Monday, October 24, 2011

Mencari Cinta dlm "Blue Diary"

Cinta pertama membawa ke mati. Begitulah yang boleh dikatakan pada watak Jorie dalam karya Alice Hoffman ini. Pertemuan pertamanya dengan Ethan di sebuah bar membawa kepada perkahwinan yang berlangsung selama 13 tahun. Mereka menjadi perhatian di pekan Monroe,Massachusetts kerana Ethan seorang yang sangat kacak dan kekar. Dia telah banyak berjasa kepada pekan ini sebagai sukarelawan fire department pekan malah punca kepada kejayaan pasukan baseball remaja.

Banyak sudut pandangan yang dipaparkan Hoffman dalam karya ini. Antaranya watak Ethan,Charlotte,Rosarie, Barney, Collie dan Katya. Setiap watak ini berkembang, mempunyai konflik diri dan berubah disekitar kejadian yang menimpa Ethan. Katya, teman Collie anak kepada Ethan telah melaporkan Ethan kepada pihak polis. Rupanya Ethan telah melakukan jenayah rogol dan bunuh yang kejam 13 tahun lalu. Hal ini mempersoalkan kewujudan Ethan dan cinta Jorie terhadapnya. Collie, anak mereka juga telah berubah sikap kerana penangkapan ayahnya itu. Dia merasa tertipu dengan didikan Ethan terhadapnya selama ini. Tidak guna mengamalkan ajaran-ajaran mulia Ethan sedangkan si ayah sendiri seorang penipu dan sadis.

Katya pula sentiasa memaparkan fikiran-fikirannya terhadap semua watak yang terlibat dalam karya ini. Dia begitu bersimpati terhadap temannya Collie dan merasa bersalah kerana menelefon polis setelah melihat paparan penjenayah yang masih belum ditangkap di kaca TV. Dia juga mengalami konflik diri apabila merasa rendah diri di sisi seorang kakak yang cantik,popular malah menjadi pujaan ramai. Dalam diam, Katya mempunyai perasaan istimewa terhadap Collie. Katya turut keliru dengan tindakan ayahnya yang membunuh diri setelah menghidapi kanser.


Kakak Katya Rosalie, begitu megah mempermainkan perasaan jejaka yang meminatinya. Namun, secara sulit Rosalie sering mencederakan diri sendiri apabila mengenangkan ayah mereka yang membunuh diri. Dia tidak dapat menerima tindakan ayah yang amat disayangi dan dikaguminya itu. Takdir memperminkan Rosalie apabila dia jatuh cinta dengan Ethan. Ethan yang diabaikan Jorie memberi perhatian istimewa kepada Rosalie. Rosalie menjadi aktivis yang bergiat cergas dalam usaha pembebasan Ethan. Sedih sekali, apabila dia sentiasa menunggu di luar rumah dengan sebuah beg tanpa mengira hujan dan panas. Katya dengan tipu muslihat telah menggagalkan usaha Rosalie mengikut Ethan ke bandar lain untuk dibicarakan. Rosalie pula menyangka pihak Ethan tidak datang menjemputnya.

Charlottte sahabat baik Jorie telah menemui cinta sejati. Itu pun di saat akhir penyakit kanser payudaranya yang kronik. Siapa sangka sejak di bangku sekolah, Barney menyimpan cinta terhadap Charlotte. Peristiwa yang berlaku di pekan mereka membuatkan Barney tidak mahu kesal selamanya. Dia meluahkan cintanya kepada Charlotte dan menemani Charlotte menempuh hari-hari terakhirnya. Jorie pula mengambil keputusan meninggalkan Ethan. Lelaki seperti Ethan tidak layak menerima cintanya.

Karya ini sangat kuat kerana menimbulkan kesan emosi kepada pembaca tanpa perlu berusaha bersungguh-sungguh. Kita dapat merasai setiap perasaan yang dialami watak melalui narratornya. Aku sendiri tak dapat memberi keputusan pada diri aku. Jorie betul atau Ethan. Ethan sendiri memang kesal dengan tindakannya juga menyintai Jorie sepenuh hati. Jorie pula menyintai Ethan tapi tak dapat menerima kekejaman yang pernah dilakukannya. Anak mereka Collie merasa hidupnya satu penipuan mengenangkan identiti sebenar Ethan. Sebuah karya yang mampu menggerakkan hati setiap pembaca. Persoalannya, benarkah cinta itu buta? Sejauh mana cinta itu menjadi satu dosa? Susah aku nak tentukan.

No comments:

Post a Comment