursday, January 31, 2013

Kasino..Serius!


Persoalan yang agak taboo untuk dipersoalkan dalam naskhah-naskhah terkini. Lazimnya, gerombolan penulis berlumba-lumba menghasilkan novel romantik yang menjamin kesuksesan. Tapi, Saifullizan Tahir dengan yakin tampil memaparkan isu peralihan pemerintahan parti dalam negeri, rasuah, gaya hidup kelas atasan yang korup dan perjudian kelas tinggi. Perkembangan plotnya licin dengan pemaparan konflik yang dihadapi Mohd.Narcissus Yussof yang terpaksa melangsaikan hutangnya dengan kerajaan negeri sebanyak RM 3.8 juta dalam tempoh dua minggu.

Konflik yang di hadapi watak juga dikembangkan dengan teknik imbas kembali untuk mengenalkan biografi watak kepada pembaca. Mohd Narcissus adalah satu paparan kelas kapitalis yang sinonim dengan petualangan perempuan, urusniaga melibatkan berfoya-foya di kelab elit, rasuah dan politik. Pengaruh politik memberi kesan yang besar terhadap golongan korporat dalam menjalankan perniagaan. Ramai pihak yang perlu disenangkan dengan ganjaran dan janji tertentu bagi meluaskan empayar ekonomi.

Sifat tak mudah mengalah, putar belit dan berani menanggung risiko dipaparkan melalui watak Mohd Narcissus yang menjadikannya seorang usahawan Bumiputera yang berjaya. Walaupun mengamalkan gaya hidup bebas, dia tetap menunaikan solat dan menjaga hati isteri dan anak-anaknya. Hal ini memberikan kesan kemanusiaan yang real terhadap watak. Penulis cuba memaparkan satu watak hero yang seimbang dengan sisi putih dan hitamnya seorang manusia. Hanya gaya penulisannya memberikan kesan kaku pada aku. Ayat-ayat yang dibingkiskan tidak memberikan sebarang kesan emosi. Ianya agak mengurangkan sedikit estetika karya ini.

Walau bagaimapun, aku memuji idea Saifullizan yang kreatif dan berani dalam mengetengahkan kritikan terkadap kekotoran politik,kuasa dan materialistik dalam naskhah ini. Mungkin kerana isu dan latar yang dipaparkan bersifat semasa. Oleh itu, ianya meninggalkan kesan yang lebih baik pada aku daripada Patriarch,Sutan Baginda, Tikus Rahmat atau Tembok Tidak Tinggi. Aku tak hairan jika pada berpuluh tahun dari sekarang, naskhah ini juga dijadikan perbandingan yang dipuji, setaraf dengan karya yang aku sebutkan di atas tadi.

No comments:

Post a Comment