Rasa enjoy gila baca karya Julia Holden ini.Aku langsung tak berhenti membacanya hinggalah tiba ke muka surat akhir. Baru rasa puas hati. Karya ini macam perjalanan mencari harta karun. Ketinggian enam kaki cukup membuatkan Linda terasing. Bapanya seorang pemandu komuter langsung tidak mesra dengannya. Linda juga tak pernah berpeluang mengenali ibunya yang meninggal sewaktu dia masih kanak-kanak. Dia tidak pernah merasa dirinya istimewa apa lagi cantik. Namun, kehadiran sebuah kiriman mengandungi sehelai bulu head gear menimbulkan tanda tanya yang merungsingkan Linda. Begitu juga dengan sekeping gambar wanita cantik berpakaian showgirl yang menyerupai dirinya.
Linda akhirnya memberanikan diri menjejaki pengirimnya di Vegas. Pertemuannya dengan Dixie, sahabat lama ibunya memang mengejutkan. Ternyata ibunya seorang showgirl yang terkenal di Vegas malah melanjutkan kariernya di Paris sebagai La Gazelle. Linda mula menyedari anugerah yang diwarisi daripada ibunya. Buat kali pertama di Vegas, dia dilihat sebagai cantik dengan ketinggiannya. Namun, masih banyak persoalan yang menghantui Linda tentang latar belakang ibunya yang sebenar.
Pengembaraan Linda diteruskan hingga ke Paris. Linda benar-benar terkejut dengan kepopularitian ibunya. Dia berpeluang tinggal di kediaman mewah ibunya yang masih dijaga dengan baik oleh Madame Renard. Banyak yang Linda tahu tentang hidup lampau ibunya. Ibunya sangat popular dan terpaksa mengambil hati pelbagai jejaka. Ibunya juga tidak berpeluang menjadi dirinya sendiri. Maggie sentiasa hidup tertekan dihujani dengan perhatian daripada ribuan peminat malah terpaksa menjadi sempurna di mata umum yang sentiasa mengawasi gerak-gerinya. Linda mengenali Eddie, seorang pelukis hebat yang berselindung di sebalik karier sebagai akauntan bank.
Linda menjadi serba salah apabila Folies Bergere(panggung showgirl terkenal) ingin dibuka semula dengan Linda sebagai showgirl utamanya! Ternyata Linda memang mempunyai bakat semula jadi. Namun, pengalaman ibunya membuatkan Linda takut untuk hidup sebagai celebriti. Linda akhirnya meninggalkan Paris setelah kecewa dengan Eddie. Linda akhirnya mampu mencungkil tentang diri ibunya yang sebenar daripada ayahnya.
Ternyata, Maggie diselamatkan oleh ayahnya sewaktu cuba terjun ke landasan komuter. Perkenalan mereka membawa kepada persahabatan dan akhirnya mereka berkahwin. Ayah Linda begitu menghormati ibu Linda, dan tidak pernah bertanya tentang asal-usul Maggie. Tidak hairanlah, dia tidak mengetahui bahawa wanita yang dikahwininya adalah seorang showgirl terkenal yang digilai ramai.
Linda akhirnya memahami bahawa ibunya menyintai ayahnya kerana dia tidak perlu berpura-pura dan menjadi diri sendiri. Atas pengertian ini, Linda kembali ke Paris sebagai bintang baru Folies De’Soles apabila melihat lukisan Eddie di tembok taman Paris yang disiarkan dalam TV. Ternyata Linda salah faham terhadap Eddie. Dia berazam untuk menjadi diri sendiri dengan cinta Eddie juga showgirl terkenal di Paris.
Karya ini membuatkan kita faham betapa pentingnya kita menghargai diri sendiri. Linda walaupun ditekan masyarakat dengan pelbagai persepsi, tetap hidup dengan keadaan dirinya yang sebenar. Hal ini berjaya membuka mata Eddie hingga dia berani memilih untuk menjadi pelukis terang-terangan dan meninggalkan pekerjaan sebagai akauntan. Kekuatan cinta mengatasi segala-galanya, apabila ayah Linda berusaha menggembirakan Maggie malah menerima balasan cinta yang setimpal. Maggie pula mengorbankan karier yang dicintainya untuk mendapat cinta dan dirinya sendiri. Linda berjaya menjadi pujaan ramai tanpa perlu berpura-pura apabila mengumumkan dirinya sebagai bintang baru dan isteri kepada Eddie. Linda ingin membuktikan pada ibunya, wanita dalam bidang ini boleh berjaya dalam cinta dan karier!
No comments:
Post a Comment