Wednesday, September 19, 2012

"Usai Aku Terima Nikahnya"...naskhah sederhana



Kebanjiran novel-novel popular di pasaran memberi ruang yang baru kepada sesiapa saja untuk menulis. Hal ini mengembangkan tahap intelek dan kreativiti di kalangan mereka. Antaranya, penulis novel ini, Umie Nadzimah yang mempunyai karier dalam industri makanan. Namun, subjek penulisan, gaya bahasa dan perkembangan plot dalam naskhah ini memaparkan kreativiti tersendiri yang sangat baik.

Siapa sangka anak yatim piatu seperti Puteri Aina menjadi rebutan di kalangan sanak saudara demi sebuah wasiat hingga dikahwinkan dengan Iskandar Hafiz. Menurut wasiat arwah datuknya, setiap lima tahun keluarga yang memelihara Puteri Aina akan mendapat lima ekar tanah. Perebutan keluarga Pak Ngah dan Mak Long di menangi oleh Mak Long apabila Puteri Aina rela mengahwini anak Mak Longnya.

Iskandar cuba sedaya upaya menjaga Puteri dengan baik. Hubungan mereka berkembang daripada perkahwinan atas dasar kepentingan masing-masing kepada cinta. Malangnya, salah faham telah membawa kepada perpisahan. Iskandar meninggalkan Puteri Aina sendirian bersama bayi yang dikandungnya. Khalif sahabat baik Iskandar telah membantu Puteri Aina. Khalif yang menyimpan cinta terhadap Puteri Aina sentiasa disisinya kala susah dan senang tanpa mengharapkan balasan. Cinta Puteri Aina pada suaminya kian pudar. Penantian yang terlalu lama membawa kepada penceraian. Keduanya terlalu berkecil hati dan memikirkan kebahgiaan pihak lain.

Puteri Aina mengambil keputusan memberi peluang kepada Khalif. Mereka membina hidup yang bahagia. Iskandar yang cukup mengenali ketulusan sahabatnya akur dengan kekalahan itu. Dia redha apabila Puteri Aina memilih Khalif. Iskandar terus meninggalkan tanah air menetap di Frankfurt. Iskandar dan Khalif terus berhubung melalui email. Setiap perkembangan anak lelakinya yang dipelihara dengan baik oleh Khalif diketahui. Namun, setelah dua tahun, Khalif menyepi. Rupanya Khalif telah meninggal dunia kerana brain tumor. Anak lelaki Iskandar atas wasiat ayah tirinya cuba menyambung kembali ikatan antara Iskandar dan Puteri Aina. Akhirnya, mereka berdua kembali bersatu.

Banyak peristiwa yang sentiasa berlaku dalam kehidupan. Setiap individu di sekeliling kita terus-terusan memainkan peranan masing-masing. Ianya boleh jadi yang baik atau jahat. Penulis berjaya memaparkan satu ruang realiti yang membuatkan pembaca percaya tentang kewujudan watak secara emosi dan mental. Jalinan peristiwa melangkaui masa(tahun) juga lancar tanpa kesan mendadak atau tersangkut. Persoalan takdir masih happy ending. Namun, perjalanan yang dilalui watak membuatkan pembaca merasakan ianya relevan dengan akhiran yang begitu. Satu naskhah yang sederhana menjadikan ceritanya berpijak di bumi yang nyata.

No comments:

Post a Comment