Thursday, January 31, 2013

Suami Yang Kubenci..akhiran tak seindah permulaan


Naskhah tulisan E-Man Sufi ini, di mulakan pada tahap yang menaik, permasalahan watak hero dan heroinnya terus dipaparkan. Hannah Maryam telah pun berkahwin dengan Uwais Ukasyah yang dibencinya. Hannah Maryam merupakan seorang wanita berpelajaran,kaya dan cantik. Status pekerjaannya juga tinggi iaitu pemilik syarikat besar. Hal ini bertentangan dengan suaminya yang hanya seorang penjual burger yang tinggal di kampung. Dia terpaksa berkahwin dengan Uwais untuk menutup malu atas desakan datuknya(Hannah yatim piatu) setelah Tengku Muiz yang bakal dikahwininya ditangkap basah menjelang pernikahan mereka.

Watak dan ceritanya sudah dapat dijangka dan agak klise. Namun, moment-moment dalam perhubungan kedua watak yang berbeza ini dilakar dengan baik kerana bersifat segar dan baru. Salah faham yang berbaur dengan ego, juga kebaikan dan tolak ansur yang sentiasa disalah tafsir oleh kedua watak ini menimbulkan kepuasan pada pembaca. Fikiran dan perasaan watak Hannah dan Uwais dalam setiap tindakan memberikan pelbagai kesan emosi. Lakaran watak Hannah sebagai wanita yang menutup hatinya yang lembut dengan ego amat mengesankan.

Malangnya, apabila kedua watak ini telah meluahkan cinta masing-masing sekaligus dimunculkan watak Fawaz(abang sepupu Hannah) terasa tumpuan pada naskhah ini mula terganggu. Keromantisan Hannah dan Uwais makin melampau-lampau hingga aku rasa agak jelik. Watak Fawaz yang dibentuk menyerupai Hannah daripada pelbagai segi juga menghilangkan keistimewaan watak Hannah tadi. Rasa cintanya pada Hannah kelihatan membabi buta apabila Fawaz dengan mudah beralih arah pula kepada Batrisya. Paparan watak ibu Uwais yang sama karektor seperti Uwais menimbulkan kejanggalan pada aku. Gurauan dan sikap loyar buruk ibunya itu seolah-olah satu repitasi untuk menutup kemeleretan cerita serta menyokong keterlampauan romantisnya Hannah dan Uwais tadi.

Dalam novel cinta, macam biasa adalah happy ending, setiap pasangan watak telah pun mempunyai anak yang comel dan menyerupai suami atau isteri, juga anak yang dimiliki adalah kembar. Hal yang sama wujud diakhir naskhah ini. Aku memuji gaya awal permulaan karya ini yang membuatkan aku selesa dan ingin nak baca lagi. Tapi, lepas Hannah dan Uwais dah boleh terima antara satu sama lain semuanya hilang. Apapun, aku setuju dengan falsafah naskhah ini yang seseorang itu tidak dicintai kerana sempurna tapi kelihatan sempurna kerana dicintai.

No comments:

Post a Comment