Bila membaca karya Alice Sebold ini aku memang tak dapak elak daripada bersuara dalam hati, “ Teruskan berjalan!”. Sekali lagi Sebold telah menyihir aku dengan kekuatan cerita dan bahasanya. Pastinya ramai yang kenal akan karya ini kerana telah pun muncul dalam bentuk filem. Aku menonton filemnya sebelum membaca karya ini. Lakonan Saoirse Ronan sentiasa membayangi aku sewaktu membacanya. Aku lebih suka novel daripada filem.
Dalam novel, kekuatan bahasa Sebold berjaya menggambarkan perasaan watak dengan lebih sempurna. Perjalanan dan aturan plot juga lebih baik. Aku rasa filem gagal memaparkan sebab yang kuat untuk Susie Salmon terus ingin melihat perkembangan keluarganya. Susie yang berusia 14 tahun telah dirogol dan dibunuh dengan kejam oleh jirannya,Mr.Harvey. Nasib yang menimpa Susie masih menjadi tanda tanya pada keluarga dan masyarakat kerana mayatnya tidak dijumpai.
Watak Ruth yang mampu menyedari roh disekelilingnya lebih menarik dalam novel. Kebolehannya melihat roh telah menemukannya dengan roh Susie. Hubungan antara Ruth dan Ray Singh berkembang dengan lebih baik dalam karya ini. Ray Singh yang menyintai Susie menjadi dekat dengan Ruth sehingga mereka dewasa. Ray dapat merasai kewujudan Susie apabila berada bersama Ruth. Hubungan intimnya dengan Susie melalui tubuh Ruth merupakan satu unsur keajaiban yang sukar difahami secara rasional. Hal ini menimbulkan semacam satu harapan pada yang masih hidup.
Peristiwa yang menimpa ternyata memberi perubahan besar terhadap masyarakat yang mengelilingi keluarga Salmon.Hubungan kekeluargaan tercabar kerana peristiwa buruk yang menimpa. Abigail meninggalkan keluarga kerana tak tahan dibayangi kenangan terhadap anaknya. Usaha meneruskan hidup menjadi sukar apabila suaminya enggan menghentikan usaha mencari Susie. Daya usaha Detektif Len Fennerman memakan masa yang panjang, mampu mendapat pengiktirafan pembaca dalam novel berbanding filem. Jelas kesungguhan dan tekanan rasa bersalah yang menghantuinya atas kehilangan yang tidak terjawab, sentiasa menjadi beban tak tertanggung di bahu. Tambahan pula, dia telah terlanjur dengan Abigail(ibu Susie). Skandal mereka turut diketahui Lindsey(adik perempuan Susie) yang dirahsiakan demi ayahnya.
Kekeliruan dan kekesalan Susie atas kematiannya lebih mendapat simpati dalam novel. Kita dapat memahami pergolakan jiwa roh yang meninggalkan jasad tanpa rela. Sebold memberi keadilan pada watak Mr.Harvey apabila memaparkan fikiran dan didikan yang didapati daripada ibunya. Ternyata Mr.Harvey adalah mangsa keruntuhan sebuah institusi keluarga. Hal ini berbeza dengan kekuatan Jack(ayah Susie) yang tetap terus menjadi tunjang dalam keluarganya. Anaknya masih mendapat kasih sayang seadanya tanpa kehadiran Abigail.
Semangat Lindsey meneruskan hidup menjadi teladan pada Susie yang melihat perkembangan adik perempuannya ini dari alam yang berbeza. Lindsey telah berjaya membuktikan Mr.Harvey adalah pembunuh kakaknya. Namun, Mr.Harvey yang licik telah berjaya melarikan diri sebelum ditangkap polis. Cinta Ray terhadap Susie sentiasa mengikatnya dengan Ruth. Akhirnya, dia mampu menyintai Ruth seadanya tanpa bayangan Susie. Aku hormati bakat penulisan Sebold kerana dia mampu memaparkan kisah hidup yang realitinya sangat kompleks. Dia juga sangat serba tahu dan mampu memaparkan fikiran mana-mana watak yang diingini dengan begitu berkesan. Akhirnya, aku rasa kematian Susie tidak wajar, tetapi mungkin dengan cara ini saja watak disekelilingnya dapat lebih menikmati dan menghargai kehidupan.
No comments:
Post a Comment