Monday, October 24, 2011

Hasrat terpendam "Love, Hates & Hocus-Pocus"

Sebuah karya cinta Indonesia yang sangat menarik. Karla M. Nashar bermain dengan nasionalisme,mitos dan mistik serta cinta antara kaum Adam dan Hawa. Persoalan ini diterap dalam jalan cerita dan perwatakan watak utama itu sendiri. Aku memang tertarik dengan keunikan karya Indonesia. Penghasilnya mampu memaparkan secara sinikal persoalan nasionalisme dan akar mitos bangsa.

Troy Mardian memang kacak gila. Pendek kata,perfect sebagai hero. Bergaya, ada six pack yang menyesakkan nafas para gadis juga kaya. Lawannya adalah Gadis Parasayu yang anggun, seksi,sensitive tapi tegas dalam menjalankan tugas sebagai Manager Perhubungan Awam Dhemoticyl yang baru di peringkat pusat. Masalahnya, mereka berdua memang tak sehaluan. Masing-masing menyimpan rasa benci terhadap satu sama lain.

Mereka terpaksa bekerjasama apabila syarikat mereka mengalami masalah yang serius apabila ubat yang dikeluarkan menimbulkan kesan mudarat. Isu ini mendapat kecaman dalam pelbagai media di Jakarta. Karla dengan bijak menyelitkan birokrasi yang korup dalam sistem kesihatan malah eksploitasi media terhadap mangsa. Rakyat Indonesia yang miskin sentiasa ditekan dengan kos perubatan yang tinggi dan desakan yang membebankan pesakit. Pertelingkahan mereka sentiasa dibayangi dengan humor yang santai. Pelbagai insiden romantic yang berlaku membuatkan naluri semulajadi masing-masing tercabar. Rasa benci dan tarikan terhadap antara satu sama lain sangat kuat.


Troy seorang yang sangat Western. Memuja dan menganggap segala dari Barat itu classy,bersih dan bertamadun. Hal ini menjengkelkan Gadis yang sangat nasionalis. Penampilan watak yang berbeza ini dipaparkan melalui gaya,pakaian dan makanan mereka. Penulis secara halus menyindir sikap golongan terpelajar Indonesia yang meremehkan bangsa sendiri malah mengagungkan budaya Barat. Turning point yang menarik, apabila generasi muda menolak kewujudan dan kekuatan mistik sebagai akar bangsa. Gadis dan Tory telah meremehkan malah mempermain-mainkan seorang ahli nujum Gipsi dalam Parti Ulangtahun syarikat mereka.

Mereka telah disumpah saling menyintai dan hanya menyedari tentang perkara sebenar setelah melangsungkan perkahwinan. Masing-masing begitu ego dan enggan mengakui bahawa sumpahan itu telah melaksanakan hasrat yang terpendam dalam hati masing-masing selama ini. Usaha menyiasat punca mereka hilang ingatan hingga berkahwin memang membuahkan hasil yang tak diterima akal. Mereka juga mula menerima dan bertolak-ansur di antara satu sama lain. Pertelingkahan mereka berakhir apabila Gadis mengandung 3 minggu. Namun, hidup indah mereka berakhir apabila keduanya terjaga di bilik mesyuarat. Ternyata Gadis dan Troy telah mengalami mimpi yang serupa. Masing-masing kecewa kerana kisah indah itu hanyalah mimpi! Anehnya, mereka dikejutkan oleh teman sekerja dan perlu menghadiri Parti ulangtahun syarikat. Hal ini, sama seperti permulaan mimpi mereka tadi. Karla membiarkan pembaca menentukan adakah mimpi itu akan menjadi kenyataan atau tidak!

No comments:

Post a Comment