Friday, September 23, 2011
"The Boy Who Loved Anne Frank" Konflik jatidiri bangsa
Sebuah karya arkitaip tentang Peter rakan baik Anne Frank sewaktu di Secret Annexe. Menurut sejarah, Peter hilang begitu saja tanpa dikesan. Ellen Feldman dengan imaginasinya cuba mewujudkan Peter yang hilang dalam sejarah. Aku rasa Feldman sangat kreatif dan mempunyai daya imaginasi yang sangat baik. Beliau mampu menghasilkan karya ini tanpa tempelan sejarah. Penulisannya sedaya upaya cuba berpaksikan fakta sejarah tentang watak dan peristiwa yang tertulis dalam diari Anne Frank. Peter juga berjaya diwujudkan dengan amat meyakinkan seolah-olah karya ini adalah kisah sebenar Peter yang telah hilang.
Peter telah menaiki kapal ke Amerika. Dia menukar namanya dan tidak mengakui dirinya seorang Yahudi. Peter telah berjanji pada dirinya, dia tidak mahu lagi dihina dan ditindas kerana menjadi Yahudi. Penyamaran ini berlangsung sehingga dia berkahwin dan mempunyai tiga orang anak. Status bukan Yahudinya ini telah menjadikannya seorang kontraktor yang berjaya. Hidupnya mula tertekan apabila melihat isterinya,Madeleine membaca diari Anne Frank yang telah diterbitkan oleh Otto Frank. Peter mengalami kehilangan suara,halusinasi malah hampir membunuh diri di stesen kereta api. Untungnya, Madeleine sempat menghalang Peter. Lebih bernasib baik lagi, Madeleine tak pernah bertanya tentang masa lalu Peter dan mengambil sikap berdiam diri menangani kerenah Peter.
Peter merasa bersyukur diketemukan dengan Madeleine. Asalnya, Peter jatuh cinta kepada Susannah, kakak Madeleine. Namun, Susannah menolak cinta Peter kerana Peter menyatakan dia bukan seorang Yahudi. Perjalanan hidup sememangnya aneh kerana Peter berkahwin dan menyintai isterinya seorang Yahudi(walaupun dia menafikan keYahudiannya). Madeleine sanggup menerima bekas kekasih kakaknya ini tanpa mengira keturunan atau agama. Mulanya Peter tidak disenangi keluarga mentua tetapi masa yang berlalu telah memperbaiki segalanya. Tekanan Peter bertambah apabila kisah Anne Frank dipentaskan di teater dan layar perak. Dia begitu tertekan dengan lakonan dan olahan yang bertentangan dengan pengalaman sebenar yang dilaluinya di Secret Annexe. Watak ayahnya dipaparkan sebagai pencuri dengan nama yang bermaksud bodoh(hanya gelaran dalam diari Anne Frank bukan nama sebenar ayahnya). Peter merasakan masyarakat mempersendakan sejarah dan keperitan yang pernah dilaluinya serta warga Secret Annexe yang lain.
Setelah melalui pelbagai konflik diri, Peter cuba mengakui tentang identitinya yang sebenar kepada Otto Frank. Malangnya, Otto sendiri mengalami tekanan dengan pelbagai salah faham berkaitan kisah Anne Frank di mahkamah. Otto enggan mempercayai Peter sebagai Peter di Secret Annexe. Peter cuba menghubungi pak ciknya yang telah memberikan wang untuk ke Amerika dulu. Peter yakin pak ciknya dapat meyakinkan Otto tentang dirinya yang masih hidup. Pak cik Peter menyatakan tidak mungkin, kerana anak saudara yang disayangi tak mungkin mengambil wangnya begitu saja dan hilang tanpa berita. Peter semakin tertekan dengan kenyataan ini.
Peter akhirnya memberanikan diri menceritakan perkara sebenar kepada rakan niaganya(juga seorang Yahudi). Madeleine dan keluarga mentuanya menerima kebenaran ini dengan hati terbuka. Susannah sebaliknya menganggap Peter seorang pendusta dan enggan memaafkan Peter kerana penipuannya itu. Peter kesal dengan tindakannya selama ini. Namun, apa yang terjadi tak dapat diperbetulkan lagi. Peter akhirnya sedar dan mula menghargai pengalaman lalunya di bawah kekejaman perang. Peter dapat memahami bahawa menjadi seorang Yahudi bukanlah sesuatu yang salah. Perang telah berlalu dan kezaliman tidak lagi akan menimpa kaum Yahudi.
Karya ini berakhir dengan lawatan Peter ke Amsterdam pada tahun 2003(kisah Peter dalam novel ini bermula dari era selepas perang). Anak-anak Peter telah berkahwin malah mengekalkan nama keluarga mereka. Cucunya turut dinamakan sempena nama moyang mereka dan nama sebenar Peter. Moralnya, kita tak mungkin mengubah keturunan dan bangsa kita kerana hanya itu yang tinggal untuk dipegang dan dibanggakan kalau tak, wujud kita tak memberi sebarang makna.
Labels:
novel
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment