Thursday, January 31, 2013

Panggil Aku Kiah..Pilihan di Tangan Kita


Mula sekali aku lihat naskhah ini di MPH Alamanda memang rasa lucu dengan kulit depannya ada lembu hitam bertompok putih. Dalam hati aku memang mengutuk, novel apa ni? Apabila mengunjungi perpustakaan UM, aku terjumpa novel ini di rak terbuka lalu membaca sinopsisnya. Setelah itu, aku mula menyelak-nyelak helaiannya dan sempat fast reading beberapa bahagian, macam menarik. Lalu, aku terus meminjamnya dan ternyata novel ini agak bagus. Karya Liza Nur ini pada aku biasa. Rasa biasa itu memberikan kesan yang kuat terhadap karya ini.

Persoalan darjat menjadi tunjang cerita melalui watak Kiah atau Chanelle dan heronya Hud. Chanelle seorang gadis cantik,kaya,bebal,malas,sombong dan macam-macam lagi negatifnya. Dia sering mengherdik Hud dengan hinaan dan arahan-arahan yang tak bertimbang rasa. Hud juga merupakan teman sepermainannya sejak kecil. Namun, setelah dewasa masing-masing membawa hal sendiri-sendiri.Segalanya berubah bila Kiah dihalau ibunya setelah ayahnya terlibat dengan skandal di mana Kiah pula difitnah dengan Hud yang sebenarnya menyelamatkan Kiah daripada dirogol Reza.

Kiah mula berubah apabila mengetahui yang dirinya hanya anak angkat keluarga berdarjat tersebut. Dia membawa diri ke rumah Hud. Hubungan mereka kembali berkembang menjadi sahabat yang saling membantu dan memahami. Kiah menyimpan perasaan pada Hud tetapi Hud telah pun mempunyai kekasih, Nur Mahani. Hud pula sebenarnya anak Datuk Salleh yang bersaing dengan syarikat Datuk Fuad(ayah angkat Kiah). Ibunya dihalau neneknya(ibu Datuk Salleh) kerana dianggap tidak berdarjat(ibunya bekas penari dan anak kepada penari kabaret). Mujur Sulaiman(ayah tiri Hud) sudi memberi perlindungan dan mengahwini ibunya. Hud mempunyai tiga orang adik tiri.

Rentetan peristiwa dalam naskhah ini sangat menarik. Walaupun biasa-biasa saja, tapi ianya memudahkan kefahaman dan sederhana sifatnya. Konflik Hud dengan ayah kandungnya Datuk Salleh yang cemburu dengan Sulaiman, Kiah yang bekerjasama dengan Qushairy bersaing dengan syarikat Datuk Salleh,Hud yang berusaha mencari rezeki dan membuktikan bahawa kemiskinan tidak menjadikan manusia murah dan tak bermaruah,Datin Nasrin ibu tiri Hud yang menggoda Hud tanpa mengetahui Hud adalah anak kandung suaminya dengan isteri pertama, Kiah yang berusaha menunaikan impian Hud, Nur Mahani yang menolak Hud tanpa mengetahui Hud sebenarnya berpelajaran tinggi dan menjadi drebar Kiah untuk menamatkan pengajiannya. Dila yang cuba membuka mata Reza kepada cinta seorang adik. Reza yang kesal dengan kemalangan yang menimpa adiknya, Murni Zara. Ibu angkat Kiah yang curang, Datin Nasrin yang mengandung anak lelaki simpanannya. Semua ini masalah yang biasa.

Namun, kejujuran dan kesederhanaan Liza Nur sebagai penulis ini yang menjadi kekuatannya. Gaya bahasa yang biasa dan sesuai dengan watak. Penzahiran watak juga tak melebih-lebih menjadikan aku sebagai pembaca tak rasa macam penulis terlalu berusaha nak yakinkan pembaca yang segalanya real. Tak ada babak-babak romantik Kiah dengan Hud yang bersangat-sangat. Tapi, rasa cinta yang mendalam antara kedua watak ini dapat dirasai. Konsep berubah atau hijrah juga memberi kesan didaktik yang tinggi. Manusia itu sendiri yang mampu merubah nasib sendiri bukannya orang lain. Kiah berubah dan Hud berubah menjadi manusia yang lebih baik dan berjaya atas pilihan sendiri. Akhirnya, darjat dan kekayaan tak membawa makna apa-apa. Itu yang aku rasa lepas baca karya ini dan membuatkan rasa benci aku kepada golongan kapatalis atau borjuis berkurangan sedikit.

No comments:

Post a Comment