Wednesday, September 19, 2012

"Cekik"..satu khayalan dan realiti Ekstrim


Membaca karya ini membuatkan aku rasa ngeri atau mungkin takut. Tapi, ceritanya bukanlah genre seram, hanya satu kisah tentang seorang remaja 16 tahun yang lari dari rumahnya. Aku tak terganggu dengan gaya penulisannya yang vulgar. Persoalan seks tanpa nikah, liwat dan seks pelik yang diutarakan bukanlah bersifat porno. Ianya pada aku adalah satu cara Ridhwan Saidi mengkritik secara tajam yang menimbulkan rasa ngeri tentang masalah jiwa yang kronik kerana kegagalan institusi keluarga. Pendekatan ini membuatkan aku terbayang Shahnon Ahmad, Philip Roth dan Charles Bukowski apabila membaca naskhah ini.

Ridhwan langsung tidak mempedulikan ruang realiti, kesinambungan fikiran dan emosi watak mahupun aturan idea persoalannya. Gayanya bersifat natural. Tidak ada penegasan terhadap subjek atau isu yang membina kerangka naskhah ini. Ianya hanya satu pola realiti yang melompat antara ruang imbas kembali dan imaginasi yang ekstrim. Pelbagai isu yang dikritik dalam kisah Warith yang turut menjelaskan kaitan antara watak ayahnya, Suria dan Anthony. Apa yang jelas, konflik jiwa remaja dipaparkan melalui watak heronya Warith berlatarkan tahun 2020 dan imbas kembali zaman remaja Suria dan Anthony. Oleh itu, aku menyimpulkan yang naskhah ini cuba menggambarkan pergolakan jiwa dan mental remaja yang kompleks dengan persoalan tersendiri.

Warith yang lari dari rumah dipungut oleh Suria, seorang wanita yang berusia. Mereka bersekedudukan. Fikiran Warith sentisa bergolak dengan imej-imej masa lampau tentang obses yang bercampur baur dengan ingin tahu terhadap seks. Dia pernah cuba diliwat ayahnya, seorang Imam kampung juga diperkenalkan dengan onani dan oral seks. Menonton filem lucah dan melakukan hubungan sesama jenis di bilik mandi kolam renang. Semuanya bercampur secara realiti dan khayalan sampai aku sendiri kadang-kadang susah nak faham.

Ada juga kritikan terhadap agama,sikap pelajar yang belajar di institusi pengajian tinggi,penjualan mercun,penculikan,budaya membaca,pengaruh media,budaya,gender,jenayah,pembuangan bayi dan banyak lagi. Persoalan baik dan jahat tidak dinilai dalam naskhah ini. Persoalan nilai satu isu yang tidak dijelaskan dan misteri. Begitu jugalah dengan endingnya. Persoalan Anthony tentang Warith yang membunuh ayahnya sendiri tidak terjawab. Warith mati tercekik chewing gum yang sering dikunyahnya.

Ada form Oedipus Rex dalam naskhah ini apabila Warith dan Suria saling tertarik antara satu sama lain sebenarnya bukan cinta pandang pertama tapi ternyata kerana hubungan ibu dan anak. Suria yang bersekedudukan dan melakukan hubungan seks dengan Warith adalah ibu kandung Warith. Warith yang dijumpai di tangga masjid kampung dipelihara oleh imam yang ternyata adalah ayah kandungnya sendiri. Malang sekali, si ayah sendiri tidak mengetahui anak yang dipungutnya itu adalah anak kandungnya. Suria telah dirogol oleh imam yang pada ketika itu siak di masjid tersebut hingga mengandungkan anak luar nikah(Warith). Suria yang bercuti sekolah selama setahun melahirkan anak di kampung dan meninggalkannya di tangga masjid.

Membaca naskhah ini memang membuatkan aku tercekik dengan kritikan-kritikannya yang keras dan sinikal. Tapi, aku suka juga gaya natural yang memaparkan segala peristiwa sesuka hati. Boleh dikatakan sepanjang pembacaan aku, ada saja moment aku berhenti seketika, menutup buku dan berfikir sebelum menyambung kembali pembacaan aku. Perkara ini berlaku berulang kali hinggalah aku menamatkan pembacaan. Kecelaruan yang dipaparkan menimbulkan kesan yang sukar dilupakan. Rasa geram,kesal,bimbang dan takut sentiasa menyelubungi diri kerana naskhah ini menghadapkan kesan keruntuhan institusi kekeluargaan yang tidak dapat mengembangkan moral dan agama dalam jiwa anak menjadikan mereka menjadi remaja yang bergolak dengan sikap dan pemikiran ekstrim yang tidak terarah.

No comments:

Post a Comment