Wednesday, September 19, 2012

"Night in Rodanthe" hidup dengan berani


Rasa ingin tahu aku memuncak terhadap penulis ini apabila melihat karyanya The Lucky One yang dijual di kedai buku baru-baru ini. Sebenarnya dah agak lama aku melihat karyanya di rak-rak kedai buku. Kehairanan aku pada naskhah Sparks yang banyak difilemkan buatkan aku akhirnya terpanggil untuk mencuba membaca karyanya. Inilah satu-satu karya Sparks yang aku jumpai di Perpustakaan Nasional, Nights In Rodanthe yang juga difilemkan dengan gandingan Richard Gere dan Diane Lane.

Gaya penulisan Sparks biasa saja. Tapi, kekuatan deskriptif dan naratifnya amat kuat. Setiap ayat-ayatnya mempunyai aturan falsafah yang menimbulkan kesan emosi dan sentimental pada pembaca. Membaca karyanya buatkan aku terkenang Stephen King. Bezanya, Sparks menggunakan subjek tentang watak dalam kehidupan manakala King menjurus kepada genre seram. Sparks berjaya mengupas setiap mental dan emosi wataknya dengan bersahaja. Walaupun, dia menggunakan sudut pandangan orang ketiga sahaja. Itu yang membuatkan aku kagum dengannya.

Naskhah ini membincangkan tentang keberanian dan ketabahan manusia meneruskan hidup. Persoalan ini berjaya dijelaskan melalui watak wanitanya. Tak bermakna wanita lemah dan mudah mengalah kerana fitrahnya yang sarat dengan emosi. Kemurungan Amanda atas kematian suaminya Dan, membimbangkan ibunya Adrienne. Segala nasihat ibunya dipandang kosong dengan anggapan ibunya takkan memahami cinta sejatinya dengan Dan kerana ibunya bercerai disebabkan oleh ayahnya yang curang. Hal ini membuatkan Adrienne terpaksa menceritakan kisah hidupnya yang disembunyikan selama ini. Segalanya bermula di Rodanthe.

Waktu itu Amanda masih di sekolah menengah apabila Adrienne membantu rakannya menjaga sebuah rumah tumpangan di Rodanthe pada musim terburuk. Perceraian membuatkan Adrienne memerlukan wang bagi menyara Amanda dan dua orang abangnya. Ianya menemukan Adrienne dan Paul Flanner. Paul seorang pakar bedah yang berjaya, mempunyai masalah hidup tersendiri. Dia telah bercerai dengan isterinya dan menjual aset yang diperolehinya selama ini. Pertemuan mereka berdua membawa persefahaman dan cinta yang selama ini tidak pernah ditemui dalam tempoh seminggu. Hubungan mereka berterusan lewat kiriman surat kerana Paul ingin bersama anaknya Mark. Namun, setelah bertahun berjauhan Paul telah merancang untuk menemui Adrienne dan mengumumkan hubungan mereka kepada semua.

Malangnya, penantian Adrienne tidak berpenghujung apabila Paul senyap tanpa khabar. Mark datang seminggu daripada tarikh yang dijanjikan dengan membawa segugus surat kiriman Adrienne selama ini. Ternyata Paul telah mati sebelum tarikh yang dijanjikan untuk datang kerana kemalangan. Paul mati kerana ingin menyelamatkan Mark. Mark mengucapkan terima kasih kerana kehadiran Adrienne telah mengubah Paul menjadi seorang ayah yang bertanggungjawab dan manusia yang menikmati hidup. Sebelum ini, Mark tidak berpeluang mengenali ayahnya yang terlalu obses mencipta kejayaan, nama dan mengumpul harta hingga mengabaikan Mark dan ibunya.

Ruang penulisan Spark tidak tercicir walaupun dia menggunakan teknik imbas kembali yang berlapis dalam naskhah ini. Ruang realiti adalah perbualan Adrienne dan Amanda. Namun, imbas kembali berlangsung dalam pemaparan naskhah melalui cerita yang disampaikan Adrienne juga setiap penceritaan itu turut mempunyai imbas kembali dalam fikiran watak ketika itu. Hal ini bukanlah satu teknik yang mudah. Pada akhir cerita, Amanda telah berubah dan mempunyai pandangan yang baru terhadap ibunya. Ternyata, Adrienne mampu menyembunyikan kisah cinta dan kelukaannya daripada pengetahuan anaknya selama ini. Amanda mula merasa hormat dan kagum dengan ketabahan ibunya. Tujuan Adrienne menceritakan kisah itu adalah untuk memberi semangat kepada Amanda untuk terus hidup kerana masih ada anak-anak yang memerlukan sokongan ibu mereka. Seorang ibu harus kuat sebagai pendorong, bahawa segalanya akan tetap berterusan dan kehidupan harus diteruskan seperti sediakala. Amanda menyimpan pesan ibunya, hidup mesti berani bertindak dan jangan hanya berfikir tanpa berbuat apa-apa. Hasil tindakan itu akan terus menjadikan kita berani meneruskan hidup satu hari lagi. Cukup dengan satu hari dan begitulah yang dilakukan Adrienne sehingga setiap satu hari itu menjadi minggu,bulan dan tahun hingga ke usia tuanya.

No comments:

Post a Comment