Saturday, October 22, 2011
"Sleepers" Kesilapan yg Merubah Segalanya
Aku turut berkongsi keterujaan Abangku yang menjumpai karya Lorenzo Carcaterra di Bazaar Chowrasta,Penang. Karya ini telah difilemkan dengan gandingan pelakon handalan Brad Pitt, Kevin Bacon, Robert De Niro dan ramai lagi. Membacanya setelah menonton filem memberikan kesan yang berbeza. Aku lebih menyukai karya tekstualnya berbanding visual. Hal ini kerana, kekuatan cerita seperti ini mampu dipaparkan dengan lebih baik dalam bentuk tulisan. Tapi, aku tak nafikan yang filemnya turut berjaya kerana barisan pelakon yang sangat bagus telah memberi nyawa kepada watak-watak yang wujud.
Carcaterra mengambil masa hampir beberapa tahun untuk menghasilkan karya ini. Proses adaptasi mengambil masa yang panjang kerana kisah ini adalah pengalaman sebenar beliau. Banyak perubahan yang perlu dilakukan kerana melibatkan maruah dan sensitivity banyak pihak. Tak hairanlah di awal penerbitannya dan filem, karya ini menimbulkan kontroversi melibatkan sistem perundangan dan institusi pemulihan remaja di Amerika. Pelbagai persoalan yang timbul dalam karya ini turut menyentuh nilai kemanusiaan dan falsafah hidup yang dipegang oleh masyarakat.
Carcaterra memulakan kisah ini dengan teknik narrator wataknya sendiri. Gambaran hidup dan latar masyarakat sekumpulan kanak-kanak lelaki hingga remaja dipaparkan dengan telus. Aku dapat merasakan kegembiraan Carcaterra dan tiga rakannya menempuh hari-hari mereka dengan kenakalan, mencari duit saku, ketaatan pada gereja, rasa hormat kepada paderi dan berkhayal dengan komik serta karya-karya adventure klasik. Perjalanan ceritanya begitu memberi harapan kepada mereka yang dibesarkan di Manhattan dengan pelbagai keganasan rumahtangga, mafia dan gangsterisme. Mereka mampu hidup sejujur mungkin dan menjadi insan yang berguna kerana persahabatan mereka adalah jalan escapism bagi menempuh segala godaan hidup yang menekan.
Segalanya berakhir apabila mereka mencederakan orang dalam satu kemalangan. Gurauan dan kenakalan mereka melarikan sebuah stall burger menghumban mereka ke pusat pemulihan akhlak Wilkinson. Mereka melalui hidup yang ngeri di sana. Penderaan fizikal dan seksual sentiasa menghantui hidup mereka ketika jaga dan lena dalam mimpi. Mereka dipukul separuh mati dan dikurung kerana mengalahkan pasukan pengawal dalam permainan ragbi. Kejadian rogol beramai-ramai,dipaksa melakukan seks oral kepada pengawal, diliwat dalam posisi berdoa memang membuatkan aku ngeri.
Setelah keluar daripada pusat, mereka telah melalui hidup yang berlainan. Dua antara mereka menjadi penjenayah. Hanya dua daripada mereka yang memilih hidup jujur, iaitu Carcaterra dan Michael yang menempuh hidup dengan tabah dan jaya. Carcaterra bertugas sebagai wartawan dan Michael sebagai pendakwaraya. John dan Tommy telah bertemu kembali dengan Nokes (pengawal kejam yang merogol dan menyiksa mereka) lalu membunuhnya. Michael telah merancang agar kekejaman yang dilalui mereka akan dihebahkan di mahkamah. Michael memohon untuk mendakwa mereka. Carcaterra memainkan peranan di pihak Tommy dan John dengan meminta paderi Bobby(yang sentiasa mengawasi mereka sejak kecil) berbohong, bersama dengan mereka sewaktu kejadian tersebut.
Micheal dengan bijak telah mengaturkan perbicaraan mengarah kepada tugas Nokes sewaktu di pusat pemulihan dulu. Dia berjaya mengalahkan pihak pendakwa(dirinya sendiri) apabila sikap buruk Nokes dibongkar. Hal ini menjadikan juri tidak bersimpati dengan kematian Nokes. Rahsia mereka berempat yang saling mengenali serta pernah berada di pusat tersebut juga tidak diketahui. Walau bagaimanapun, pengorbanan besar dilakukan apabila Carcaterra terpaksa membongkar rahsia sulit mereka di pusat dulu kepada paderi Bobby(sebelum keluar dari pusat mereka bersumpah tidak akan menceritakan apa yang dilalui di situ). Simpati dan kasih sayangnya menyebabkan dia sanggup berbohong di mahkamah untuk membela John dan Tommy.
Malang, Tommy dan John yang dibebaskan(1980) mati secara ngeri tidak lama selepas kejayaan mereka ini(John,1984 dan Tommy,1985). Apapun, novel ini memang membuatkan aku kagum dengan kesabaran Michael menanti peluang untuk membalas dendam secara terhormat. Semangat setiakawan dan kemanusiaan juga amat mengharukan. Bayangkan, mereka masih tidur dengan lampu yang bernyala, juga sentiasa terjaga seolah-olah Nokes datang di malam hari untuk menyeksa mereka! Walaupun setelah tiga puluh tahun ianya berlalu.
Labels:
kisah benar
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment